Seandainya skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak terbongkar, maka Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai "orang kuat" Barisan Nasional, Tiong King Sing akan terus berselindung di dalam ribuan syarikat pembinaan, memeras kekayaan negara tanpa disedari ramai.
KDSB kini menjadi isu hangat dalam media. Polis telah membekukan akaun KDSB menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001, setelah meneliti hasil siasatan isu PKFZ daripada Kementerian Pengangkutan.
Apakah wajah sebenar KDSB? Jelas, KDSB hanyalah salah satu catur dalam permainan politik Barisan Nasional untuk memunggah kekayaan ekonomi negara. Skandal ini memperlihatkan bagaimana Tiong berkongsi kek PKFZ bersama UMNO, dan MCA sebagai catur yang penting, turut merasai sebahagian kek ini melalui Kementerian Pengangkutan yang dikuasainya.
Dari zaman Mahathir...
KDSB ialah anak syarikat milik sepenuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB), sementara Tiong adalah pemegang saham terbesar WBHSB dengan 70% saham dalam genggamannya. KDSB ditubuhkan pada 22 April 1994, dengan tujuan utamanya--PKFZ.
Di samping itu, Wijaya Baru Sdn Bhd (WBSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, ditubuhkan pada 9 Oktober 1990, berkecimpung dalam bidang pembalakan, pembinaan, pembangunan infrastruktur (seperti lebuh raya), jalan raya dan perparitan, pembinaan, turkey contract, financing project developement, perumahan serta hartanah komersial dan sebagainya. Selain Tiong King Sing, antara pemegang saham terbesarnya ialah Omar bin Abdul Latip dan Idris bin Jani. WBSB ialah anak syarikat kepada WIJAYA, 4022 Main Board Industrial Product.
Mengapa Tiong yang bangkit dengan bidang pembalakan, melibatkan diri pula dalam bidang pembinaan? Sekali imbas, Malaysia berada dalam zaman peralihan ke ekonomi perindustrian ketika itu, di bawah pimpinan PM ke-4, Mahathir Mohamed. Ditambah pula Asia didodoi dengan pujian "Alaf ke-20 milikan Asia" ketika itu, Malaysia berada di puncak kegemilangan ekonomi dalam sejarah.
Pasaran saham dan hartanah mula berbuih dalam kepesatan ekonomi. Malah, kerajaan giat memperkembangkan bidang pembinaan, dengan meluluskan "projek gajah putih" yang "mega".
Pada ketika itu, projek pembinaan dan hartanah adalah kerjaya "cepat kaya", selain pasaran saham. Kocek mereka yang berhubung rapat dengan kerajaan BN (khususnya UMNO), disarat penuh dengan kepentingan. Lantaran itu, syarikat pembinaan berkongsi antara bumiputera dengan Cina tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dan WBSB adalah salah satu daripadanya.
Perniagaan tanpa modal
Projek PKFZ bermula sejak tahun 1993. Kerajaan berniat menukarkan pelabuhan Klang kepada national load hub, malah sebagai pusat transshipment di rantau ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-7, beberapa strategi diterapkan, melakar lengkuk projek PKFZ.
Mereka yang memiliki "otak berniaga" semestinya faham, apabila projek PKFZ terjana, maka projek mega pembinaan akan bertapak, sementara nilai tanah kawasan di sekitar pelabuhan Klang akan melonjak.
Tapak tanah yang mengundang kontroversi dalam PKFZ ini, telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor kepada Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad, yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO. Maka, UMNO-BN dipercayai berniat untuk membangunkan PKFZ sejak tahun 1992 lagi.
Tiong (gambar kanan) melalui KDSB, anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh WBSB, membeli tapak tanah tersebut dengan harga RM 95,000,000 atau RM3/kaki persegi daripada Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad. Untuk pemimpin kanan UMNO dalam Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad, ini perniagaan tanpa modal kerana tanah ini diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor kepada Koperasi. Dengan kata lain, RM 95,000,000 telah dimasukkan ke kocek dengan mudah, hanya melalui pertukaran hak milik tapak tanah.
Onn Ismail, Pengerusi Tetap Umno merangkap Ketua UMNO Bahagian Klang ketika itu adalah Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad. Malah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Faizal Abdullah bukan sahaja Bendahari BN Selangor dan Timbalan Ketua UMNO Umno Kapar, tetapi yang lebih penting, beliau ialah menantu Onn Ismail.
Tiong masuk gelanggang
Ini mungkin menjelaskan mengapa Faizal Abdullah (gambar kiri) yang berumur 30 tahun ketika tahun 2000 telah menduduki kerusi nombor dua dalam syarikat di bawah Tiong--termasuk Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd, KDSB dan lain-lain, sebagai Timbalan Ketua Eksekutif. Hanya melalui perkongsian kepentingan, barulah Tiong boleh menempah satu-satunya tiket untuk masuk ke gelanggang.
KDSB telah menjual tanah tersebut kepada Lembaga Pelabuhan Klang pada tahun 2002, dengan RM 1,088,000,000 (1 billion 88 juta), atau RM25/kaki persegi dan bayaran ansuran berkadar interest 7.5%, atau bersamaan RM1.8 billion secara keseluruhannya. Pertukaran tangan ini membawa keuntungan bersih hampir RM 993 juta.
Belum lagi dikira keuntungan yang diperolehi KDSB yang mendapat "turkey contract" dari projek PKFZ. Pada ketika itu, ADUN UMNO Abdul Rahman Palil merangkap jawatan Pengerusi bersama Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad dan Pengarah Lembaga Pelabuhan Klang.
Dari perkiraan masa, Tiong mungkin telah mula mengatur langkahnya ke dalam PKFZ sejak tahun 1993. Sekiranya krisis ekonomi tidak meledak pada tahun 1997/98, lantas mencelarukan projek ini, PKFZ mungkin dijalankan lebih awal, dan bukannya diluluskan kabinet hanya pada 24 Mac 1999, selepas kemelut ekonomi. (Bahagian pertama, bersambung)
No comments:
Post a Comment