tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, August 3, 2009

Perhimpunan Mansuhkan ISA

Lim Hong Siang, Merdeka Review


Media cetak bahasa Cina utama menyiarkan gambar bagaimana polis menyuraikan perhimpunan "Mansuhkan ISA" dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan meriam air berasid. 


Ramai penulis dan penganalisa duduk di atas pagar, sementara menonjolkan "kekerasan yang keterlaluan dari pihak polis", juga dicadangkan agar orang ramai menyuarakan pandangan mengikut "saluran yang bersesuaian".


Namun demikian, pada hari keesokan selepas perhimpunan dianjurkan, sesetengah akhbar Cina cuba menonjolkan rungutan daripada peniaga, bahawa mereka menanggung kerugian yang besar lantaran perhimpunan tersebut.


Semua akhbar Cina utama memaparkan gambar perhimpunan besar di depan akhbar pada 2 Ogos, bertajukkan "perhimpunan puluhan ribu orang, 438 (atau 589) ditangkap".  Gambar pertempuran antara FRU dengan peserta perhimpunan, gas pemedih mata yang berkepul-kepul, semburan meriam air berasid dan orang lari berkeliaran juga dipaparkan.

Laporan agak lengkap dengan kronologi kejadian pada 1 Ogos.  Keadaan di beberapa lokasi utama, SOGO, Masjid Negara, Stesen LRT Masjid Jamek dilaporkan.  Kejadian seperti peguam dari Pusat Bantuan Guaman ditangkap dan dibebaskan, malah wartawan yang juga terperangkap dalam gas pemedih mata dan air meriam berasid, juga mendapat ruang di dada hampir semua akhbar.


Juga, hujah dari beberapa pemimpin utama, seperti Perdana Menteri Najib Abdul Razak yang mendakwa perhimpunan adalah muslihat politik pembangkang, Menteri Jabatan Perdana Menteri Mohd. Nazri Aziz yang mendakwa tidak akan mansuhkan ISA, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein yang "tidak tunduk kepada tekanan", mendapat liputan dalam semua akhbar bahasa Cina.


Liputan yang diberikan kepada hujah pemimpin Pakatan Rakyat, pemimpin Gerakan Mansuhkan ISA ternyata lebih kecil, jika dibandingkan dengan pemimpin BN dan pihak polis.  Tiada perbezaan yang ketara antara akhbar dalam perkara itu.  Justeru itu, tumpuan kini beralih kepada analisa atau artikel kolum yang disiarkan di akhbar masing-masing.


Duduk atas pagar


Pendirian "tanpa pendirian" adalah posisi kebanyakan penganalisa di media cetak bahasa Cina.  Misalnya, di Sin Chew Daily, Lim Mun Fah memulakan tulisan dengan pemergian bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino, juga pemimpin gerakan "kuasa rakyat".  Lim Mun Fah menyusul dengan pengalaman perhimpunan di Hong Kong dan Taiwan, dengan memberi pujian kepada Hong Kong kerana saling menghormati antara peserta perhimpunan dan polis.


Kesimpulannya berbunyi, " Lihatlah orang lain, fikirkanlah diri sendiri.  Bagaimana memberi ruang kebebasan yang lebih besar kepada orang ramai untuk menyuarakan pandangan?  Bagaimana pula untuk menggunakan saluran yang aman di samping mengelakkan konflik ketika menyuarakan pandangan?  Kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang harus merenungi persoalan ini."


Analisa sedemikian tidak memberi apa-apa makna, walaupun berada di posisi "berkecuali" yang paling "selamat".  Mengkritik kedua-dua pihak atau menyeru agar kedua-dua pihak merenungi atau menginsafi "kelemahan" masing-masing tidak menjawab soalan sama ada "hak berhimpun diiktiraf", "apakah wajar FRU menggunakan kekerasan terhadap peserta yang aman", "siapa yang mulakan provokasi" dan sebagainya.


Sementara "berhati-hati" ketika berdepan dengan Kementerian Dalam Negeri yang berkuasa melucutkan permit akhbar pada bila-bila masa, akhbar Cina juga berdepan dengan kritikan pembacanya, seandainya memihak kepada polis yang ternyata menggunakan kekerasan yang keterlaluan.


Menyusahkan rakyat


Namun, tidak kurang juga dengan pandangan yang termakan dengan hujah bahawa perhimpunan itu "menyusahkan rakyat" dan "menjejaskan ekonomi".  Dalam satu kolum yang tersiar di muka surat A2, China Press pada 2 Ogos, walaupun berada pada kedudukan "berkecuali", misalnya berpendirian bahawa ISA sudah tidak bersesuaian dengan masyarakat zaman ini, tetap berpendapat bahawa penganjur perhimpunan harus mencari lokasi yang sesuai agar tidak menimbulkan kesulitan kepada awam.


Penulis menghormati kuasa polis untuk menangkap mereka yang menjejaskan keselamatan negara, tetapi bertanggapan bahawa polis terlalu sensitif ketika mengendalikan perhimpunan ini, misalnya penangkapan bermula sebelum perhimpunan dimulakan, mengundang pertikaian bahawa prinsip hak asasi manusia dilanggar.

Kemarahan khalayak umum beralih tumpuan kepada kesesakan jalan raya berlaku lantaran sekatan yang dibuat polis untuk menghalang perhimpunan.  Edisi Central di China Press menemuramah beberapa orang, antaranya tidak berpuas hati kerana penggunaan tenaga polis yang tidak baik.


"Bila minta polis memerangi jenayah, alasan yang diberikan selalunya kurang tenaga kerja.  Tetapi apabila buat sekatan jalan, tenaga kerja polis sangat mencukupi," demikian rungutan yang berbau sindiran diluahkan oleh penduduk Kuala Lumpur yang ditemuramah.  Mereka berpendapat bahawa sekatan polis itu tidak akan berkesan kerana mereka yang hendak berhimpun tetap akan mencari jalannya untuk sampai ke destinasi.


Menjejaskan ekonomi


Hujah bahawa "aktiviti perhimpunan menjejaskan ekonomi" mendapat ruangnya di Nanyang Siang Pau pada 3 Ogos, apabila melaporkan hujah Menteri Wilayah Persekutuan, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa perhimpunan tersebut mengakibatkan kerugian sebanyak 100 hingga 200 juta ringgit Malaysia.


"Jeritan rakyat: Jangan berhimpun di kota raya yang sibuk", demikianlah tajuk utama Nanyang Siang Pau pada 3 Ogos, memetik hujah beberapa wakil usahawan Cina yang menyeru agar penganjur dan pihak polis mencapai permuafakatan, supaya perhimpunan mengambil tempat di luar kota raya yang sibuk.

Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Malaysia, Lim Gait Tong dipetik pendiriannya bahawa "demonstrasi bukannya saluran yang sesuai".  Tokoh perniagaan yang ditemuramah berkata, demonstrasi adalah sesuatu yang lumrah di negara yang demokrasi, tetapi penganjur akan mengelakkan kawasan aktiviti komersial sebagai lokasi perhimpunan..


Penampilan sedemikian di akhbar Cina mungkin mengukuhkan imej yang di-stereotype-kan bahawa masyarakat Cina hanya berprihatin kepada ekonomi, dan mungkin sebagai persetujuan kepada cadangan PM Najib Abd Razak untuk mengadakan perhimpunan di dalam stadium.


Pendekatan baru


Walau bagaimanapun, tulisan oleh Ng Nyen Fah di Oriental Daily telah menganjurkan pandangan bahawa rakyat Malaysia semakin menerima demonstrasi sebagai saluran untuk menyampaikan suara hati.  Menurut pengamatan beliau, walaupun kesulitan timbul akibat kesesakan jalan raya, namun orang ramai semakin menyesuaikan diri dan memberi laluan supaya perhimpunan ini dijayakan.


Malah, Ng dapat membaca bahawa mangsa ISA yang berlainan kaum dalam zaman politik yang berlainan, pejuang pemansuhan juga berubah warna kulit dari dahulu hingga sekarang.  Justeru itu, Ng menganggap perjuangan mansuhkan ISA ini juga memperlihatkan perubahan politik tanahair, yang semakin hilang corak perkaumannya.  Keresahan yang ditimbulkan ISA kini melangkaui batas kaum, dan menjadi nilai sejagat yang dihayati semua orang.


Ng dalam kesimpulan menyeru agar ruang diberikan kepada mereka yang ingin menyuarakan pandangan, untuk mengurangkan "harga" yang perlu dibayar kerana demonstrasi dan kekerasan yang digunakan, sementara menghakis modal mereka yang cuba menangguk di air keruh.


 *Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 2 dan 3 Ogos, berkisar pada kejadian perhimpunan Mansuhkan ISA yang diadakan pada 1 Ogos 2009.


No comments: