Ahmad Lutfi Othman, Harakah
Saya
pernah membongkarnya tujuh tahun lalu semasa menjadi Ketua Pengarang
akhbar Siasah. Ada komplot membabitkan Pemuda Umno (dan juga sayap
Puterinya) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA,
yang turut dihadiri para pelajar kumpulan Aspirasi pro-Umno.
Pertemuan diatur pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi, yang
dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (juga seorang pengetua
kolej kediaman), serta didalangi Dr Adham Baba, bekas Setiausaha
Parlimen KPT. Menteri ketika itu Dr Shafie Salleh.
Tujuannya,
untuk memenangi dengan mudah pilihan raya kampus (PRK) dengan
mengetepikan cabaran kumpulan pelajar Islam yang dilihat bebas dan
lebih dekat dengan pembangkang (kini dikenali Pro-M).
Mereka
bertemu secara tetap, mulanya dalam kekerapan mingguan, di Tingkat 38,
Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia.
Bayangkan, Umno dan sekutunya dalam BN (melalui biro pendidikan
masing-masing) berkomplot dengan HEP 17 IPTA seluruh negara, termasuk
dari Sabah dan Sarawak, bagi memenangkan kumpulan Aspirasi dalam PRK.
Mesyuarat
turut meminda dan memanipulasi peraturan PRK bagi menyukarkan
percubaan seteru Aspirasi. Bayangkan, pihak berkepentingan, seperti
calon yang bakal bertanding PRK, iaitu daripada kumpulan Aspirasi dapat
mengatur strategi, sekali gus membentuk helah untuk mengalahkan
saingannya, di Ibu Pejabat Umno, bersama sekumpulan Timbalan Naib
Canselor dan pegawai HEP, yang sepatutnya bertindak bebas dan adil
sebagai pengadil pertandingan.
Bukan itu saja, dalam satu
pertemuan yang dipindahkan dari Ibu Pejabat Umno di PWTC (selepas
didedahkan Siasah) ke Kolej Kediaman Pelajar Keris Mas, UKM, pada 13
September 2005, wang tunai RM10,000 diagih-agihkan kepada setiap wakil
universiti untuk digunakan dalam kempen mahasiswa pro-Umno.
Selepas
tujuh tahun, rupanya kisah tersebut belum berakhir. Situasi politik
ketika itu memang menyebelahi Umno-BN, yang menang besar dalam pilihan
raya 2004. Namun, ia tidak menghalang mereka "bermain kotor" bagi
menghapus terus elemen propembangkang di kampus. Ironinya, yang
tersisih akhirnya adalah Dr Shafie dan Dr Adham sendiri!
Kini,
berdepan PRU13 yang mencemaskan, pimpinan Umno makin resah dan gelabah.
Kampus juga tidak terlepas daripada tumpuan perancang politik di
Pejabat Perdana Menteri. Kalau dulu, ia hanya berlegar di kalangan KPT
tetapi sekarang membabitkan pegawai kanan Najib.
Melalui Ops
2020 (jangan silap faham maknanya; ia bermaksud mahu memastikan
kumpulan Aspirasi berjaya memenangi semua PRK 20 IPTA), Shahlan Ismail
dan Irmohizam Ibrahim, masing-masing Setiausaha Politik dan Pegawai
Khas Perdana Menteri, bersama "strategis" lainnya, berpusat di bilik
operasi, Rumah Meranti 1, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, mempunyai
perancangan besar.
Nama-nama lain yang terbabit sama ialah Ketua
Pengarah Biro Tata Negara, Raja Arif Raja Ali; Timbalan Menteri Belia
dan Sukan, Razali Ibrahim; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi,
Khairi Abd Malik; SAC Mohd Sofian Md Makinuddin, Cawangan Khas PDRM
bersama tiga pegawai polis Bukit Aman; Mohamed Maliki Mohamed Rapiee,
Presiden Majlis Belia Malaysia; serta sekumpulan pegawai KPT, BTN dan
pemimpin Pemuda-Puteri Umno.
