5 bulan dan 27 hari. Zaid Ibrahim mencipta rekod jangka perkhidmatan sebagai menteri kabinet Malaysia yang tersingkat, apabila berdepan dengan penangkapan dan penahanan terhadap wartawan, blogger dan musuh politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau membuat keputusan yang mengejut, meletakkan jawatan sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri.
"...kalaulah saya tidak letak jawatan kerana ISA pada September 2008 sekalipun, sudah tentu saya terpaksa meletak jawatan juga apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) 'merampas kuasa' di Perak pada awal Februari 2009. Kalau tidak kerana itu pun, saya kena letak jawatan juga apabila kerajaan mengatakan tidak ada siapa yang bersalah dalam skandal pita video V.K.Lingam akhir Februari 2009. Sukar sekali untuk kekalkan jawatan Menteri dalam BN dewasa ini..."
Demikianlah luahan Zaid Ibrahim dalam bukunya, Saya Pun Melayu ketika mengimbas apa yang berlaku pada September 2008, detik saat yang sarat dengan ketidaktentuan dalam politik tanahair, apabila tanggal 16 September semakin menghampiri.
Babak tersebut berakhir dengan perletakan jawatan Zaid Ibrahim, disusuli pemecatannya dari UMNO. Kemudian, Zaid Ibrahim menyertai PKR pada tahun 2009, menyarung jersi parti ini untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor tahun ini. Bagaimanapun, beliau gagal menangkis serangan UMNO-BN yang mengombak kali ini.
Pertarungan PRK Hulu Selangor mengundang pelbagai pertikaian terhadap Zaid Ibrahim, khususnya menjelang pemilihan dalam parti, yang bakal berlangsung pada akhir tahun ini. Dalam wawancara bersama MerdekaReview pada hari ini, beliau tampil menjawab tuduhan yang dilempar terhadapnya, dari dulu hingga sekarang, malah berkongsi pandangannya terhadap masa depan Malaysia.
"Saya bersendirian..."
Persoalan siapa yang mengarahkan penangkapan dan penahanan menggunakan ISA menjelang 16 September 2008 kekal sebagai tanda soal sehingga hari ini. Sesungguhnya, polis bertindak menurut arahan Menteri Dalam Negeri, jawatan yang pada ketika itu disandang Syed Hamid Albar. Namun, siapa yang memberi arahan kepada Syed Hamid Albar? Perdana Menteri, atau Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu?
"Saya tak boleh dedah, itu rahsia," kata Zaid Ibrahim yang enggan memaklumkan sama ada perkara ini dibincang dalam kabinet ketika itu. Beliau kemudiannya menyambung, "Tapi yang penting, kerajaan buat keputusan. Tangkap, bukan? Yang ada kuasa dua orang sahaja, Menteri (Dalam Negeri) dan polis."
Bagaimanapun, beliau "terlanjur kata" apabila menjawab soalan sama ada Menteri lain, seperti Menteri MCA yang berkongsi pendirian sama dengannya meluahkan pandangan dalam kabinet, "Perkara ini tidak dibincang. Apa yang saya ingat, perkara ini tidak dibincang dalam kabinet."
Suara dari masyarakat sivil bukan sahaja menentang penangkapan ISA, malah kewujudan akta itu sendiri. Apabila diajukan soalan, sama ada penahanan tersebut akan dipendekkan, malah proses pemansuhan ISA itu dipercepatkan, seandainya menteri dalam kabinet yang membantah ISA mengambil tindakan yang sama seperti dirinya?
Zaid Ibrahim enggan menjawab soalan "andaian", sebaliknya menyatakan, "Tak ada menteri yang menyokong saya..."
"Anda merasa bersendirian (dalam isu ini)?" soalan wartawan ini dijawabnya dengan tangkas, "Memanglah, saya seorang yang bersuara. Yang lain tak ada dengar (suara mereka)!"
Mempertahankan masa silamnya
Zaid Ibrahim ditonjolkan sebagai pemimpin yang berani mempertahankan prinsip lantaran perletakan jawatan tersebut. Beliau lebih lantang membicarakan soal keadilan dan kesaksamaan selepas meninggalkan sistem politik lamanya, UMNO-BN. Tidak sukar untuk Zaid Ibrahim mempertahankan keputusan perletakan jawatannya dan penyertaannya dalam Pakatan Rakyat. Persoalannya, bagaimana pula beliau mempertahankan masa silamnya?
