Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar perdana menteri
supaya menyatakan pendirian terhadap dakwaan MCA bahawa hukum hudud yang
dianjurkan PAS akan menggalakkan orang Islam untuk merogol wanita bukan
Islam.
Menurut Anwar, Datuk Seri Najib Razak tergamak menghadiri
pembukaan mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu lalu tetapi hanya
membungkam apabila kenyataan timbalan pengerusi sayap wanita parti itu
disokong presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek.
"Presiden MCA boleh berucap menyerang Islam begitu biadap sekali dan dia boleh duduk senyum.
"Kemudian bila berucap tak tegur pun.
"Mana
dia maruah (Najib) sebagai umat (Islam)?" tanya Anwar dalam ucapannya
di program ceramah di Taman Melati, Kuala Lumpur semalam.
Anwar
berkata, tindakan Chua Soi Lek itu keterlaluan dan turut membangkitan
isu rakaman hubungan seks luar nikah presiden MCA itu dengan seorang
wanita lain.
"Siapa dia (yang bercakap)? Chua Soi Lek.
"Bercakap soal moral, saksi dia Datuk Najib. Saya ingat ini sudah keterlaluan," kata Anwar sinis.
Sabtu
lalu, Chua memperakui kenyataan Heng Seai Kie yang mendakwa mursyidul
am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menggalakkan orang Islam merogol
wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat.
Heng dilaporkan menyatakan demikian berdasarkan satu video ceramah Nik Aziz yang dipercayai dirakam sekitar tahun 2008.
Nik
Aziz bagaimanapun dilaporkan tidak langsung menyebut tentang wanita
bukan Islam dalam video itu dan Heng menyesuaikan sendiri konteks
ceramah Nik Aziz untuk meliputi wanita bukan Islam.
Minggu lalu,
Chua turut mengundang kontroversi apabila membuat kenyataan mendakwa 1.2
juta pekerjaan akan hilang apabila hukum hudud dilaksanakan.
Turut
sama membidas kenyataan MCA pada majlis ceramah semalam adalah MP
Petaling jaya Utara, Tony Pua yang berkata Umno sebagai rakan MCA dalam
BN hanya mendiamkan diri dalam perkara itu.
Tetapi pada masa sama DAP bertindak membela Nik Aziz walaupun mereka menolak pelaksanaan hudud, katanya.
"YB
Lobak, Anthony Loke dia masuk Dewan (Rakyat) tepuk sama meja minta
supaya MCA meminta maaf sama tok guru dan minta MCA dikenakan tindakan
kerana mereka menghina Islam," katanya.
Beliau turut mengulangi pendirian DAP bahawa parti itu menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan walaupun menolak hudud.
"DAP
tak bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang hudud dalam perlembagaan
kita tetapi kita hormat kepada penganut agama Islam.
"Kita hormat agama Islam adalah agama rasmi negara kita. Kita tak hina agama Islam seperti MCA dan BN," katanya.
http://www.malaysiakini.com/news/212436
No comments:
Post a Comment