Menerusi dokumen yang didedahkan,
Ops 2020 "berperanan untuk memastikan pemilihan kampus kali ini (sesi
2012/13) tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti
pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13". (Anda sendiri boleh
tafsirkan apa definisi terbaik kepada "kebangkitan moral kepada parti
pembangkang").
Justeru, PRK yang sepatutnya perlu dijalankan
selepas minggu kedua Mac 2012 ditangguhkan ke tarikh yang belum
dipastikan. (Ini bermakna, untuk kebanyakan kampus, sudah empat bulan
Majlis Perwakilan Pelajar-- MPP -- tidak lagi berfungsi). Daleh
penangguhan itu berbeda-beda di antara universiti. Apabila diajukan
kepada KPT, jawapannya, tarikh PRK diserahkan kepada setiap kampus bagi
menentukannya.
Sedangkan Sekretariat Kampus yang dipengerusikan
Shahlan inilah yang akan menentukan tarikh paling sesuai PRK, seperti
dinyatakan dalam objektif keempatnya, iaitu bagi "memastikan mahasiswa
yang menyokong kerajaan memenangi semua pilihan raya kampus 20 IPTA di
seluruh negara".
Dalam mesyuarat penyelarasan pemilihan MPP
IPTA, pada 25 Januari 2012, di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy,
dicadangkan tarikh PRK dilewatkan ke bulan April "bagi memastikan
segala persiapan ke arah kemenangan dirancang dengan rapi".
Setpol
Menteri Pengajian Tinggi menekankan agar perlu diberikan tumpuan yang
lebih kepada empat IPTA, yang dikatakan "sangat bermasalah", iaitu
Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti
Pertanian dan UKM.
Saya tidak berhasrat untuk memperincikan
kandungan minit mesyuarat yang sudah terbongkar itu. Prinsipnya tetap
sama, seperti tujuh tahun lalu. Pihak Umno, seperti juga parti-parti
politik lain, boleh saja melakukan proses perkaderan di kalangan
mahasiswa, hatta untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada mana-mana
calon yang bertanding dalam PRK.
Masalah besar timbul apabila
Umno memperalatkan kemudahan awam dan jentera kerajaan, seperti
Cawangan Khas Polis, BTN, KPT dan lebih dahsyat lagi apabila
membabitkan Sekretariat Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan Naib
Canselornya, di semua 20 IPTA.
Bukankah HEP itu sendiri
berperanan sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam PRK, yang sepatutnya
bertindak bebas dan berkecuali? Begitu juga dengan Kementerian Pengajian
Tinggi yang merupakan bapa atau penaung kepada semua mahasiswa,
termasuk kumpulan-kumpulan pelajar yang menyertai PRK.
Lebih
mengaibkan apabila Najib sendiri merestui penangguhan PRK semata-mata
kerana Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Setpolnya masih belum
dapat menemui satu tarikh paling sesuai, agar "pemilihan kampus tidak
memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum
PRU13".
Dengan itu, saya percaya PRK hanya akan diadakan selepas
PRU13. Juak-juak Najib bimbang, jika diadakan sebelum pilihan raya
umum, momentum PRK itu mungkin melonjakan sokongan kepada Pakatan
Rakyat.
Soalnya, apakah jika tarikh PRU13 melewati hujung tahun
ini, maka mahasiswa terus dinafikan hak untuk berpersatuan selama
hampir setahun? Waduh! Mengapa sanggup memperjudikan kepentingan dan
kebajikan pelajar dengan alasan tidak munasabah dan terlalu sarat
dengan motif politik?
Sepanjang mengikuti perkembangan politik
kampus sejak tahun 80-an, saya tidak pernah menjangka pemimpin Umno-BN
akan bertindak sebebal ini. Jika anak-anak muda kita di kampus pun
dipolitikkan semahunya, apakah anda masih mengharapkan PRU13 ini akan
berjalan secara adil, bersih dan bebas?
source : http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/beritakomentar/50039-ops-2020-dan-setpol-najib
No comments:
Post a Comment