Pakatan Rakyat mengumumkan satu perhimpunan perdana akan diadakan di Stadium Kelana Jaya esok (15/9) bagi membantah tindakan kerajaan membuat tangkapan di bawah ISA - sehari sebelum sampainya tarikh rancangan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil kuasa melalui penyertaan ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan.
Semalam, Anwar berkata beliau telah mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mengambil alih kuasa, tetapi peralihan kuasa yang dijadual Selasa ini, mungkin ditangguhkan ekoran operasi penahanan ISA.
"Keutamaan adalah kestabilan politik. Ia bukannya isu penangguhan, kita mempunyai jumlah (yang cukup) untuk meneruskannya," katanya, sambil menambah, beliau juga mungkin menjadi sasaran penahanan di bawah ISA.
Anwar, bekas timbalan perdana menteri yang dipecat dan menjalani hukuman penjara sedekad yang lalu, memerlukan penyertaan 30 lagi ahli parlimen ke dalam Pakatan untuk mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.
Kemungkinan itu tidak terfikir sebelum pilihanraya umum Mac lalu, apabila barisan pembangkang itu mengejutkan negara apabila menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen.
Sejak itu, BN bergoncang dan penahanan seorang ahli politik pembangkang, blogger terkemuka dan seorang wartawan, Jumaat lalu di bawah ISA, telah mencetuskan kebimbangan penangkapan besar-besar dilancarkan terhadap pembangkang.
Mereka yang ditahan kelmarin ialah ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Tan telah dibebaskan semalam.
Mereka ditahan kerana didakwa mencetuskan ketegangan kaum, tetapi Anwar menuduh kerajaan sengaja mengada-adakan krisis itu untuk mengalih perhatian daripada krisis yang sedang dialaminya.
No comments:
Post a Comment