tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Sunday, September 14, 2008

My Mind : ISA melindungi orang yang diancam?


Polis mengatakan bahawa penahanan wartawan Tan Hoon Cheng adalah kerana nyawanya terancam. Persoalannya, bolehkah seseorang itu ditahan di bawah ISA kerana nyawanya terancam? Pertama kali saya dengar orang awam ditahan dibawah ISA kerana nyawanya terancam.

Adakah ISA bertujuan menahan orang yang terancam atau orang yang diancam? Musykil saya dengan kecerdikan PDRM dan Menteri Dalam Negeri kita. Saya kira penahanan ISA bukan keputusan PDRM tetapi ia adalah keputusan yang dibuat oleh wakil kerajaan. Maka PDRM hanya sekadar menjalankan tugas dan menurut perintah sahaja.

Kesimpulannya, jika nyawa anda terancam anda bolehlah meminta supaya ditahan dibawah ISA untuk menjamin keselamatan anda, tetapi ingat orang yang kononnya mengancam nyawa anda masih terus bebas diluar. Menurut logik akal matematik tahun 1 sekolah rendah, untuk melindungi seorang awam yang nyawanya diancam, adakah ia memerlukan penahanan dilakukan? Untuk mendapat perlindungan polis atas keselamatan anda, anda memerlukan polis menahan anda? Rasanya cerita P. Ramlee pun tak sehebat ini. Kala kita disajikan dengan kebijaksanaan dan teknologi siasatan jenayah yang terkini dalam drama tv C.S.I., kita disajikan pula dengan drama bersiri kepolisian tempatan yang tak logik diterima akal.

Saya rasa ramai yang telah hilang kepercayaan terhadap cara kerajaan dan Polis bertindak sejak peristiwa pembatalan penggunaan dakwat kekal ketika PRU-12 yang lepas. Kononnya, ada pihak yang cuba mensabotaj dan telah membeli dakwat yang serupa. Kononnya tangkapan telah dibuat. Tapi mana hasilnya siasatannya. Malu rasanya menjadi rakyat Malaysia yang mengejar wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju sedangkan rakyat Nepal yang baru kali pertama menganjurkan pilihan raya telah pun menggunakan dakwat kekal tersebut untuk menjamin satu proses pilihan raya yang adil.

Sedarlah wahai pemimpin sekelian, rakyat Malaysia semakin bijak, dan kami mempunyai akal dan IQ yang lebih tinggi daripada pemimpin yang ada hari ni. Maka, anda yang dipilih oleh rakyat, laksanakanlah amanah Allah ini dengan sebaik-baiknya. Tidak kira anda berkhidmat untuk orang Islam mahupun tidak, untuk orang Melayu atau pun tidak, lakukan sebaiknya kerana semua ini adalah amanah Allah terhadap dirimu. Tanpa izinnya anda tidak akan menang dalam pilihanraya lepas, anda tidak mungkin menjadi pemimpin tertinggi.

Ingatlah juga, jika berlaku pertukaran kerajaan, ia juga tidak akan berlaku tanpa izin daripadaNya. Kami cuma mahukan yang terbaik untuk diri kami dan anak-anak kami kelak. Kita perlu menyediakan landasan yang betul supaya negara ini terus aman dan makmur.

Allahuakbar!

No comments: