tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, November 18, 2008

Malaysiakini.com : Shahrizat tanding ketua Wanita

Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah membuat keputusan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu Mac depan, demikian menurut sumber-sumber.

Shahrizat dijangka mengumumkan keputusannya itu Khamis ini yang sekaligus akan melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat pada Jun depan.

rafidah aziz and shahrizat wanita umno leaders 201008Sumber-sumber itu memberitahu Bernama, Shahrizat berpendapat bertanding jawatan itu adalah keputusan yang terbaik baginya memandangkan Rafidah tetap bertegas untuk melepaskannya hanya pada Jun dan menolak desakan dari banyak pihak dalam parti supaya peralihan kuasa Wanita Umno diselaraskan dengan pelan peralihan Umno induk iaitu pada Mac.

Pada Mac, Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan kedua-dua jawatan itu kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut laporan Bernama.

Sumber-sumber itu berkata Shahrizat juga didorong oleh keputusan anggota exco Wanita Datuk Kamilia Ibrahim untuk bertanding jawatan naib ketua yang disandang Shahrizat sekarang.

Kamilia berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno.
"Malah pendirian tegas Datuk Kamilia itu tidak memberi pilihan kepada Datuk Seri Shahrizat selain daripada bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

"Pada masa yang sama ia telah juga memudahkan beliau membuat keputusan itu," kata sumber-sumber itu.

Pemangku ketua


Shahrizat, menurut sumber-sumber itu lagi, telah memberitahu keputusannya kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.

Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Shahrizat ketika dihubungi berkata: "Tunggulah sehingga saya membuat pengumuman rasmi".

Sementara itu, Rafidah yang kini bercuti di Hong Kong, ketika dihubungi berkata beliau akan hanya mengulas mengenai perkara itu sekembalinya daripada cuti.

Bagi jawatan ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.

Bercakap di Tashkent, Uzbekistan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan menemui pemimpin-pemimpin Wanita Umnosekembalinya beliau ke tanah air daripada lawatan ke dua buah negara Asia Tengah sekarang untuk menyelesaikan isu kepimpinan dalam pergerakan itu.

No comments: