Program pemberian air percuma yang membolehkan rakyat menikmati 20 meter
padu pertama secara percuma setiap bulan adalah bukti keupayaan
pengurusan Kerajaan Negeri dan kesungguhan untuk memastikan industri air
di Malaysia diuruskan dengan menjadikan kebajikan rakyat menjadi
keutamaan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Secara
purata, keluarga yang mendiami rumah bertanah di Selangor menikmati
penjimatan RM1,200 setahun sejak program ini diperkenalkan pada Jun
2008.
"Manakala keluarga yang tinggal di rumah bertingkat pula
menikmati penjimatan secara purata hampir RM900 setahun dalam tempoh
itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan negeri,
tambahnya, telah membekukan cadangan untuk menaikkan tarif air oleh
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebanyak dua kali iaitu
untuk 2009 dan 2012.
"Kerajaan Selangor telah membelanjakan
RM550 juta setakat ini untuk Program Pemberian Air Percuma. Namun
begitu, kerajaan negeri masih berupaya meningkatkan rezab negeri kepada
RM2.1 billion pada 2012 berbanding hanya RM400 juta pada 2008," kata
menteri besar.
Ini, tegas Abdul Khalid, adalah hasil dasar
kewangan mesra rakyat yang mematuhi prinsip-prinsip integriti dan tadbir
urus yang baik.
"Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor
membuat banyak usaha untuk memastikan rakyat berhak untuk berkongsi
keuntungan, aset dan sumber negeri," tambahnya.
source : http://www.malaysiakini.com/news/204833
No comments:
Post a Comment