Menurut peguamnya, Raja Petra Kamaruddin akan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting hari ini untuk menjalani tahanan selama dua tahun bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Dalam Negeri telah menandatangani perintah tahanannya malam tadi mengikut seksyen 8 akta tersebut, yang membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.
Mengikut akta tersebut, perintah tahanan ke atas Raja Petra itu boleh disambung setiap dua tahun.
Menurut peguamnya, pihak polis telah memaklumkan kepada mereka pagi ini bahawa Raja Petra akan dibawa ke Kamunting.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar hari ini permohonan habeas corpus yang difailkan oleh peguam Raja Petra untuk membatalkan penahanan blogger tersebut.
Habeas corpus adalah permohonan untuk membawa tahanan ke mahkamah untuk menentukan sama ada berlaku kecacatan dalam perintah tahanan tersebut dan menjadikannya tidak sah.
Isteri Raja Petra, Marina Abdullah mengesahkan bahawa polis telah memaklumkan kepadanya bahawa KDN telah mengeluarkan perintah tahanan tersebut semalam.Raja Petra, 58, yang ditahan bersama dua orang lagi minggu lalu, kini ditahan di lokasi yang tidak diketahui.
Dua orang lagi - wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, 33, dan exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, 43 - telah dibebaskan.
Tan dibebaskan 18 jam selepas dia ditahan, manakala Teresa dibebaskan tujuh hari kemudiannya.
Mengikut peguam J Chandra, Raja Petra ditahan kerana menyiarkan artikel dalam lamanwebnya yang mencemarkan kepimpinan negara dan menghina Islam.
Beliau sebelum ini telahpun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan fitnah selepas mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.
1 comment:
Inilah yang kerajaan BN maksudkan keadilan yang saksama? Ahmad Ismail masih boleh tumpang masuk TV pasal nak tunjuk sokongan kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ahmad Ismail apa hukuman pun tak terima.Syed Hamid Albar patut hantar Ahmad ISmail gi Kamunting sekaligus.
Memang tak adil.Aku sumpah takkan undi BN sampai ISA dimansuhkan!!!
Harap semua rakyat jelata akan fikir masak-masak siapa yang mereka patut undi dimasa akan datang.
RPK I pray for your release.
Post a Comment