tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, October 6, 2009

Siapa pangkah undi pos anggota tentera yang pindah?


Aku mendapat tahu melalui teman aku yang bertugas di pengkalan laut Lumut, Perak bahawa anggota tentera akan berada di sesebuah pengkalan tidak melebihi tiga tahun.

Memandangkan kita mempunyai pilihan raya umum setiap lima tahun, berapa ramai anggota akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perpindahan mereka ini? Kenapakah kita mempunyai sebuah sistem bagi undi pos yang begitu bodoh?

Aku tidak mengatakan bahawa undi pos ini perlu dimansuhkan terus-menerus. Undi pos masih lagi diperlukan bagi kes-kes di luar negara seperti pelajar, kakitangan awam [Seksyen 6 (2) Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002]. Apa yang menjadi alat bagi manipulasi ialah undi anggota tentera dan polis.

Bukankah mereka ini boleh mengundi pada hari pengundian seperti pengundi-pengundi lain dan kemudiannya kembali bertugas?

Berbalik kepada teman aku, Wahid (bukan nama sebenar), ditugaskan di salah sebuah kapal yang berpengkalan di Lumut.
Menurut Wahid, di dalam sebuah pentadbiran kapal laut perang, terdapat sekurang-kurangnya empat unit dan setiap unit mempunyai penyelianya yang tertentu. Setiap kapal mempunyai lebih kurang 100 anak kapal dan sekiranya diambil purata, setiap unit mempunyai 40 anak kapal. Setiap anak kapal akan dipindahkan dalam masa tidak melebihi tiga tahun.

Semasa pilihan raya umum 1994 itu, Wahid memberitahu tidak ada anak-anak kapal yang membuat sebarang bantahan apabila ada pihak ketiga mengundi atas nama mereka. Ataupun mereka kurang mengambil endah untuk menyemak and mengemaskini status pemilih mereka.
Anak-anak kapal ini juga tidak memeriksa senarai pemilih sama ada ditukar kawasan pengundian mereka tanpa diberitahu. Perkara kurang mengambil berat seperti inilah yang diambil kesempatan oleh pihak lain untuk melakukan manipulasi.

SPR pula, jangan mengambil kesempatan untuk menyalahkan sistem yang pincang.

Patuh sahaja kepada arahan
Aku terbaca cacatan pengalaman pengerusi jawatankuasa undi pos Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan bin Kayat melalui blog cenangau.blogspot.com bertarikh Oktober 2 lalu bersama Pengerusi SPR tidak berapa lama dahulu.

Berikut ialah antara rakaman perbincangan mereka:

Suhaizan bin Kayat : Maaf Pengerusi saya minta bekas anggota tentera Pak Abu Kassim berpangkat Kapten Mejar (B) yang turut sama datang hari ini beritahu kita bagaimana beliau handle karung khas SPR semasa bertugas.

Pak Abu Kassim: Maaf tuan. Saya ni bekas anggota tentera. Terlibat dalam pentadbiran. Sayalah yang pangkah dacing pada kertas-kertas undi tu. Saya pangkah BN. Banyak tuan.

Tan Sri Abd Aziz: Kenapa tak pangkah bulan ?

Pak Abu Kassim: Saya pangkahkan bulan juga tapi saya rosakkan Borang 2. Saya takut masa tu tuan sebab pegawai saya duduk belakang saya. Saya patuh ajalah arahan dia.

Tan Sri Abd Aziz: Bila tu Pak Abu?

Pak Abu Kassim: Masa saya bertugas sebelum tahun 2000.

Tan Sri Abd Aziz: Itu cerita lama. Sekarang era saya tak akan berlaku lagi.

Suhaizan Kayat: Lama memang lama. Tapi sistem tetap sama tuan.

Tandakan ‘dacing’ pada semua!
Kisah pengalaman Pak Abu tidak banyak bezanya dengan pengalaman Wahid. Bagi pengundi pos yang tidak mengambil kertas undi mereka kerana berpindah, Wahidlah yang akan menyimpannya dan memangkah bagi pihak mereka yang tidak menuntut; dan Wahid pangkah semuanya dacing!

Perkara seperti ini akan mendatangkan manipulasi. Sistem pincang inilah yang akan memberi peluang kepada pihak yang berkepentingan untuk menyalahgunakan sistem seperti ini untuk menang dalam pilihan raya. Bukankah kita sedia maklum bahawa mana-mana pihak akan berhempas-pulas dan bersabung nyawa untuk menang dalam satu-satu pilihan raya?

Anggota tentera dan polis, sudah tentu, dengan keadaan biasa tidak akan endah untuk mengemaskini rekod mereka dengan SPR setiap kali dipindahkan ke tempat kerja yang lain. Berapa ramai anggota tentera yang akan membuat laporan polis sekiranya ada orang telah mengambil kertas undi mereka dan memangkah bagi pihak mereka.
 Picture taken from The Royal Malaysian Navy official website

Kertas undi pos hilang di Lumut
Kisah di Lumut bukannya bermula sejak kisah pengalaman Wahid pada 1994.
Malah pada pilihan raya umum sejak 1990, kawasan Parlimen Lumut sahaja mencatatkan jumlah kertas undi yang tidak dipulangkan sebanyak 2,763 keping pada pilihanraya umum tahun 1990, dan meningkat ke 3,487 pada pilihanraya umum tahun 1995. Angka ini dipersetujui oleh pengerusi SPR ketika itu.
         Wong Chin Huat
Wong Chin Huat, seorang penyelidik bertugas dengan Universiti Kebangsaan Malaysia tatkala itu, telah mendedahkan bahawa sebanyak 8,176 kertas undi tidak dipulangkan di Lumut sewaktu pilihanraya umum tahun 1999. Angka lebih lapan ribu kertas undi yang hilang ini petanda satu penyelewengan besar telah berlaku.  
Manakala pada pilihan raya umum tahun 2004, sejumlah 5,486 kertas undi juga hilang dengan begitu sahaja. Dalam setiap pilihan raya umum untuk empat kali berturut-turut, kertas undi hilang paling banyaknya di kawasan Lumut yang berpengkalan tentera laut.
Di dalam sistem undi pos yang diamalkan, kit pengundi pos yang dikeluarkan kepada pengundi-pengundi pos mengandungi Borang 2, yakni, ‘Borang Deklarasi Identiti’ yang mengandungi kedua-dua nama anggota polis dan tentera (yang mengundi) dan nombor siri kertas undi.
Dalam keadaan Borang 2 tersebut akan diletakkan di dalam sampul surat bersama-sama dengan kertas undi yang dipulangkan sebagai undi dikira, adalah sangat menggusarkan apabila pilihan yang dibuat oleh pengundi polis dan tentera akan diketahui dan mereka bakal berhadapan dengan sebarang kemungkinan sekiranya mereka mengundi pembangkang.

Selain itu, pengundian oleh pihak lain tidak dihalang sepenuhnya. Anggota polis dan tentera yang menjalani pengundian pos tidak perlu untuk menandakan kertas undi mereka di pusat pengundian, mereka dibenarkan untuk menandakan kertas undi mereka di mana sahaja dan kemudian memulangkan semula kertas undi tersebut di pusat pengundian, di kem tentera ataupun balai polis.
Semua ini berlaku dengan ketiadaan agen-agen parti politik, membawa kepada kebarangkalian besar yang sangat tidak munasabah apabila ‘pihak ketiga’ boleh menandakan kertas undi tersebut bagi pihak pengundi, yang mana kemudiannya akan diagihkan kepada anggota tentera/polis untuk diserahkan semula.

No comments: