Inilah masanya untuk kita menilai antara ahli UMNO yang berjuang untuk rakyat dan ahli UMNO yang berjuang untuk darjat.
Sejak 8 Mac 2008 berbagai insiden telah berlaku, dan apa yang berlaku pada 19 Mei 2008 adalah suatu yang di luar jangkauan minda mana-mana penganalisis politik. Tiada siapa menyangka Tun Dr. Mahathir akan bertindak keluar UMNO. Dan saya melihatnya sebagai usaha terakhir beliau, selepas semua usaha beliau dan rakyat untuk menyedarkan kepimpinan UMNO gagal. Tidak kira sama ada gagal difahami ataupun sengaja tidak mahu difahami oleh kepimpinan UMNO kini.
Amat menarik kerana kita bakal melihat ahli yang CINTAKAN UMNO dan negara akan keluar seorang demi seorang. Dan ahli yang SAYANGkan UMNO akan kekal bersama Pak Lah. Cintakan UMNO tidak sama dengan Sayangkan UMNO. Orang yang bercinta sanggup mati demi kekasihnya, orang yang berkasih sayang sanggup melakukan apa sahaja tetapi tidak sanggup bergadai nyawa. Tanyalah romeo-romeo dan juliet-juliet di dalam UMNO sendiri, mereka pasti mengiyakannya.
Saya ingin menyaksikan berapa ramai orang yang cintakan UMNO akan mengikut langkah Tun, dan kita bakal disajikan pelbagai alasan daripada mereka yang sayangkan UMNO dan ingin kekal bersama Pak Lah. Jika ada menteri kabinet yang sanggup keluar daripada UMNO, maka inilah sebenar-benarnya pejuang rakyat. Pangkat bukan keutamaan bagi mereka. Perjuangan untuk rakyat tidak memerlukan seseorang itu menjadi seorang Menteri untuk melaksanakan tugasan mewakili rakyat. Dan impak positif jangka panjangnya... apabila rakyat mengenalpasti Menteri yang sanggup meninggalkan jawatan mereka demi kebenaran maka Insya Allah rakyat akan memilih mereka semula untuk mewakili suara rakyat dalam pilihan raya akan datang. Tetapi adakah menteri yang sanggup berbuat demikian? Kerana jawatan tersebut juga adalah periuk nasi mereka.
Karpal Singh pula menyalak mengata Tun seorang ahli politik murahan. Sebenarnya saya pelik dengan insan bernama Karpal Singh ini. Nampaknya permusuhan beliau dengan Tun lebih bersifat peribadi. Bukankah tindakan Tun keluar UMNO ini secara tidak langsungnya memberi impak positif kepada pembangkang? Ia seolah-olah membuktikan bahawa UMNO sekarang tidak relevan. Dan risiko daripada tindakan Tun ini adalah ia bakal dijadikan modal ceramah politik pembangkang. Itu jika dilihat daripada sudut kesan positif kepada pembangkang. Bukan itu yang kita cari, apa yang kita mahukan adalah UMNO sedar... dan bila UMNO sedar, kesan positifnya adalah kepada UMNO dan pembangkang pula yang rugi. Pembangkang rugi jika UMNO pulih, kerana sokongan Melayu akan kembali kepada UMNO (mungkin tidak 100%!). Itu yang menyebabkan saya gagal memahami tindakan si Karpal Singh ni. Kenapa tindakan beliau tidak selari dengan kehendak pembangkang? Mungkin Karpal Singh ada agenda lain yang belum difahami oleh kita semua, kerana kita leka dengan isu UMNO hinggakan kita mengabaikan spekulasi dan kemungkinan yang bakal diambil oleh pemimpin bukan Melayu lain.
Semalam Menteri Besar Kelantan mengalu-alukan jika Tun menyertai PAS. Tapi ini tidak mungkin berlaku kerana DSAI tidak akan merestuinya. Jika Tun masuk PAS maka PR akan hancur, dan BN akan kekal memerintah Malaysia, kerana PR bakal dilanda gempa bumi antara DSAI dan Tun Dr. Mahathir, melainkan kedua-dua insan ini boleh memaafkan kesalahan masing-masing. Jika Tun dan DSAI berbaik semula, saya kira jutaan rakyat Malaysia akan mensyukurinya. Ianya satu kemenangan buat rakyat!!!
Saya tertunggu-tunggu pula komen daripada DSAI tentang Tun keluar UMNO. Tengku Razaleigh mahu kekal dalam UMNO. Ya lah, kalau Tengku keluar UMNO macam mana beliau nak bertanding untuk Presiden. Beliau nampaknya mempunyai agenda sendiri yang melebihi kepentingan parti dan rakyat. Layakkah beliau menerajui UMNO? Saya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak konsisten dan tidak cukup kredibiliti untuk memimpin UMNO.
Najib pula bukan seorang yang betul-betul bersih rekodnya. Ramai yang sangsi tentang kejujuran beliau. Banyak cerita yang tidak dapat beliau nafikan dengan fakta masih berkeliaran di seluruh negara. Najib perlu membersihkan namanya beserta fakta jika beliau benar-benar ingin memimpin Malaysia. Jika beliau memperolehi kuasa melalui Pemilihan UMNO, saya kira itu bukan pilihan dan restu rakyat. Undi perwakilan berstatus was-was. Itu saya kategorikan sebagai suara minoriti bukan suara mewakili rakyat Malaysia.
Kerajaan BN tolonglah bersihkan segala-galanya. Hentikan penipuan kepada rakyat. Rakyat boleh memaafkan kesilapan pemimpin jika pemimpin itu menyesali dan sedar akan kesilapannya. Tapi rakyat tidak akan memaafkan penipu yang memutar belitkan fakta demi agenda tertentu. Kejujuran adalah kunci utama. Pemimpin adalah manusia, rakyat juga manusia, manusia tidak lari daripada kesilapan dan rakyat memahami hakikat ini.
There is a saying, " Bosses can forgive mistakes but if you lie, you are gone!"
Dan itulah yang berlaku pada Pak Lah. Tidak mahu mengaku kesilapan.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment