tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, October 29, 2009

1Malaysia - Satu Malaysia Tak Faham


Slogan 1Malaysia berkumandang melalui RTM setiap waktu dengan obsession yang begitu tinggi sekali.

Assalaamualaikum sudah diganti dengan Salaam 1Malaysia. Begitulah hebatnya slogan 1Malaysia ini dan saya begitu kagum dengan usaha Kementerian Penerangan kita mempromosikan slogan kita yang terbaru ini.

Saya tertanya-tanya apa dia 1Malaysia ini. Selama ini saya hanya bertanya kepada diri saya sendiri apa maknanya 1Malaysia ini.

Saya berasa malu juga untuk bertanya kepada mana-mana pihak kerana mungkin saya seorang sahaja yang tidak faham sedangkan 27 juta rakyat yang lain faham apa maksud slogan ini.

Apabila orang sebut 1Malaysia saya pun sebut juga walaupun dalam hati saya sedang berusaha untuk mendapatkan jawapan kepada pertanyaan yang saya ajukan kepada diri saya itu.

Pada suatu hari seorang sahabat saya muncul di kaca TV berforum tentang slogan 1Malaysia ini, tetapi beliau tidak berjaya meyakinkan saya tentang tuju arah slogan ini dicipta.

Dalam hati saya berkata sepatutnya tentu ada definasi jelas tentang slogan ini, kalau tak panjang pendek; mesti ada definasinya, tetapi saya tidak juga terdengar sahabat saya ini memberikan definasi itu.

Pada keesokkan harinya saya bertanya kepada sahabat saya yang bercakap dalam TV itu, ‘Bro, boleh ke you terangkan kat I apa dia definasi 1Malaysia itu? Sorry to ask you, sebab I tak faham. Aku segan nak tanya ramai orang. Sebab you dah muncul dalam TV bercakap tentang isu ini, I nak tanya youlah!”

Dia lantas menjawab, “Sebenarnya bro, aku pun tak faham. Dah dia orang suruh, aku cakaplah apa yang patut. Aku pusing ke sana, aku pusing ke sini dan cakap ajelah. Oh! Kau tengoklah aku bercakap dalam TV semalam?”

Saya jawab, “Tengok!”. Dia pun kata “Haa, apa yang aku cakap itu, itulah 1Malaysia. Aku pun dah lupa apa yang aku cakap…dan itu pun 1Malaysia,” katanya sambil berdekah ketawa.

Selepas itu saya bertanya-tanya kepada begitu ramai orang termasuk pemimpin dalam kerajaan yang berkawan dengan saya tentang definasi 1Malaysia ini.

Tiada siapa pun boleh menjawab pertanyaan saya itu, malahan ramai pula akhirnya yang bertanya kepada saya apa itu 1Malaysia.

Mereka juga bertanya antara satu dengan lain soalan yang sama; masing-masing keliru.

Baru saya sedar bahawa bukan saya seorang yang tidak faham tentang slogan ini.

Rupa-rupanya Satu Malaysia yang tidak faham tentang 1Malaysia ini. Mungkin itukah definasinya?


Sekian……………………………………………………………Aspan Alias

No comments: