tagline
Tuesday, September 16, 2008
Tun M Blog : Perkauman
Original source : http://www.chedet.com
1. Apabila prestasi Barisan Nasional jatuh dengan teruk pada Pilihanraya Umum lepas ramai pemerhati di dalam dan luar negara mendakwa bahawa semua rakyat Malaysia pelbagai kaum telah menolak politik berlandaskan kaum.
2. Peningkatan mendadak jumlah Ahli Parlimen pembangkang dikatakan kerana pembangkang merupakan alternatif kepada politik perkauman yang diamalkan BN. Bahawa PAS adalah parti Melayu manakala DAP pula dianggotai hampir keseluruhannya oleh orang Cina tidak diambil kira. Saya tak faham. Parti-parti ini juga merupakan parti berlandaskan kaum.
3. Jika benar rakyat menolak parti berlandaskan kaum sebagaimana yang diwakili parti-parti komponen BN, mereka juga sepatutnya tolak PAS dan DAP. Dan kita juga patut melihat peningkatan hubungan antara kaum.
4. Tetapi adakah terdapat peningkatan hubungan antara kaum ini?
5. Mungkin saya salah dan semestinya pucuk pimpinan Kerajaan akan kata saya salah, tetapi apa yang saya lihat hari ni ialah kewujudan sifat perkauman yang lebih ekstrim.
6. Yang terbaru melibatkan Dato Ahmad Ismail.
7. Kemarahan dan kekecohan yang ditimbulkan beliau, seorang yang kerdil di dalam UMNO, tidak setanding dengan isu yang dibangkitkan. Tetapi oleh kerana pemimpin UMNO tidak bijak mengurus isu tersebut dengan baik, maka ianya menjadi satu isu yang boleh pecah-belahkan BN.
8. Kini MCA dan Gerakan mengugut untuk keluar BN.
9. Kita boleh faham tindakan parti Cina untuk kembalikan sokongan kaum Cina dengan menunjukkan bantahan yang kuat terhadap UMNO. Tetapi ini hanya akan timbulkan perasaan marah orang Melayu terhadap orang Cina. Jika ini terus berlaku, jika Gerakan dan MCA tinggalkan BN kerana apa yang diperkatakan Ahmad Ismail, siapa yang untung? Sudah tentu Pakatan pembangkang. Pilihan yang ada pada Gerakan dan MCA hanyalah untuk menyertai pembangkang atau terus merosot menjadi parti yang tidak signifikan yang tidak mungkin boleh menang cukup kerusi untuk bentuk Kerajaan. Akhirnya pembangkang menang.
10. Percayakah kita parti pembangkang seperti PAS, yang bulat-bulat parti Melayu dengan matlamat menubuhkan negara Islam dan DAP yang mengamal politik sekular dan dianggotai hampir keseluruhannya oleh orang Cina boleh mendirikan Kerajaan yang baik? Pakatan Rakyat bukanlah satu perikatan seperti BN. Ianya hanya himpunan parti-parti berasingan yang bergabung untuk menang pilihanraya dengan tidak bertanding melawan sesama mereka.
11. Saya tahu PAS dan DAP tidak suka dengan kehadiran Keadilan yang baru wujud ketuanya Anwar Ibrahim. Mereka tidak mahu tunduk kepada Keadilan atau lantik Anwar sebagai Perdana Menteri. Mereka tidak mahu Keadilan memain peranan seperti UMNO di dalam Barisan Nasional.
12. Hasilnya adalah kekacauan dalam negara. Akan tercetus ketegangan kaum yang akan menjadi lebih buruk.
13. Apa yang saya dapat lihat juga ialah keengganan parti-parti Cina di dalam BN untuk menamakan punca masalah yang sebenar. Secara tertutup, orang Cina seperti juga Melayu, akan mencerca pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi tiada siapa yang akan katakannya secara terbuka. Sebaliknya kita lihat UMNO dijadikan mangsa.
14. Menjadikan UMNO mangsa tidak akan memperbaiki hubungan antara kaum atau meningkatkan mutu Kerajaan BN. Hanya jika Dato Seri Abdullah disingkir, dan hanya jika dianya sudah undur, tiada apa-apa yang boleh dilakukan parti-parti Cina mahupun UMNO untuk memperbaiki hubungan kaum dan pulihkan BN atau meningkatkan keupayaan Kerajaan negara ini.
15. Saya sudah kata yang Dato Seri Najib tidak perlu minta maaf, tetapi UMNO harus ambil tindakan disiplin terhadap Ahmad. Penolakan maaf Najib oleh Gerakan hanya menimbulkan kemarahan orang Melayu. Pada masa yang sama saya tidak rasa sokongan untuk Gerakan dan MCA meningkat.
16. Pimpinan BN sepatutnya memanggil semua pihak yang terlibat dan mempengaruhi mereka agar tidak gunakan isu perkauman. Tetapi pucuk kepimpinan ini takut untuk bersemuka dengan Ahmad Ismail. Sebaliknya dia mengguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menunjukkan yang dia tidak berpihak kepada sesiapa. Sekarang bukan hanya Melayu, tetapi Cina juga semakin marah.
17. Di dalam tulisan saya yang lepas, saya cuba kurangkan perasaan anti-BN. Bagi saya ianya masih merupakan gabungan yang baik, masih lagi institusi yang terbaik di dalam politik Malaysia yang berbilang kaum.
18. Masalahnya ialah kepimpinan yang tidak cekap. Kita tidak karamkan kapal hanya kerana nakhoda tidak cekap. Kita singkirkan nakhoda.
19. Saya tahu akhbar Cina mengatakan yang saya bersifat perkauman. Saya boleh nafikannya tetapi mereka tidak akan terima penafian saya. Tetapi hubungan yang baik antara kaum di Malaysia adalah satu kemestian. Perbalahan antara UMNO, MCA dan Gerakan hanya akan hasilkan ketegangan kaum dan perpecahan dalam BN. Tiada pihak dalam BN yang akan untung.
20. Pimpinan UMNO, MCA dan Gerakan mesti berusaha untuk memperbaiki keadaan ini dan memulihkan semula BN.
21. Tetapi saya akui ianya adalah sukar jika Abdullah masih lagi memimpin BN dan Kerajaan. Sudah tiba masanya UMNO, MCA dan Gerakan bersatu dan paksa Abdullah lepaskan jawatan. Hanya dengan cara ini kita dapat pulihkan BN dan mungkin juga menyusunnya semula. Jika tidak hubungan kaum akan terus merosot dan negara akan jadi mangsa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment