tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, April 28, 2008

Selamatkan Anak Melayu Kita

Saya kira perlu bagi saya berbicara berkaitan topik ini, walaupun skopnya Maha luas tapi ada satu aspek yang cuba saya bawakan di sini. Satu realiti di luar bandar, isu yang belum pernah diketengahkan lagi kepada umum, tidak kira oleh media atau pun mana2 pemimpin Melayu.

Keciciran Anak Melayu luar bandar dari persekolahan. Itulah topik yang ingin saya perbincangkan hari ini. Jika keciciran itu disebabkan oleh ketidak mampuan keluarga, maka ia adalah satu yang boleh diterima akal. Apa yag ingin saya tonjolkan di sini adalah keciciran bukan disebabkan oleh faktor kewangan.

Ini adalah dari pengamatan saya dan ia berlaku sendiri kepada keluarga terdekat saya yang tinggal di pekan yang agak maju di Negeri Sembilan dan saya dapati ia juga berlaku di negeri-negeri lain. Tahukah anda bahawa ramai anak melayu kita cuma bersekolah hingga ke Tingkatan 3 dan tidak berminat untuk meneruskan pelajaran. Anak-anak muda ini tinggal di pekan kecil, tetapi lengkap dengan segala infrastruktur asas. Elok rasanya jika saya berterus-terang, kisah yang ingin saya jadikan model ini benar-benar berlaku di pekan Rembau, Negeri Sembilan. Tak pasti pula saya sama ada Ahli Parlimennya sedar akan masalah ini. Ramai.. memang ramai anak muda melayu di sana yang tidak meneruskan persekolahan hanya kerana tidak berminat. Alangkah singkatnya fikiran mereka. Tapi salah siapa? Jika masalah ini tidak disedari selama ini, saya harap dengan pendedahan ini akan ada inisiatif yang akan diusahakan di peringkat Nasional untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda ini tentang pentingnya pendidikan asas untuk kehidupan.

Dengan berbekalkan PMR, apalah pekerjaan yang boleh dipohon. Kilang pun hendakkan SPM. Ke mana hala tuju mereka ini? Pada umur 25 tahun ketika teman-teman seperjuangan sudah berkerja dengan baik, anak-anak ini hanya melangut di rumah. Menonton Astro... Akademi Fantasia yang diulang-ulang. Suruh bekerja pun malas, cuma makan tidur di rumah. Mereka seolah tidak boleh berfikir bahawa orang tua mereka dah tua, tak larat untuk membanting tulang untuk memberi makan dan minum kepada mereka. Salah orang tuakah kerana tidak mendidik secukupnya?

Ketahuilah bahawa orang tua mereka ini bukan dari golongan berpendidikan tinggi, maka bagaimana mereka sendiri hendak mencorakkan jalan/ laluan untuk anak2 ini jika anak ini sendiri malas dan degil untuk ke sekolah. Sehari dua boleh la ditegur, naik sebulan mak bapak pun berbuih mulut dan malas nak cakap apa.

Ini juga kisah benar. Tak percaya? Saya persilakan pihak berkenaan buatlah kajian. Pergi ke sekolah2 dan dapatkan data berapa ramai anak Melayu yang tamat Tingkatan 3 sahaja dan kini apa pekerjaan mereka? Nak jadi buruh binaan? Kirim salam! Anak muda yang malas bersekolah ini simpang malaikat 44 pun mereka tak kan sanggup bekerja di sektor pembinaan.

Tahukah anda pekerja mahir disektor pembinaan (buruh mahir) boleh mendapat upah setinggi RM70 - RM110 sehari? Pemandu dan pemilik traktor/ kren dibayar RM240 sehari! Pekerja Indon tanpa permit pun dibayar RM40 sehari. Melayu tak tahu? Kenapa tak tahu? Sebab tak minat, bila tak minat maka tiada usaha untuk ambil tahu. Kren pun dah ada air-cond, pemandu kren/traktor ini mampu membeli rumah kos sederhana teres dua tingkat di ibukota!

