KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memfailkan permohonan bagi menangguhkan prosiding perbicaraan kes tuduhan liwat yang dijadualkan pada 2 Februari ini.
Permohonan ini dibuat sementara menunggu rayuan Anwar berhubung penolakan Mahkamah Tinggi di sini terhadap permohonannya bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.
Menurut peguam bela Anwar, Sankara Nair, beliau memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Malah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada Free Malaysia Today memberitahu mahkamah telah menetapkan 2 Februari ini bagi mendengar permohonan tersebut di hadapan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah.
“Pada pukul 4 petang tadi pihak Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi memberitahu bahawa 2 Februari (Selasa) bagi mendengar permohonan itu,” kata Sankara.
Namun sama ada perbicaraan itu diteruskan atau sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan hakim.
Pada 1 Disember 2009, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar dan menetapkan perbicaraan selama sebulan mulai 25 Januari 2010.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung permohonannya itu bagi mendapatkan dokumen yang didakwanya adalah penting bagi pembelaannya, memerintahkan perbicaraan ditunda kepada 2 Februari.
Keputusan ini dibuat sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan.
Mahkamah Persekutuan dijadual memberikan keputusannya berhubung perkara itu hari ini.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.
No comments:
Post a Comment