Naib presiden parti itu, Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 4.20 pagi ketika bas tersebut diparkir di hadapan Pasar Siti Khadijah di bandar tersebut.
"Petugas KeadilanEventSpecialist yang tidur di dalam bas kempen dikejutkan oleh bunyi kuat. Apabila mereka memeriksa sekitar bas, mereka mendapati cermin depan bas di sebelah pemandu telah pecah di bahagian atas dan bawah.
"Sisi depan bas di bahagian pemandu juga telah disimbah dengan cat merah. Tinjauan awal petugas PKR mendapati beberapa ketul bata simen telah dilontarkan ke arah sisi depan bas bahagian pemandu.
"Kantung plastik yang diisi dengan cat merah juga telah dilontarkan ke arah sisi depan bas bahagian pemandu.
"Saya berani menyimpulkan bahawa serangan ini dirancang agar bahagian pemandu rosak dan seterusnya menghalang perjalanan bas ini dan membantutkan program Jelajah #merdekarakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azmin berkata, bas berkenaan ditahan di Balai Polis Kota Bharu untuk siasatan selepas satu laporan polis dibuat pada jam 5.14 pagi ini di balai berkenaan.
Katanya lagi, serangan berkenaan bagaimanapun tidak akan menggugat kempen berkenaan yang akan diteruskan dengan jelajah ke Perak.
"Oleh itu, jika tujuan serangan ini adalah untuk menyekat kempen jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ia sedikit pun tidak menggugat nekad kami untuk turun menyampaikan mesej reformasi di seluruh pelosok negara," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa serangan berkenaan bukanlah insiden pertama yang melibatkan keselamatan Anwar mahupun pemimpin kanan lain parti itu.
'Seolah-olah galakan dari PM'
Katanya, Anwar sebelum ini juga diserang di Sembrong, manakala ceramah yang disertai MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga dicemari dengan insiden membaling batu.
Seterusnya, perkara tersebut sehingga kini masih belum mendapat maklum balas daripada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai laporan polis dibuat.
"Saya yakin kali ini pun, rakyat tidak akan mendapat sebarang maklumbalas dari Datuk Seri Najib Tun Razak dan siasatan polis tidak akan membuahkan apa-apa tindakan keras terhadap kaki samseng yang terlibat.
"Ia seolah-olah satu galakan terus dari Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kaki-kaki samseng yang lain untuk terus berlaku kasar dan mengancam keselamatan pimpinan utama PKR dan Pakatan Rakyat," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, serangan berkenaan bagaimanapun tidak mengganggu acara yang disusun dalam program berkenaan.
Beliau antara lainnya hari ini mengikuti satu program solat dan zikir di Salor, dan seterusnya ke kediaman menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk minum pagi.
"Serangan samseng tidak harus ganggu acara," katanya.
Kelantan merupakan lokasi kedua dalam program tiga hari yang menumpukan kawasan pengundi Melayu itu.
Sebelum itu, Anwar yang ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR mengunjungi Bentong, Pahang dalam program yang disertai 300 orang.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah pengarah komunikasinya Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengarah strategi, Rafizi Ramli.
Program bersama bas berkenaan semalam juga meliputi kawasan Kuala Lipis, Gua Musang dan Tanah Merah.
Program berkenaan dirancang untuk meliputi lima negeri – Pahang, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis dengan 20 acara rasmi di pelbagi lokasi.
source : www.malaysiakini.com/news/207664
No comments:
Post a Comment