tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, September 8, 2009

Subra menyesal tidak cabar Samy Vellu



Bekas timbalan presiden MIC, Datuk S Subramaniam berkata beliau menyesal kerana tidak mencabar Datuk Seri S Samy Vellu untuk merebut jawatan presiden MIC.

Menurutnya, beliau tidak berbuat demikian bukan kerana takut kepada Samy Vellu tetapi demi menjaga kepentingan parti.

"Dia bukan calon, dia cuba menjadi (calon). Dia berkempen terhadap saya. Ia bukan kerana takut. Saya buat (keputusan tidak mencabarnya) demi menjaga kepentingan parti," katanya.

Subramanian berkata, ramai yang mendesaknya supaya bertanding, tetapi beliau menolaknya.

"Saya kata 'Tidak' kerana parti lemah (selepas pilihanraya umum) dan saya tidak mahu menimbulkan sebarang masalah yang menjejaskan kekuatan parti," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.Subramaniam juga menafikan beliau yang 'mencari fasal' dengan presiden, tetapi sebaliknya mendakwa, Samy Vellu yang selalu mahu 'mencari fasal".

"Tiada wujud permusuhan. Bagi saya, saya tidak memulakan permusuhan," katanya sambil menambah, presiden MIC itu yang bekerja kuat untuk menyeretnya dalam perang mulut dan semua bentuk kontroversi.

"Tapi saya sedia berdepan dengannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja," katanya.

Subramaniam akan bertanding jawatan presiden MIC Sabtu ini dan berdepan dengan calon pilihan presiden, Datuk G Palanivel dan seorang lagi calon Datuk S Sothinathan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menganggap ianya bertandingan empat penjuru ekoran pembabitan Samy Vellu dalam kempen pemilihan jawatan nombor dua itu.

No comments: