Dengan jumlah undi pos dan undi awal yang mencecah 500,000 di seluruh
negara, ia cukup penting untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya di
seluruh negara.
Saya telah bertegas bahawa keseluruhan proses yang melibatkan
pengendalian undi pos – dari senarai pemilih pengundi pos, pengedaran
undi-undi pos, membuang undi pos, seliaan semasa membuang undi pos dan
peti undi pos – mempunyai pelbagai kelemahan yang mengundang penipuan
dan penyelewengan.
Selama ini pun, pelbagai pengakuan telah dilontarkan oleh bekas-bekas
anggota tentera yang mengaku mereka memangkah kertas undi pos bagi
pihak anggota tentera yang lain.
Bersama-sama ini saya tampilkan satu laporan polis yang jelas
menunjukkan bahawa seorang wakil Umno dalam PRU13 telah bertindak
merampas, menawarkan rasuah dan memangkah kertas undi pos
petugas-petugas SPR yang kesemuanya melanggar undang-undang pilihanraya.
Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh ini merekodkan
pengakuan seorang petugas SPR (namanya dirahsiakan) yang mengaku bahawa:
1. Pada 29 April 2013, beliau bersama-sama 24 orang petugas SPR yang
lain telah dipanggil masuk ke sebuah bilik mesyuarat oleh calon BN dan
pintu bilik mesyuarat dikunci;
2. Beliau dan petugas SPR yang lain diarahkan menyerahkan kertas undi
pos yang kosong kepada calon BN dan dibayar wang RM100 setiap seorang;
3. Keesokan harinya beliau berasa tidak senang dan telah pergi
bertemu semula dengan wakil-wakil BN di bilik gerakan BN bersama-sama
empat orang petugas SPR yang lain;
4. Setelah mendapat kembali kertas undi pos, mereka mendapati bahawa kertas undi pos mereka telah dipangkah;
5. Beliau juga menjadi saksi bahawa kertas undi pos sebanyak 20 lagi
yang tidak dikembalikan telah dimasukkan ke dalam peti undi; dan
6. Selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan
dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan
pilihanraya
Bukti-bukti ini sudah cukup menunjukkan bahawa berlaku terlalu banyak
kepincangan melibatkan pengendalian undi pos dan undi awal sehingga
membolehkan calon BN merampas dan membeli kertas undi, sementara dakwat
kekal tidak pun digunakan seperti sepatutnya.
Saya yakin kepincangan dan penyelewengan yang sama berlaku di
tempat-tempat lain yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas keputusan
undi di kawasan parlimen tertentu.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
4 JUN 2013
http://rafiziramli.com/2013/06/calon-bn-merampas-kertas-undi-pos-untuk-dipangkah-sendiri/
No comments:
Post a Comment