Ketua ahli parlimen DAP Lim Kit Siang menganggap Datuk Seri Najib Razak
tidak lagi sah menjadi perdana menteri bermula 9 Mac semalam dan
mendesak Najib segera mengadakan pilihan raya dengan segera.
Katanya, tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada genap lima tahun pada 8 Mac lalu.
"9
Mac adalah tarikh yang mustahak kerana bermula hari ini kita ada
perdana menteri yang tidak sah di Malaysia," kata Lim sewaktu berucap
pada majlis sambutan 5 tahun pentadbiran kerajaan negeri Selangor di
Shah Alam semalam.
Beliau
mendakwa, Najib kini menjadi perdana menteri tanpa mandat daripada
rakyat memandangkan beliau tidak mengadakan pilihan raya umum untuk
mendapat mandat baru selepas mengambil alih jawatan daripada Tun
Abdullah Ahmad Badawi.
Tambah Lim, semua perdana menteri sebelum
Najib mengadakan pilihan raya umum dalam masa enam bulan ke setahun
selepas mengambil alih kuasa daripada perdana menteri sebelumnya.
"Beliau sudah menjadi perdana menteri yang tidak dipilih, yang paling lama di Malaysia.
"(Beliau) tiada mandat daripada rakyat, takut mengadakan pilihan raya, (dan) takut bubar parlimen," katanya.
Tindakan Najib, kata Lim, menyebabkan rakyat Malaysia sudah berada dalam 'mod' pilihan raya sejak empat tahun yang lalu.
"Datuk Seri Najib catat rekod baru, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi Malaysia sudah masuk Guiness Book of Record.
"Mana ada negara di dunia dalam mod pilihan raya selama empat tahun.
"Ini memalukan buat Malaysia," kata Lim disambut sorakan gemuruh daripada kira-kira 5,000 hadirin di Dataran Kemerdekaan.
Pilihan raya umum terakhir diadakan pada 8 Mac 2008, di mana BN tewas di lima negeri.
Abdullah
setahun kemudian meletakkan jawatan sebagai perdana menteri – satu
tindakan yang diistilahkan sebagai 'peralihan kuasa' pada masa itu – dan
Najib selaku timbalan perdana menteri menggantikan beliau bermula 4
April 2009.
Sementara itu Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam ceramah sama membangkitkan mengenai cubaan sesetengah
media yang mengaitkannya dengan pencerobohan di Lahad Datu.
Menurut
Anwar, beliau sedikit pun tidak gentar dengan tindakan itu yang
dianggapnya sebagai cubaan untuk kembali menyumbat beliau ke dalam
penjara atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.
"Saya tengok cara media duduk main khianat saya dengan isu Lahad Datu ini, mungkin dia nak bawa saya ke situ.
"Nak ugut saya sekali lagi, tapi saya nak cakap, saya akan hadapi.
"Namun, berundur tidak sekali-kali," kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.
Turut
hadir dalam majlis semalam antaranya adalah Menteri Besar Selangor, Tan
Sri Khalid Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.
source : http://www.malaysiakini.com/news/223417
No comments:
Post a Comment