Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dato’
Wan Ahmad Wan Omar yang memperlekehkan aduan berlakunya kejadian
terputus bekalan elektrik semasa pengiraan undi (black-out)
amatlah dikesali. Beliau juga mempersendakan aduan-aduan ini, kononnya
dilakonkan terlebih dahulu dan mencabar sekiranya benar ada kejadian
begini berlaku agar laporan polis dikemukakan kepada SPR.
Semalam, wakil rakyat Sri Serdang Puan Noor Hanim Ismail telah tampil
menjelaskan bahawa gambar di internet yang berlegar benar-benar berlaku
di dalam kawasan yang beliau tandingi. Dengan kenyataan balas YB Noor
Hanim Ismail itu, Dato’ Wan Ahmad Wan Omar wajarlah mengemukakan asas
bagaimana beliau boleh mempersendakan satu aduan serius yang dibuat
mengenai kepincangan perjalanan pilihanraya, tanpa usul periksa terlebih
dahulu.
Hari ini, saya tampilkan satu lagi bukti untuk menunjukkan bahawa
Dato’ Wan Ahmad Wan Omar tidak pernah ikhlas untuk menangani aduan
kepincangan perjalanan pilihanraya secara ikhlas. Beliau mencabar agar
ditunjukkan laporan polis sekiranya benar berlaku black-out di mana-mana
tempat pengiraan undi dalam PRU13.
#siasatpru13 berjaya menjejaki satu lagi insiden black-out di Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disertakan dengan laporan polis. Laporan menyebut:
“Pada 5/5/2013 jam lebih kurang 0715 malam bekalan letrik
terputus di dalam kawasan Sekolah Sri Lindungan Raja, Sedim, Karangan,
Kedah. Saya sebagai ketua unit peti undi Kampung Tebuan, Sedim bagi
PRU13 N35, P18 dan sebagai agen wakil calon PKR ditempat kiraan undi di
sekolah tersebut. Kejadian ini mendatangkan kecurigaan kepada pihak saya
berdasarkan perkara ini saya mendapat maklumat daripada pihak TNB dan
tiada sebarang bekalan elektrik terputus di kawasan Sedim. Perkara ini
disahkan oleh pihak TNB. Pada 5/5/2013 jam 0725 malam bekalan elektrik
puih semula berdasarkan perkara ini juga pihak saya merasakan terdapat
unsur penyelewengan. Kejadian ini berlaku hanya pada bangunan sekolah
sahaja sedangkan saksi-saksi bagi pihak saya melihat kawasan di luar
sekolah tiada terputus bekalan elektrik. Sekian repot saya.”
Dengan adanya saksi dan laporan polis sebegini, secara langsung
menjawab cabaran Dato’ Wan Ahmad Wan Omar yang mahu melihat laporan
polis yang dibuat.
Kini, menjadi tanggungjawab beliau untuk menerangkan bagaimana
kejadian terputus bekalan elektrik hanya di tempat mengira undi pada
ketika undi sedang dikira boleh berlaku, sedangkan TNB menyatakan bahawa
tiada sebarang gangguan bekalan eletrik.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 MEI 2013
http://rafiziramli.com/2013/05/ada-laporan-polis-dibuat-mengenai-kejadian-terputus-bekalan-elektrik-semasa-pengiraan-undi-blackout/
No comments:
Post a Comment