tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, November 3, 2009

Dr Chua kini timb presiden MCA

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendapat semula jawatannya sebagai timbalan presiden MCA selepas digugurkan susulan dipecat daripada parti kira-kira dua bulan lalu.
Ketika dihubungi Malaysiakini SMS, Chua mengesahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengesahkan beliau masih memegang jawatan tersebut.

"Betul, terima kasih," jawabnya ringkas.Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ROS hari ini ketika jawatankuasa pusat parti itu sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Kedudukan ini mengembalikan senario sebelum krisis parti itu - akibat pemecatan Dr Chua dan keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA awal bulan ini - dan sekali gus memeningkan kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik menggantikan Dr Chua.

Naib presiden itu, yang dilantik kepada jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.
Jika Liow, yang memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari itu, enggan menerima keputusan ROS itu, beliau boleh membuat rayuan.
Atau, beliau mungkin boleh terus mendesak melalui kempennya supaya diadakan EGM baru bagi memilih semula pucuk pimpinan MCA.
Ketika tiba jam 1.10 tengah hari di Wisma MCA, tempat mesyuarat itu diadakan kira-kira 10 minit kemudian, Dr Chua kelihatan tenang dan kemudian melangkah terus ke bilik mesyuarat.
Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos, tetapi jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan keputusan itu dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.
Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat yang sedang berjalan, difahamkan Ong telah memaklumkan bahawa Dr Chua kini adalah timbalannya.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga dimaklumkan mengenai pemecatan empat anggota CC yang dilantik - kesemuanya penyokong Liow.Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su (foto kiri) - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Berikuan itu, Ong menggunakan kuasa presiden untuk melantik tiga anggota baru yang menyokong Chua. Mereka ialah naib ketua MCA Perak Tan Chin Meng, bekas naib presiden Donald Lim dan anak Chua, Tee Yong.

Ong turut melantik orangnya untuk mengisi dua jawatan penting. Beliau melantik setiausaha agung Wanita, Senator Heng Seai Kie sebagai ketua penerangan, menggantikan Lee Wee Kiat - seorang penyokong Liow. Heng juga merupakan timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.

Beliau juga melantik pemimpin veteran, Lim Hong Sang - yang dilihat sebagai penyokong setianya - sebagai ketua biro undang-undang MCA yang baru, menggantikan Leong Tang Chong yang dipecat dua minggu lalu.
Sementara itu, ketika Chua keluar sebentar dari mesyuarat CC untuk ke tandas, beliau menjadi buruan para wartawan.
Mereka terus menerus meminta komennya mengenai keputusan ROS mengekalkannya sebagai timbalan presiden.
"Saya dimaklumkan mengenainya melalui sepucuk surat dari ROS pada jam 11.30 pagi tadi. Ia adalah keputusan yang dibuat berdasarkan kepada perlembagaan parti."
Liow pula, ketika ditemui wartawan ketika hendak di tandas, bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan.
Mesyuarat CC tamat jam 5.30 petang di mana Liow, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong beredar tanpa menghadiri sidang akhbar selepas itu.

No comments: