tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, October 9, 2008

Politik wang bukan rasuah?

Apabila seorang ahli UMNO didapati bersalah melakukan politik wang, beliau hanya akan digantung selama 3 tahun dan selepas itu boleh bertanding semula untuk sebarang jawatan tertinggi parti.

Persoalan Pertama
Adakah politik wang bukan rasuah? Kerana mereka yang didapati bersalah tidak dikenakan tindakan oleh BPR, adakah kerana mereka ahli UMNO maka mereka kebal daripada undang-undang? Atau adakah Lembaga Disiplin UMNO lebih tinggi darjatnya daripada Badan Pencegah Rasuah Malaysia? Di manakah nilai integriti di dalam UMNO? Dimanakah nilai integriti BPR? Adakah kerana mereka parti pemimpin maka perlu ada laporan dibuat baru boleh bertindak? Sedangkan dalam kes tertentu BPR telahpun bertindak atas budi bicara sendiri tanpa ada laporan dibuat kepada BPR!

Persoalan Kedua
Selepas tamat 3 tahun penggantungan, mereka yang TERBUKTI mengamalkan rasuah ini dibenarkan pula bertanding dalam Pemilihan UMNO untuk diangkat menjadi pemimpin. Sebagai seorang Melayu dan rakyat Malaysia, saya jijik melihat apa yang berlaku di dalam UMNO. Mereka yang kotor ini masih dibenarkan memimpin. Jadi, bagaimana kami sebagai rakyat hendak percayakan UMNO? kerana UMNO itu sendiri dipimpin oleh mereka yang kotor. Mohamad Mohd Taib bercita-cita nak jadi TPM? Cermin-cerminlah diri tu dulu, sedangkan Pak Lah bawa dia masuk ke kabinet pun orang dah jelak inikan pula nak jadi TPM. Rakyat masih ingat kes 5 juta di Australia dulu. Jika DS Najib yang belum berjaya meyakinkan rakyat yang beliau bersih daripada segala tuduhan dan kes-kes yang diwar-warkan beliau terlibat, diangkat menjadi PM, ditambah pula dengan kuncu-kuncunya nanti yang terdiri daripada mereka yang kotor ini, maka bolehkah kita mengharapkan Malaysia yang aman makmur. (jika tiada angin masakan pokok mampu bergoyang).

Rakyat Mahu
Kami mahukan mereka yang pernah didapati bersalah mengamalkan politik wang dihalang terus daripada bertanding sebarang jawatan didalam UMNO. Jika pemain bola sepak yang mengamalkan rasuah dikenakan tindakan tidak boleh bermain bola seumur hidup maka pemimpin-pemimpin yang terbukti bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO ini patut dimatikan sahaja karier politiknya. Kerana pengamalan politik wang adalah bukti mereka ini tiada integriti dan jati diri dan tidak layak bergelar pemimpin!!

Kami juga mahu BPR menyiasat semula mereka yang didapati bersalah mengamalkan politik wang kerana mereka ini adalah perosak negara dan mengikut undang-undang Malaysia mereka ini layak dipenjara. Adakah kerana mereka ini pemimpin UMNO, dan UMNO adalah kerajaan, dan BPR adalah agensi kerajaan, maka BPR terpaksa atau dipaksa tutup sebelah mata. Ingatlah, kita bekerja setiap hari mencari rezeki adalah kerana Allah dan rezeki itu adalah pemberianNya. Maka lakukanlah tugasan kita sebaik-baiknya agar kita tidak pula disiksa pada Hari Kiamat kelak.

Saya melihat majoriti yang bertanding jawatan utama dalam Pemilihan UMNO kali ini adalah mereka yang tidak bersih dan bakal merosakkan bangsa dan negara. Kuasa ada ditangan ahli UMNO, ingatlah bahawa BN ditolak kerana ia tidak bersih, bila pemimpin tidak bersih maka kerjanya tidak ikhlas. Pak Lah pernah suatu ketika digelar Mr. Clean tetapi lihatlah perubahan yang terjadi keatas beliau selepas menjadi PM. Habis semua diaspu bersih oleh kaum kerabatnya! Jadi, bagaimana agaknya DS Najib yang ternyata tak Clean langsung boleh menjadi PM yang lebih baik daripada Pak Lah?

Saya seru ahli UMNO agar mencalonkan bakal pemimpin untuk rakyat Malaysia (bukan setakat memimpin UMNO sahaja) pada pemilihan kali ini dengan bijaksana. Jangan kerana wang anda lupa jati diri, amanah dan kuasa mengundi yang ada ditangan anda. Jelas terbukti ramai yang masuk UMNO kerana mahukan projek dan wang, inilah faktor yang telah menjatuhkan UMNO dan BN, kerana ahlinya bukan pejuang rakyat sebaliknya penjuang poket masing-masing. Jika ini diteruskan maka lihatlah nanti UMNO akan hilang daripada sejarah Malaysia.

Saya doakan agar Allah menanugerahkan Malaysia dengan seorang pemimpin yang benar-benar layak bergelar pemimpin; berintegriti, berakhlak mulia, adil dan saksama, bijaksan dan tinggi ilmunya. Saya masih mencari-cari dan tidak nampak seorang pun barisan kepimpinan UMNO yang memiliki ciri-ciri tersebut!

Wallahualam

No comments: