tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, October 20, 2009

Skandal PPSB: Dakwaan rasuah kapal pengeruk pula

(Harakah Daily) - Pekerja bawahan Penang Port Sdn. Bhd. mendakwa lagi majikan mereka mengamalkan rasuah dan penyelewengan dalam pembelian kapal pengeruk laut hari ini.
Dakwaan tersebut dibuat setelah mendapati kes kehilangan diesel bernilai RM1.2 seperti yang didedahkan semalam, masih mendapat reaksi sambil lewa majikan mereka.
Salah seorang daripada pekerja terbabit yang dihubungi Harakahdaily petang tadi mendakwa majikannya masih belum serius mendesak Audit Dalamannya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun pendedahan telahpun dibuat.
Namun, beberapa pekerja yang disyaki mendedahkan penyelewengan tersebut telah pun dipanggil secara tidak rasmi oleh majikan.
Beliau yang juga kakitangan dari Unit Hydrografi meminta Harakahdaily merujuk salinan aduan yang dibuat pada SPRM pada 8 Jun lepas, untuk mengetahui kes rasuah berkaitan kapal pengeruk laut itu.
Murujuk salinan tersebut, PPSB telah membeli kapal pengeruk laut beserta alat gantinya masing-masing bernilai lebih RM2.4 juta dan RM180,000 tanpa mengikut prosedur biasa.
Syarikat yang mendapat tender meragukan itu adalah sebuah syarikat yang beroperasi di Butterworth.
ImageYang diragukan lagi, pembekal alat ganti bagi kapal itu hanyalah pekerja biasa di syarikat tersebut, bukannya pengurus syarikat itu sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pekerja bawahan PPSB yang lain mendakwa, terdapat juga penyelewengan dan rasuah dalam aktiviti menyewa kapal pengeruk laut itu.
Beliau yang juga bekas juruteknik mekanikal mendakwa, PPSB asalnya mahu membeli kapal pengeruk itu sahaja dan sanggup menyewa alat ganti daripada penyewa kapalnya; iaitu syarikat yang berpengkalan di Butterworth itu.
Namun setelah rundingan gelap itu diketahui pekerja bawahan, akhirnya PPSB bersetuju membeli kapal berserta alat gantiannya sekali.
"Harga alat ganti RM180,000...sedangkan PPSB sewakan kepada syarikat itu hanya RM35,000 sahaja. Kalau itu tidak rasuah, siapa untung siapa rugi sebenarnya," soalnya ketika menghubungi Harakahdaily.
Dakwanya lagi, harga sewaan semasa sepatutnya sekitar RM70 hingga RM90 ribu sebulan.
Tambahnya, tindakan PPSB menyewa kapal itu dengan tidak menjelaskan terma dan syarat secara formal, mengukuhkan lagi tanggapan beberapa pekerja bawahan yang terbabit bahawa majikan mereka mengamalkan rasuah.
"Ini bukan lagi soal tender terbuka atau (tender) tertutup...PPSB patut nyata harga dan terma permbelian (secara) rasmi," tegasnya.
"Ini (pembelian) bukan lagi tender, kami (pekerja) nampak dia (PPSB) semacam beri terus kapal kepada kontraktor yang dilantik."
Untuk menjelaskan keraguan tersebut, beliau meminta Harakahdaily bertanya sendiri kepada Pengurus Utama Marin, Shahruddin Hj. Zakaria dan Pengarah Urusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar.
PPSB cuba dihubungi kemudian, namun Pegawai Khas kepada Ahmad, Mohd Sobri menjelaskan Pengarah Urusannya sedang menghadiri suatu mesyuarat.
Dalam pada itu, Ahmad kemudiannya menghubungi Harakahdaily lalu memberi amaran kepada wartawan yang melaporkan kes PPSB itu; supaya tidak mengambil berita daripada pekerja bawahan lagi.
Katanya lagi, PPSB berjanji menghantar penjelasan sebenar berhubung kes skandal PPSB secepat mungkin demi menafikan segala dakwaan pekerja bawahannya sebelum ini.
Semalam, beberapa pekerja bawahan PPSB mendakwa majikan mereka menggelapkan diesel bernilai RM1.2 juta.
Dakwa mereka lagi, penggelapan diesel tersebut ada kaitannya dengan beberapa kepemimpin Umno negeri, khususnya Umno Bahagian Tanjong sendiri.
Dalam pada itu, pihak berwajib, iaitu audit dalaman PPSB dan SPRM sendiri sehingga kini belum lagi mengeluarkan kertas pendakwaan ke atas mereka yang terbabit, walaupun aduan telah pun dibuat sejak empat bulan yang lalu.
Sekiranya beberapa dakwaan tersebut benar-benar berlaku, ianya menjadi satu lagi sejarah kegelitaan integriti negara selepas kes rasuah dan penyelewengan kuasa di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang sehingga kini masih belum selesai.

No comments: