tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, September 8, 2009

Ismail Sabri dangkal uruskan keperluan barangan

Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Sept 8 – "Tergamak (Datuk Seri) Ismail Sabri menaikkan
harga petrol dan mengabaikan kekurangan bekalan gula padahal beliau
tahu rakyat sedang sibuk mahu menyambut hari raya," keluh Azan Ismail,
Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Azan yang juga Timbalan Pengerusi II Majlis Pimpinan PKR Negeri
Pahang, menyuarakan kekesalan ini ketika mengulas kenaikan harga petrol
dan kekurangan bekalan gula yang beliau sifatkan berlaku di sebalik
kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang jelas menipu rakyat.

Penipuan pertama, ujar Azan adalah kenyataan Ismail kononnya harga
petrol tidak naik semata-mata kerana pengenalan petrol RON95 yang
dijual pada harga RM1.80 seliter, padahal harga RM1.80 ini sebelum ini
adalah untuk petrol RON97 yang sekarang berharga RM2.05 seliter, petrol
yang telah diguna sejak sekian lama oleh rakyat Malaysia.

Penipuan kedua tentang petrol adalah kononnya seperti didakwa
Ismail, kenaikan harga petrol tidak akan memberi kesan. Sementara
penipuan ketiga dan paling ketara tentang harga petrol ialah ketika
pengumuman kenaikan harga petrol dibuat, Ismail mengatakan yang harga
petrol mentah dunia waktu itu adalah US$82 setong, sedangkan harga
sebenarnya adalah US$71.35.

Tentang gula pula, Azan memberitahu The Malaysian Insider yang
dakwaan bekalan gula mencukupi adalah satu penipuan kerana pada masa
yang sama belian rakyat dicatu untuk 2kg gula sahaja setiap belian.
Jaminan Ismail yang tiada kenaikan harga gula dianggap tersasar
kerana catuan ketika permintaan mendadak naik di musim perayaan
memungkinkan wujudnya pasaran gelap gula. Dalam pasaran gelap, harga
gula boleh sahaja naik sehingga 100 peratus.

Bila diaju soalan apa natijahnya kepada rakyat akibat dari keadaan
ini, Azan cuba menggariskan fakta sebenar. Harga petrol, RON97, yang
digunakan oleh rakyat Malaysia selama ini naik RM0.25, atau 13.89
peratus.

Kenaikan harga petrol jelas Azan akan menghasilkan kesan berganda,
kenaikan 1 peratus dalam harga petrol akan mengakibatkan kenaikan 3 – 5
peratus dalam Indeks Harga Pengguna (CPI). Ini kerana petroleum kini
telah menjadi komoditi utama dalam mengukur CPI. Jadi kenaikan RM0.25
petrol sebenarnya telah membawa CPI naik ke sekitar 50 peratus.

Kenaikan harga gula di pasaran gelap yang mencecah 100 peratus dan
kenaikan harga petrol yang mengakibatkan kenaikan CPI sehingga 50
peratus diterukkan lagi dengan gelagat musim perayaan yang mana
biasanya isirumah berbelanja secara tidak rasional. Tegas Azan,
perbelanjaan isirumah biasanya naik 100 peratus di musim-musim sebegini.
Azan memberi amaran yang keadaan sebegini boleh menjerumuskan negara
ke dalam inflasi tukulan (hammering inflation) bilamana tekanan akibat
kenaikan harga petrol bertembung dengan ketidakupayaan memenuhi
permintaan pasaran terhadap gula.

Kadar "hammering inflation" ini adalah jumlah di antara 50 peratus
kenaikan CPI akibat tekanan kenaikan harga petrol dan 100 peratus
kenaikan harga gula di pasaran gelap. Jumlahnya adalah 150 peratus, ia
bagi Azan adalah angka yang menakutkan dan merupakan senario yang belum
pernah berlaku sebelum ini.

Lebih malang, tambah Azan, Ismail jelas tidak punya persediaan untuk
berhadapan dengan "hammering inflation" ini, yang biasanya berlaku
dalam tempoh 15 – 30 hari.

Azan dalam merumuskan kenyataannya tertanya-tanya, sebagai sesuatu
yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bagaimanakah bentuk kesan
"hammering inflation" ini di luar musim? Dan bila pula ia akan pulih?
Satu keadaan yang teruk bagi Azan, yang berlaku bukan kerana masalah
ekonomi dalam negara atau serangan spekulator ekonomi luar, tetapi
kerana kebodohan seorang menteri yang gopoh dalam membuat polisi dan
tidak bersandarkan kepada rujukan yang konkrit.

No comments: