tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, April 28, 2008

Anwar tidak disabitkan untuk kes liwat, sedarkah kita?

Assalamualaikum...

Hampir sepuluh tahun berlalu sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ditangkap dan dipenjara. Ketika itu saya masih menuntut di salah sebuah Universiti Tempatan, jauh dari ibu kota. Kehangatannya tidak berapa terasa di kampus saya, mungkin kerana jarak yang teramat jauh dari Kuala Lumpur.

Bila pulang ke kampung berhari raya, saya lihat kereta Pakcik saya dilekatkan pelekat Menyokong Anwar, merata-rata secara bebas orang menunjukkan sokongan. Datuk saya seorang bekas pejuang UMNO yang pernah berjuang bersama Tun Ghafar Baba dalam menuntut kemerdekaan. Kini dia berusia 87 tahun, sering tidak sihat tapi masih gagah untuk keluar mengundi pada PRU 12. Anaknya menghantarkannya ke pusat pengundian yang jarak perjalanan 40 minit dari kampung halamannya. Dengan megah pada hari pengundian, datuk saya menunjukkan kad keahlian UMNOnya, katanya kepada anaknya itu,"Abah sampai mati pun akan tetatp undi UMNO". Padanya UMNO adalah Melayu, dan Melayu adalah UMNO.

Sebagai anak muda yang lahir pada zaman yang berbeza, saya tidak menafikan kata-kata hikmat yang keluar daripada mulutnya, kerana saya faham bahawa pada setiap jiwa pejuang kemerdekaan UMNO mereka tidak sama dengan UMNO kita pada hari ini. Pada mereka UMNOlah pejuang kemerdekaan, tanpa UMNO tak mungkin Malaysia mengecap kemerdekaan pada Ogos 1957. Saya hormati pendiriannya dan tidak bertegang urat untuk menegaskan pendirian saya pula.

Mari kita lihat, UMNO kepada setiap pejuang kemerdekaan adalah UMNO yang berbeza dengan UMNO yang ada didalam jiwa pejuang-pejuang dan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini. UMNO dulu tidak mewah, UMNO dulu mendahulukan bangsa dan negara, tapi UMNO hari ini jauh berbeza, UMNO adalah parti pemerintah paling mewah, berkuasa dan adakalanya telah membuatkan ahlinya sendiri leka. Oleh itu, apabila wujudnya isu pertelingkahan di dalam UMNO hari ini, adalah amat tidak wajar jika sesiapa sahaja tidak kira pemimpin atau media cuba mendapatkan pandangan daripada veteran-veteran UMNO. Kenapa? Kerana UMNO bagi mereka adalah berbeza. Birakan mereka dengan ideologi UMNO mereka. Tetapi harus diingat bahawa UMNO versi veteran inilah jiwa UMNO yang sebenar-benarnya. UMNO hari ini harus menilai semula episod-episod revolusi di dalam UMNO itu sendiri sejak sebelum kemerdekaan sehingga kini. Jangan sekadar melaungkan UMNO dulu,kini dan selamanya sedangkan UMNO versi dulu,versi kini dan versi akan datang itu sendiri telah jauh tersasar dan berbeza.

Berbalik ke topik posting saya hari ni. Sejak pemecatan DSAI, semua media arus perdana telah menghukum DSAI walaupun beliau belum pun ditahan pada ketika itu. Saya melihat bagaimana keberanian DSAI membuat road tour tanpa rasa gentar kepada undang-undang manusia kerana mungkin beliau berpegang kepada kepercayaannya bahawa kita hanya berusaha dan Allah penentu segalanya. Amat sedih melihat anak didik Tun Dr. Mahathir sendiri, yang dibawa masuk oleh beliau sendiri ke dalam UMNO diperlakukan sedemikian rupa. Maruahnya dicalar-calar oleh media. Heboh di sini sana, DSAI meliwat, habis semua orang sekelilingnya diliwat. Masya Allah, siapalah kita untuk menghukum orang tanpa bukti kukuh? Tilam diusung ke mahkamah, DNA, Spesimen air mani dan bermacam-macam lagi bahan yang kononnya bukti dibawa ke mahkamah. Seperti menontot sarkis pun ada, malu saya sebagai seorang rakyat Malaysia melihat seorang pemimpin yang dihormati dan disegani diperlakukan sedemikian rupa.

Ketua Polis Negara, PDRM semuanya hilang kredibilitinya di mata masyarakat kerana diperalatkan oleh mereka yang kononnya berkuasa, yang sebenarnya gilakan kuasa, mereka yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal diatas,semuanya demi duniawi semata-mata. Mahkamah hilang maruahnya, semua rakyat mula berprasangka, ceritanya seolah direncana, pertuduhan kes boleh pula di pinda2, keterangan saksi pula tidak konsisten. Di manakah maruah keadilan mahkamah Malaysia di mata dunia? Mengucap panjang saya jika memikirkannya semula.

Akhirnya, DSAI disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa. Kes liwatnya? DSAI dibebaskan dari tuduhan liwat yang bagai nak rak heboh seluruh dunia. Masya Allah, pengadilan apakah ini? Seorang Islam dihina, diperguna, dipijak-pijak maruahnya, merengkok di dalam penjara dan akhirnya dibebaskan tanpa disabitkan kesalahan yang sebelum ini heboh dijaja di setiap media arus perdana.

Bagaimana rakyat menilai semua ini? Pada waktu itu kita lihat kebangkitan media-media alterntif terutamanya di internet seperti akhbar Malaysiakini yang juga turut menjadi bahan eksperimen pihak pemerintah hanya kerana membawakan kisah2 benar yang tidak dapat dibaca di media-media terkawal arus perdana. Kebebasan akhbar telah tiada di Malaysia, ketika itu rakyat belum cukup bijak untuk bertindak. Lihatlah hasilnya pada PRU12, selepas hampir 10tahun akhirnya, rakyat telah memprotes, baru kini kerajaan terhegeh-hegeh nak bertindak. Sepatutnya 10 tahun lepas, bukannya ketika nasi dah menjadi bubur ayam McDonald.

Yang jelasnya DSAI tidak disabitkan dengan tuduhan liwat tersebut! Tapi adakah terdapat usaha-usaha media-media propaganda yang dulunya diagendakan untuk menghebohkan kes liwat ini untuk memperbaiki keadaan? Membersihkan imej seorang pejuang bangsa yang telah dipijak-pijak maruah dirinya? Tiada!!!

Mereka yang berkuasa masih seperti dahulu, tak sedar-sedar dan tak mahu ambil iktibar. Ingatlah kuasa itu sementara, dunia ini sementara, lihatlah mereka yang hilang kuasa pada PRU12. Menteri-menteri yang bongkak, semuanya tersungkur. Rakyat dah jelik, bukan orang takbur yang mereka mahukan sebagai pemimpin. Itulah yang saya katakan tadi UMNO dulu lain dan sekarang jauh berbeza. Wujudkah pemimpin2 UMNO yang bongkak pada waktu dahulu? Pemimpin bertaraf jutawan? Tapi hari ini rata-rata memiliki Mercedes di rumah. Hidup kaya raya, mewah tak terhingga.

Tepuk dada tanyalah selera!

Saya masih melihat ramai pemimpin UMNO peringkat Nasional dan menteri-menteri yang masih syok sendiri. Membuat kenyataan mempertahankan Pak Lah tanpa mereka sendiri sedari bahawa mereka merosakkan imej diri mereka itu sendiri. Apakah warasnya untuk melantik seorang yang diragui kredibilitinya seperti Mohammad Mohd Taib(minta maaf kalau salah ejaannya) sebagai seorang Menteri? Bukan orang seperti ini yang rakyat mahukan. Apalah agenda Pak Lah melantik orang yang tidak bersih di mata rakyat sebagai barisan kabinetnya. Adakah kerana hutang politik yang perlu dilangsaikan? Umum mengetahui kes Mohammad Taib ketika menjadi Menteri Besar Selangor dia tangkap kerana membawa tunai jutaan ringgit di sebuat lapangan terbang di Australia. Bagaimana seorang menteri boleh memiliki wang sebanyak itu dan pastinya itu bukannya semua wang simpanannya, entah berapa juta lagi yang ada. Mengeluh panjang saya dan teman-teman ketika melihat barisan kabinet Pak Lah yang terbaru. Astaghfirullahhulazim.. apa nak jadi dengan Malaysia? Walau bagaimana pun rakyat tiada pilihan, BN masih mempunyai majoriti yang dimiliki dengan bantuan Sabah dan Sarawak, harus diiingat tanpa kerusi bantuan Sabah dan Sarawak ini BN sebenarnya tewas di Semenanjung Malaysia. Masih tak sedarkan diri? BN, UMNO bangunlah! Bukalah mata dan lihatlah dunia... Malaysia ini untuk siapa? Jika UMNO masih tak mahu bangun dan terus alpa, jangan sekali-kalinya menghukum rakyat jika mereka beralih angin mencari penyelesaian alternatif bagi segala permasalahan negara ketika ini.

Jangan hanya bila ada pilihanraya baru semua tak keruan, nak makan pun tak ada masa, nak mandi pun tak basah... semuanya tergesa-gesa cuba membeli kepercayaan rakyat pada saat-saat akhir. Ingatlah rakyat bukannya berminda kampung yang boleh dikempen seminggu sebelum pilihanraya. Rakyat Malaysia berakal, mereka bukan sahaja melihat, mereka menilai, mereka menganalisa dan kemudian baru mereka membuat keputusan. Perubahan sepatutnya telah pun bermula bukannya baru hendak dirancang di atas kertas.

Pohonlah petunjuk dari Allah kerana Allah Maha Kaya, tapi jika kita tidak berusaha bukan sahaja secara fizikal tetapi juga memohon pertolongan daripadaNya, maka kejayaan tidak akan ada jika kita tidak bersungguh-sungguh melaksana dan memohon dariNya. Amin....

No comments: