oleh : Datuk MAT
ZAIN IBRAHIM merupakan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur. Tulisan ini adalah surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara
Tan Sri Ismail Omar.
________________________________________________________________________________
Pada 9 Mac yang baru berlalu, negara dikejutkan dengan pendedahan
oleh Azlan Mohd Lazim, iaitu bapa kepada Saiful Bukhari – pengadu dalam
kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim.
Secara peribadi saya
mengalukan kepantasan Timbalan Ketua Polis Negara, mengeluarkan
kenyataan bahawa polis akan segera memanggil Azlan Lazim, untuk mengenal
pasti sebab dan tujuan beliau membuat keterangan sedemikian.
Bagaimanapun
kenyataan Timbalan KPN yang menyatakan, bahawa oleh kerana Azlan tidak
pernah dipanggil memberi keterangan di mahkamah dalam perbicaraan kes
liwat berkenaan, maka pendedahan Azlan sedemikian itu tidak bernilai dan
tidak boleh digunapakai, adalah suatu kenyataan yang tidak wajar dibuat
di peringkat ini, sedangkan keterangan dari Azlan masih belum diambil
lagi.
Mungkin beliau semangnya mempunyai keterangan yang lain
yang belum didedahkan lagi, atau mungkin juga akibat daripada pendedahan
itu, saksi lain yang tidak pernah muncul akan timbul pula memberikan
keterangan baru dalam kes ini, tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Persoalan
Azlan Lazim tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat
itu sebenarnya bukan salah beliau, tetapi terletak ditangan pegawai
penyiasat dan pihak pendakwaan. Telah banyak kali berlaku di mana saksi
atau keterangan yang boleh membantu dalam sesuatu perbicaraan,
disorokkan daripada dikemukakan kepada mahkamah, sepertimana yang jelas
berlaku dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shariibuu.
Dalam
hal Azlan Lazim ini pula, kemungkinannya pihak pendakwaan yang dengan
sengaja tidak memanggil beliau sebagai saksi, kerana jika dipanggil
mungkin keterangan yang akan Azlan Lazim berikan, tidak akan memihak
kepada pihak pendakwaan.
Banyak kes lampau yang boleh dijadikan
teladan antaranya dalam kes yang agak masyhur, iaitu kes bunuh Jean
Perera Sinappa tahun 1980, di mana tertuduh dibebaskan daripada hukuman
gantung, setelah mahkamah ketika di peringkat rayuan, mendapati
keterangan palsu telah digunakan dalam perbicaraan utama kes tersebut.
Apa
yang ingin disarankan di sini ialah supaya pihak polis mengambil
pendedahan yang dibuat oleh Azlan Lazim itu sebagai maklumat baru dan
menjalankan siasatan terperinci mengenai isi kandungan pendedahan
tersebut dan bukan menutup kes itu memandangkan penyiasatan belum
dimulakan lagi.
Pernah berlaku sebelum ini, di mana mantan KPN
Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail, sama-sama berpakat
mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa kes siasatan salahguna kuasa
terhadap mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, telah ditutup pada 15
Februari 2000, walhal laporan polis mengenainya hanya dibuat pada 12 Jun
2000 dan kertas siasatan dibuka pada 13 Jun 2000. Dalam keadaan
sebegitu pun, PM mengatakan Gani dan Musa orang-orang yang jujur.
Soal
mengapa Azlan Lazim baru sekarang membuat pendedahan tersebut adalah
soal kedua. Yang pentingnya ialah maklumat yang beliau ingin dan dapat
dedahkan. Lagipun tidak ada had tempoh bagi mendedahkan sesuatu kejadian
jenayah.
Sambil itu pula saya sarankan Tan Sri melihat semula
beberapa maklumat penting yang telah saya sampaikan menerusi surat
terbuka atau surat terhad, berkaitan dengan perbuatan mereka keterangan
palsu dalam kes melibatkan penyiasatan insiden mata lebam, kes liwat
tahun 1998 (Liwat I) dan kes liwat tahun 2008 (Liwat II). Saya juga
menyarankan Tan Sri menyegarkan ingatan kepada perbincangan kita di
Bukit Aman pada 5 Januari 2011, yang turut dihadiri oleh mantan Timbalan
Ketua Polis Negara Hussein Ismail dan SUPM Ghazali Md Amin.
Kenyataan palsu dalam afidavit Najib
PM
Najib telah mengikrarkan dua afidavit, iaitu pada 21 dan 23 September
2011, bagi menyokong permohonan beliau untuk mengenepikan sepina, yang
mengehendaki beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes Sodomi II.
Isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga mengikrarkan affidavit
berasingan pada 21 September 2011 dalam permohonan yang sama.
Pada
bulan November 2011, saya telah menyampaikan maklumat bertulis kepada
KPN dan Menteri Dalam Negeri, berkaitan penegasan mustahak yang
diikrarkan oleh PM Najib, yang boleh dibuktikan sebagai tidak benar atau
palsu.
Setakat yang saya ketahui, dalam perkara pembikinan
afidavit palsu yang dikemukakan dalam sesuatu perbicaraan, adalah
tanggungjawab pegawai penyiasat kes atau Timbalan Pendakwa Raya, untuk
membuat laporan polis supaya dakwaan tersebut disiasat berasingan. Ianya
bukan tanggungjawab tertuduh atau peguambela tertuduh membuat laporan
tersebut.
Kesalahan membuat affidavit palsu atau memberi
keterangan palsu, adalah kesalahan yang tergolong sebagai kesalahan
terhadap Keadilan Awam (Public Justice) dan bukan kesalahan terhadap
seseorang individu. Malangnya setakat yang diketahui, tidak ada sebarang
siasatan yang dilakukan ke atas perkara ini, mungkin kerana kes ini
melibatkan Perdana Menteri.
Saya menegaskan di sini bahawa bukan
sahaja PM Najib tidak akan dapat memberi penjelasan berkaitan kenyataan
palsu yang beliau telah ikrarkan dalam afidavit tersebut, malahan beliau
akan menghadapi masaalah untuk menjelaskan berkaitan kekalutan mengenai
nama beliau sendiri.
Ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai PM
keenam pada April 2009, dengan nama Allah, beliau malafazkan nama
beliau sebagai Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Semasa
mengikrarkan afidavit pada September 2011 beliau menegaskan nama beliau
sebagai Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan menggugurkan nama Muhammad
dari nama beliau. Sementara ketika menandatangani Ikrar Integriti PRU-13
pada Februari 2013 pula, beliau memberikan nama beliau sebagai Najib
Razak sahaja, dengan menggugurkan nama “Muhammad” dari nama beliau dan
nama “Abdul” dari nama Allahyarham bapa beliau.
Jika nama
sendiri, sama ada terdapat nama Muhammad atau pun tidak, Perdana Menteri
boleh keliru, apatah lagi dengan perkara lain. Apa pula nama yang
beliau lafazkan ketika mengangkat sumpah di-masjid Guar Perahu?
Wallahua’lam.
Apa pun PM Najib tidak boleh menafikan yang beliau
mengikrarkan afidavit-afidavit tersebut sedemikian rupa, di atas
kerelaan dan kehendak beliau sendiri. Beliau tidak boleh menyalahkan
orang lain sekalipun peguam dan penasihat beliau.
PM Najib juga
wajar sedar, bahawa kekeliruan berkaitan nama beliau yang sebenar dan
kekalutan beliau melafazkan sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia
sebagai PM Malaysia ke-6, boleh menyebabkan kesahan (legitimacy) beliau
sebagai perdana menteri dicabar, sekiranya peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan dipatuhi sepenuhnya.
Pendedahan Musa Hassan
Dakwaan
terhadap Musa Hassan dan Gani Patail kerana telah memalsukan keterangan
DNA dan lain lain pemalsuan melibatkan kes salahguna kuasa dan liwat
terhadap Anwar Ibrahim, serta dalam penyiasatan insiden mata lebam telah
dibuat menerusi pelbagai saluran sejak 1998 lagi.
Namun begitu,
Musa Hassan dan Gani Patail serta kerajaan, telah menafikan
sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, walaupun rekod mahkamah dan
Suruhanjaya Diraja Siasatan, menunjukkan dakwaan tersebut adalah berasas
dan boleh dibuktikan sebagai benar.
Bagaimanapun pada 31 Mei 2012 secara tiba-tiba Musa Hassan sendiri, ketika diwawancara oleh pemberita Malaysiakini,
akhirnya telah mengaku bahawa memang betul beliau ada mengambil contoh
darah Anwar (dari simpanan pihak Hospital Kuala Lumpur) untuk ujian DNA
di atas tilam masyhur yang kontroversi itu.
Pengakuan Musa Hassan
yang dibuat hampir 14 tahun kemudian itu, telah membuktikan dua perkara
yang sangat penting. Pertama, keterangan DNA Anwar yang dikatakan
terdapat di atas tilam masyhur tersebut adalah palsu dan diperolehi
menerusi jalan fraud, penipuan dan menyalahi undang-undang.
Kedua,
afidavit Musa Hassan yang diikrarkan pada 2 September 1998 dan
difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes jenayah
No:45-40-1998, menyatakan beliau telah memperolehi laporan forensik pada
ketika itu, adalah palsu memandangkan tindakan Musa 'mencuri' contoh
darah tersebut dari HKL ialah pada 15 Oktober 1998.
Mengenai
peranan Musa Hassan dan Gani Patail dalam merekacipta keterangan DNA di
atas tilam tersebut, telah saya jelaskan secara terperinci menerusi
surat terhad saya bertarikh 27 Disember 2010 dialamatkan kepada KPN
dengan salinannya kepada Perdana Menteri dan Peguam Cara Negara yang
kesemuanya telah mengesahkan penerimaannya.
Persoalannya ialah
mengapa polis tidak memanggil Musa Hassan untuk siasatan lanjut setelah
beliau membuat pendedahan terbuka pada 31 Mei 2012 itu? Beliau bukan
sahaja pegawai penyiasat kes salahguna kuasa, malah beliau merupakan
penyelia penyiasatan semua kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim. Di
samping itu, Musa telah turut memberi keterangan di Mahkamah Tinggi
bersabit dengan kes kes tersebut sementara Gani Pula pula bertindak
sebagai ketua pendakwa.
Adakah polis mengelak daripada menyiasat
semula terhadap pendedahan Musa Hassan sedemikian itu disebabkan
kebimbangan hasil siasatannya kelak, akan membongkar dan mengaitkan
penglibatan pemimpin-pemimpin politik tertentu pada ketika itu? Terserah
kepada KPN untuk menjelaskannya kepada seluruh rakyat. Mereka berhak
mengetahui.
Rayuan keputusan kes Liwat II
Pada
pandangan saya,walaupun tanpa pendedahan yang dibuat oleh Azlan Lazim
itu, perbicaraan kes Liwat II sebenarnya memang tidak boleh diteruskan
lagi. Ini adalah kerana PM Najib telah membawa masuk keterangan palsu
dalam perbicaraan tersebut menerusi afidavit yang beliau ikrarkan,
sepertimana yang dijelaskan di perenggan-perenggan terdahulu.
Manakala,
Gani Patail sebagai orang yang memberi kata putus untuk menuduh Anwar
dalam kes Liwat II, dan memfailkan rayuan apabila Mahkamah Tinggi
mendapati Anwar tidak bersalah, boleh dibuktikan telah melakukan
beberapa banyak pemalsuan dan mereka keterangan palsu untuk mensabitkan
kesalahan jenayah terhadap Anwar semenjak 1998 lagi.
Pendek kata, Gani boleh dibuktikan mempunyai niat jahat terhadap Anwar sejak dari 1998 yang berlarutan sehingga kehari ini.
Biar
banyak mana sekali pun penafian Gani Patail, pendedahan yang dibuat
oleh Musa Hassan berkaitan keterangan DNA itu, adalah cukup untuk
membuktikan dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap mereka berdua
adalah benar dan betul.
Apa pun motif Gani memfailkan notis
rayuan terhadap keputusan Liwat II, beliau sebenarnya telah membuka
ruang kepada pihak pembelaan dan mana-mana pihak yang mempunyai
kepentingan, untuk mencabar afidavit yang diikrarkan oleh PM Najib
seperti yang dijelaskan di atas.
Desak siasat Najib jika benar-benar berani
Semenjak
tercetusnya insiden pencerobohan senjata di Lahad Datu, kita perhatikan
beberapa ramai menteri kanan dan pemimpin politik dengan lantang
membuat seruan mengajak rakyat, sama-sama memperjuangkan dan
mempertahankan kedaulatan dan undang-undang negara. Kita hormati
keberanian mereka itu.
Jika mereka benar-benar berani, jujur dan
ikhlas, kita mengajak mereka pula untuk bersama-sama dengan rakyat,
mendesak pihak berkuasa untuk melancarkan siasatan terperinci terhadap
PM Najib, Gani Patail dan Musa Hassan kerana terdapat bukti yang mereka
secara bersingan atau bersama-sama, mengkhianati dan melanggari
kedaulatan dan undang-undang Negara.
Pada pandangan saya, kita
tidak perlu pun menggunakan keterangan daripada Azlan Lazim atau Deepak
Jaikishan atau P Balasubramaniam untuk membuktikan salahlaku jenayah
mereka.
Perbuatan mereka sendiri, antaranya menerusi pembikinan
affidavit mengandungi kenyataan mustahak yang tidak benar atau palsu,
memberi keterangan palsu di mahkamah dan mereka keterangan palsu dalam
bentuk laporan pakar palsu, adalah cukup untuk mensabitkan kesalahan
jenayah masing-masing. Mereka sebenarnya tidak ada pembelaan.
MAT
ZAIN IBRAHIM merupakan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur. Tulisan ini adalah surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara
Tan Sri Ismail Omar.
source : http://www.malaysiakini.com/news/223605
No comments:
Post a Comment