tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, September 8, 2009

Ahmad Said tolak tawaran jadi menteri

KUALA TERENGGANU, 8 Sept — Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dilaporkan menolak tawaran untuk menjadi Menteri Pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu.

Tawaran ini adalah sebagai salahsatu usaha yang dibuat Umno untuk menyelesaikan krisis di Terengganu sekarang.

Ia dibuat oleh kepimpinan Umno untuk membolehkan Ahmad Said digantikan oleh pemimpin Umno yang lain di Terengganu untuk menyelesaikan krisis.

Mengikut pelan itu, Ahmad akan dilantik menjadi senator dan seterusnya dilantik sebagai menteri penuh.

Dengan penolakan ini, bermakna Umno Terengganu akan terus bergolak. Yang terakhir, majlis Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin diboikot oleh kebanyakan Adun Terengganu yang tidak menyokong Ahmad Said.

Antara yang tidak hadir adalah Adun yang terletak di kawasan Hulu Terengganu sendiri walaupun majlis itu diadakan di kawasan mereka iaitu di Pejabat Umno Hulu Terengganu di Kuala Berang.

Antaranya Adun Ajil iaitu bekas Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Beliau dikira penggerak penting usaha menentang Ahmad Said.

Dalam sidang media selepas majlis perjumpaan itu, Muhyidin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui krisis yang melanda Umno Terengganu itu.

Beliau menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis itu.

Tidak diketahui siapakah yang mencadangkan Ahmad Said di"buang" dari Terengganu melalui cara itu. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan, mana-mana pemimpin yang bermasalah akan di"buang" dari kawasannya.

Tan Sri Wan Mokhtar, bekas MB Terengganu telah dilantik menjadi duta Malaysia ke Arab Saudi selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS pada tahun 1999.

Datuk Seri Jamaludin Jarjis juga di"buang" dari Pahang ke Amerika Syarikat apabila tidak dilantik sebagai menteri lagi.

Ura-ura untuk melantik Ahmad sebagai menteri telah mula didedahkan oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly dalam laman blognya.

Krisis dalam Umno Terengganu bermula selepas pilihan raya 2008 apabila Datuk Idris Jusoh ditolak oleh Istana Terengganu apabila dicadangkan oleh Umno agar dilantik sebagai MB Terengganu sekali lagi.

Selepas beberapa hari bertegang, akhirnya Umno menerima pemilihan Datuk Ahmad Said, bekas Exco di zaman Idris Jusoh, sebagai MB.

Ekoran itu, Ahmad melantik hanya penyokong beliau sebagai exco dan mengenepikan penyokong Idris Jusoh.

Dalam sidang Dun terbaru, kesemua Adun Umno menyertainya, berbanding dengan membokoitnya sebelum itu. Tetapi mereka hanya mendiamkan diri seribu bahasa sepanjang sidang berlangsung.


No comments: