Oleh Fazilah Sahir
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Mac depan bagi mendengar permohonan jaminan kos yang difailkan kerajaan Malaysia dan bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda ekoran saman RM100 juta difailkan keluarga wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu (gambar).
Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim menetapkan tarikh berkenaan ketika kes itu disebut di hadapannya.
Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron, yang mewakili kerajaan Malaysia ditemui berkata, pihaknya dan Abdul Razak memfailkan permohonan jaminan kos berikutan saman yang difailkan oleh keluarga Altantuya bagi menuntut ganti rugi RM100 juta akibat
kematian wanita itu.
“Permohonan jaminan kos ialah permohonan untuk plaintif (keluarga Altantuya) mendepositkan sejumlah wang kepada mahkamah sebagai jaminan untuk meneruskan prosiding saman mereka,” katanya.
Beliau berkata mahkamah telah mengarahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 9 Feberuari ini sebelum meneruskan pendengaran permohonan jaminan kos itu.
Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa, dan dua anak lelaki wanita itu, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, menyaman kerajaan, Abdul Razak dan dua tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dengan menuntut ganti rugi RM100 juta bagi kematian wanita itu.
Dalam kenyataan tuntutan mereka, keluarga itu antara lain berkata kematian Altantuya telah mengakibatkan kejutan mental dan trauma psikologi terhadap mereka menyebabkan mereka berhak dibayar ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) dan cebisan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 Nov 2006.
Keluarga itu mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua anggota polis berkenaan untuk membunuh Altantuya.
Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta satu-satunya pencari nafkah untuk
mereka.
Selain ganti rugi teladan dan teruk, keluarga Altantuya yang memfailkan saman itu melalui firma guaman Messrs Karpal Singh & Co, juga menuntut faedah, kos, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Abdul Razak, 49, dituduh bersubahat bersama Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 38, dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006. Beliau dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri.
Azilah Hadri dan Sirul Azhar pula didapati bersalah pada 9 April tahun lepas dan dikenakan hukuman gantung.
No comments:
Post a Comment