tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, July 1, 2008

Teka-teki Najib

Dato Seri Najib menafikan penglibatan beliau dalam konspirasi (mungkin) kes liwat ke atas DSAI. Memetik kembali kata-kata Pak Lah ketika bercakap tentang kes DSAI,"Mestilah DSAI menafikan". Nampaknya sama senarionya pula dengan DS Najib, " Mestilah DS Najib menafikan", tapi takde pulak Pak Lah bercakap begitu.

Jadi mari kita buat sedikit kajian tentang DS Najib, lelaki yang penuh dengan misteri dan kisah-kisah yang masih belum terjawab; antaranya isu komisen submarine, kes althantuya dan kini kes DSAI sekali lagi.

Saya tidak mahu menulis isu DS Najib ini sehinggalah semalam DSAI terang-terangan menuding jari kepada DS Najib.

10 tahun lepas, kita semua tahu DSAI adalah calon pilihan Tun Dr Mahathir untuk menggantikannya. DS Najib pula pasti berada di dalam barisan pemimpin yang juga bercita-cita ke jawatan yang sama, tetapi beliau sangat low profile. Jika DSAI naik menjadi PM 10 tahun lepas, maka DS Najib kena beratur panjang lagi. Dan, jika DSAI naik menjadi PM September 2008 ini, DS Najib sempat ke nak merampas kembali kerajaan dan jawatan PM? Betullah kata Tun Dr M kepada DS Najib beberapa bulan lepas, kalau DS Najib nak jadi PM inilah masanya jangan berlengah lagi. Tetapi Tun Dr M kemudiannya menarik balik sokongan kepada DS Najib sebagai calon PM.

10 tahun lepas, DS Najib berada dalam barisan kepimpinan atasan UMNO, dan hari ini beliau masih di situ. Tidak ramai yang 10 tahun lepas berada di atas dan masih di situ pada hari ini. Maka apabila konsiprasi (mungkin) yang sama muncul kembali, sama ada mahu atau tidak, ramai yang terpaksa menuding jari kepada DS Najib; kerana mereka yang lain di dalam barisan kepimpinan UMNO kurang berkepentingan jika dibandingkan dengan DS Najib.

Saya percaya jika Pak Lah mengatakan beliau tidak terlibat dengan konsiprasi (mungkin) ini. Beliau terlalu yakin akan terus kekal sebagai Presiden UMNO dan PM selepas September 2008 ini. DS Najib pula terpaksa menyokong Pak Lah, tetapi sedarkah kita jika DSAI menguasai kerajaan pada September ini impian Najib akan hancur, dan jika Pak Lah terus menjadi Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, DS Najib terpaksa beratur dan menunggu lagi. Jadi DS Najib perlu memilih, sama ada gagalkan usaha DSAI atau bertanding melawan Pak Lah. Di telan mati emak, diluah mati bapak!

DS Najib pula turut dikaitkan oleh Raja Petra dengan kes pembunuhan Althantuya, yang juga masih belum ada kesudahannya. Kita semua telah mendengar rintihan bapa mendiang Althantuya tentang proses perbicaraan yang penuh birokrasi mungkin kerana melibatkan individu berkepentingan. Terbaru, Datin Rosamh pula dikaitkan berada di lokasi pembunuhan.

Jika DS Najib mahukan sokongan rakyat untuk beliau menjadi PM yang direstui rakyat, DS Najib perlu membersihkan namanya hari ini juga. Cakap kosong tidak akan diterima lagi oleh rakyat. Setiap butiran perlu disokong oleh bukti, tunjukkan kepada umum, dan rakyat akan bijak menilai. Apa gunanya jika pemimpin itu menang tetapi tanpa sokongan rakyat, kuasanya tidak akan kekal lama.

Isu yang utama, bukannya rakyat mahukan DSAI atau DS Najib atau Pak Lah menjadi PM. Isunya adalah rakyat mahukan pembelaan, keadilan, keamanan dan kesejahteraan. Mana mungkin semua ini dapat dicapai jika pemimpin bercakaran. UMNO boleh kekal sehingga 50 tahun kerana dahulunya ia lebih bersatu daripada sekarang. Ingatlah bahawa UMNO bukan Melayu dan Melayu bukan UMNO, Cina bukan MCA dan MCA bukan Cina, India bukan MIC dan MIC juga bukan India. Semua parti ini adalah ciptaan kita yang didorong oleh pemikiran yang berbeza tetapi apa yang mahu diperolehi oleh setiap penyokong UMNO, MCA, MIC, PKR, DAP dan PAS adalah satu matlamat yang sama tetapi dengan cara yang berbeza.

Rakyat adalah kerdil kerana tiada kuasa melakukan apa-apa. Seorang pemimpin adalah lebih berkuasa daripada 1000 orang rakyat yang menjerit bersama. Inikah keadilan di Malaysia? Perubahan adalah untuk kebaikan tetapi sering usaha memurnikan kebaikan ini ditentang oleh segelintir rakyat (juga) yang berkepentingan. Mungkin kerana tamakkan harta dan kuasa atau mungkin kerana ingin memastikan bahawa rahsia dan sejarah kepincangan mereka tidak dibongkar (mungkin oleh pemerintah yang baru).

Jika ini masih satu konspirasi, saya pasti kita kini lebih bijak dan matang selepas melihat apa yang berlaku 10 tahun lepas. Jangan kerana ketamakan kita sanggup gadaikan prinsip dan maruah harga diri, bangsa dan negara. Jika Malaysia mampu menjadi aman seperti sedia kala, syukurlah kerana tiada apa lagi yang rakyat harapkan selain dari kesejahteraan untuk semua dan keredhaan Allah.

Buat Saiful Bukhari, jika apa yang anda canangkan adalah satu lagi konspirasi, ketahuilah bahawa anda menjerut leher sendiri. Jika apa yang anda canangkan ini suatu yang hakiki maka Allah akan bersama anda.

Buat DSAI, mohon dipercepatkan segala perancangan, bukti perlu segera diumumkan. Masa itu adalah emas, jangan ia disia-siakan. Rakyat memerlukan perubahan dan telah bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Laksanakanlah impian kerana ia juga adalah impian kami rakyat Malaysia.

No comments: