Kewujudan pengundi hantu menjadi isu paling utama yang mempersoalkan
perjalanan PRU13. Menurut laporan-laporan yang telah dibuat sebelum,
semasa dan selepas hari mengundi, pengundi hantu ini dipercayai
didatangkan dalam dua bentuk; iaitu rakyat asing yang diberikan kad
pengenalan dan mengundi; serta pengundi rakyat Malaysia yang mengundi
lebih dari sekali kerana didaftarkan di beberapa tempat.
Beberapa hari sebelum hari pengundian, jentera Barisan Nasional di
seluruh negara giat mengedarkan slip-slip mengundi yang menyatakan
tempat dan saluran mengundi dari rumah ke rumah. Slip-slip ini diambil
dari daftar undi induk yang dikeluarkan oleh SPR.
Di seluruh negara, banyak berlaku kejadian slip undi yang diedarkan
oleh Barisan Nasional itu menunjukkan wujudnya pengundi-pengundi tidak
dikenali yang didaftarkan di alamat-alamat dalam kawasan tertentu.
Banyak pemilik dan pengundi asal di alamat-alamat tersebut telah tampil
membuat laporan polis mempersoalkan kenapa ada pengundi lain yang
didaftar dengan ramai di alamat mereka, sedangkan mereka telah tinggal
di alamat itu dari awal dan tidak pernah mengenali nama-nama yang
didaftarkan.
Saya sendiri membantu membuat 2 laporan polis di Pandan berhubung kejadian ini pada hari pengundian.
Hari ini, saya tampilkan 5 laporan polis yang dibuat berasingan di
Parlimen Kuala Kedah yang menunjukkan bahawa 43 orang yang tidak
dikenali telah didaftarkan di 6 buah rumah di dalam satu taman, iaitu
Taman Sri Putra.
Saya juga sertakan satu salinan Borang 10A yang dikeluarkan oleh SPR
sendiri di Parlimen Kuala Kedah, yang mengesahkan bahawa seorang
pengundi iaitu Lim Tiek Hong dinafikan hak mengundi kerana ada orang
lain telah mengundi bagi dirinya.
Laporan-laporan polis dan Borang 10A yang dikeluarkan sendiri oleh
SPR mengesahkan bahawa keraguan wujudnya pengundi hantu yang didaftarkan
berkali-kali ada asasnya. Kejadian seperti ini di seluruh negara
memperkukuhkan persepsi rakyat bahawa PRU13 penuh dengan penipuan dan
SPR tidak mempunyai kewibawaan untuk mempertahankan satu proses
pilihanraya yang adil, bersih dan telus.
Oleh yand demikian, saya menyeru kepimpinan SPR untuk memberikan
penjelasan yang masuk akal mengenai kejadian-kejadian ini kerana ada
laporan polis khusus yang dibuat mengenainya. Saya juga menyeru supaya
pasukan polis mula membuat kenyataan mengenai pelbagai laporan polis
mengenai penyelewengan pilihanraya yang telah dibuat selama ini.
Jika 43 pengundi yang diragui boleh wujud di satu taman di Parlimen
Kuala Kedah hanya di 6 buah rumah, bayangkan berapa banyak pengundi
hantu yang sebegini yang boleh didaftarkan di seluruh negara.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 MEI 2013
http://rafiziramli.com/2013/05/43-pengundi-tidak-dikenali-di-daftarkan-di-enam-6-rumah-di-parlimen-kuala-kedah/
No comments:
Post a Comment