Lahir di Kelantan, peguam yang berusia 59 tahun ini memilih UMNO sebagai pentasnya apabila berkecimpung dalam arena politik. Beliau bertanding dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, dan berjaya menempah satu kerusi di Dewan Rakyat sebagai wakil rakyat Kota Bahru.
Wartawan: Mengapa memilih UMNO sebagai pentas politik?
Zaid: UMNO parti lama, parti orang Melayu, yang dulu, sejak merdeka. Tidak menjadi anehlah kalau orang Melayu masuk UMNO. Orang Melayu ni kalau bukan UMNO, PAS. Jadi saya memilih UMNO, begitulah (keadaannya).
Wartawan: Dato masih bertanding atas tiket UMNO pada tahun 2004, meskipun gelombang reformasi telah tercetus pada tahun 1998.
Zaid: Gelombang reformasi itu soal parti keadilan. Saya dalam UMNO sejak tahun 1980-an lagi. Saya cuba beri pandangan saya bagaimana perubahan dan reformasi boleh berlaku dalam UMNO, dalam Barisan (Nasional). Pada tahun 2004, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sendiri yang janji nak buat ketelusan, integriti semua, kan? Perubahan... Itu tahun 2004, tranformasilah. Cuma yang mengecewakan, benda itu tidak dilaksanakan, janji sahaja."
Bukan semua kita bersetuju dalam kerajaan
Wartawan: Struktur yang mengekang Pak Lah, atau Pak Lah sendiri yang tidak berdaya (untuk melakukan perubahan)...
Zaid: Pak Lah cuba (melakukan perubahan)... Cuma sokongan daripada UMNO tak ada. Itu sebab Pak Lah gagal. UMNO menolak perubahan, itu sebabnya Pak Lah ditendang keluar.
Wartawan: Dato meletak jawatan sebagai bantahan terhadap ISA. Tetapi ISA telah digunakan terhadap lima orang pemimpin Hindraf sebelum PRU ke-12, dan Dato masih menyertai kabinet...
Zaid: Sebab saya diberi peluang untuk membuat perubahan. Macam mana kita nak berubah (kalau) cakap saje? Tak ada jawatan...Jadi bila Pak Lah ajak saya, saya cubalah. Saya cuba buat perubahan-perubahan itu. Mansuhkan ISA, buat perubahan dalam sistem kehakiman, undang-undang suratkhabar, itu semua saya cuba. Kalau tidak ada jawatan, apa kita nak buat? Cakap saje-lah.
Wartawan: Dato, PRK Permatang Pauh berlangsung semasa Dato memegang jawatan Menteri. Pada ketika itu, UMNO-BN berkempen dengan serangan peribadi terhadap Anwar Ibrahim, dengan tuduhan liwat dan sebagainya. Apakah perasaan Dato pada ketika itu, yang berada dalam UMNO-BN?
Zaid: Takkanlah semua keputusan dalam kerajaan...(kita setuju). Kita dalam kerajaan. Cara kempen tu kita nak buat bagaimana? Kita tak boleh henti (jawatan) terus hanya kerana kempen. Anda mesti faham, anda dalam kabinet, anda terikat dengan kerajaan. Cuma perkara-perkara besar, perkara-perkara yang pokok sahaja menyebabkan saya berhenti.
Kalau kita tengok apa yang kita tidak bersetuju, banyak benda yang kita tidak bersetuju. Anda tidak boleh menyukai segala-galanya dalam kerajaan.
Wartawan: Perkara besar yang dimaksudkan?
Zaid: Kita cakap nak berubah, nak buang ISA, nak mansuhkan ISA tapi kita tangkap orang. Kita kata nak buat satu suruhanjaya bebas untuk mencegah rasuah, kita buat tak buat, buat separuh...Lepas tu sistem kehakiman, orang Melayu kata...lepas batuk di tangga, tak bersungguh-sungguh...
Bahagian kedua: Zaid Ibrahim nafi tuduhan tidak main dalam satu pasukan
*Wawancara ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Wong Shu Qi dari MerdekaReview, di sebuah kafe pada 14 Jun 2010.
No comments:
Post a Comment