Hmmm... anak melayu masih tak sedarkan diri tiada kelulusan tapi angankan bekerja di tempat berhawa dingin. Kalau berkahwin nanti, macam mana mereka nak beri makan anak bini? Sekarang ini pun dah pandai berawek-awek, kalau terlanjur, saper yang susah? Mak Bapak jugak yang merana.

Sedih saya melihat mereka ini. Mereka tak sedar betapa berharganya mereka kepada negara. Angan-angan mereka besar, biasalah anak Melayu pantang lihat orang lain lebih. Tak bekerja tapi nak pakai motor RXZ, nak berhandphone, nak berawek. Siapa jadi mangsa? Mak bapak jugak yang susah... kalau tak diturutkan nanti takut ada yang mencuri, diturutkan pula anak-anak masih tak sedar diuntung.

Dulu, semasa baru grad dari universiti saya pernah bekerja menjual barang-barang di jalanan. Bukannya membuka gerai tepi jalan, tapi menjual barangan seperti jam tangan dari satu restoran ke satu restoran, menegur sesiapa sahaja di jalanan untuk melariskan jualan. Pasti anda biasa didatangi jurujual semasa makan di restoran2 di serata ibu kota, ada yang menjual buku kanak-kanak, set mewarna, CD lagu kanak-kanak dan bermacam lagi. Tahukah anda, ketika saya yang baru grad membuat kerja tersebut, bersama dengan saya adalah anak-anak Cina yang berumur 15 tahun membuat pekerjaan yang sama bagi mencari duit poket semasa musim cuti persekolahan! Mereka boleh menjana pendapatan sehingga RM50 sehari! Di mana anak-anak Melayu kita? Pada umur 15 tahun, anak Melayu kita sibuk window shopping dengan teman sekolah di LOT 10, Central Market dan menonton wayang, atau mungkin sibuk dengan artis pujaan mereka, Afundi AF6 dan sebagainya. Lihatlah perbezaannya... bagaimana Melayu nak maju? Melayu sentiasa leka... nak salahkan siapa? Kerajaan kerana terlalu memanjakan Melayu? Entahlah... kalau tak dimanjakan pun susah... nanti habis hanyut, jadi sampah masyarakat.

Satu program atau pelan perlu dirancang untuk mengatasi masalah ini. Bukan untuk hari ini, tetapi untuk diselesaikan buat selama-lamanya. PLKN mungkin satu usaha tapi libatkan juga mereka yang telah tercicir ini, nama mereka tiada dalam senarai lepasan SPM, kerana mereka tak pernah hadir ke Tingkatan 5. Bantulah anak bangsa kita ini, bukan hanya sibuk membantu usahawan Melayu yang ingin nak kaya secara mudah sahaja. Fikirkan yang mana lebih penting, pewaris bangsa kita atau ketamakan peribadi?

Andai ada yang berkemampuan untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Bangunlah dan lakukanlah dengan semangat sayangkan bangsa kita. Kongsikan masalah ini kepada umum agar kajian dan tindakan yang lebih efisyen boleh diatur.

Bangkitlah wahai warga Malaysia dari tidurmu, dari anganmu yang tak ke mana!

1 comment:

Anonymous said...

Apabila remaja yang keciciran sekolah ini mendewasa, golongan inilah yang akan menjadi penyumbang terbesar kepada masalah sosial dan kewangan negara. Bukan sahaja tidak akan dicukai, malah masalah yang dicetuskan mereka akan memaksa pemerintah menambah bajet untuk sektor kesihatan, keselamatan dan sebagainya.

Umum diketahui kualiti pendidikan di sekolah tempatan khasnya di kawasan luar bandar jauh rendah daripada di kawasan bandar. Semangat cikgu rendah, mengajar pun cara yang tidak membangkitkan selera belajar. Serba tidak betul dengan mekanisme pendidikan di Malaysia. Kalau tak minat belajar kena paksakan remaja itu masuk sekolah vokasional untuk belajar sekurang-kurangnya satu ilmu pertukangan supaya tidak menyusahkan masyarakat apabila dewasa. Ini tidak, biar saja macam lembu meragut di padang. Menteri Pendidikan asyik hunus keris timbulkan isu yang mengganggu tumpuan buat apa.