Ada yang bertanya mengapa saya sering mengkritik aliran yang saya
sifatkan literal yang dipegang oleh beberapa orang agamawan muda dalam
Umno?
Saya kata bahawa saya tidak kisah untuk sesiapa menjadi
ulama tua ataupun muda kepada mana-mana parti selagi berpegang kepada
prinsip agama ini.
Umno dan PAS, semuanya sahabat saya. Prinsip
agama itu lurus, fatwa agama tidak boleh berpihak. Hal ini terpakai
untuk bukan sahaja untuk Umno, tetapi untuk PAS juga.
PAS pun
dalam sejarahnya bukan tiada fatwa yang berbahaya termasuk yang boleh
membawa kepada kafir mengkafir. Hari ini nampaknya keadaan itu sudah
berkurangan.
Sebenarnya, aliran literal itu sendiri jika kena
pada tempatnya tidak salah. Mazhab Zahiri (literalisme) walau dikritik
hebat, ia diiktiraf dalam fikah Islam.
Tokoh besar Zahiri iaitu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan kitabnya al-Muhalla menjadi rujukan fekah yang penting.
Literalis dalam Umno harukan proses keadilan
Saya
mengkritik golongan literalis dalam Umno kerana pemikiran yang dibawa
itu boleh mengharukan proses keadilan yang wujud dalam negara ini
keseluruhannya.
Hari ini mungkin sesetengah orang Umno seronok
apabila terdapat beberapa orang agama yang boleh berhujah dengan nas-nas
agama untuk membela Umno. Biasanya perkara ini dibuat oleh PAS.
Namun
tanpa mereka sedar fatwa-fatwa aliran literalis tersebut jika
diaplikasi dalam sistem politik negara ini, ia akan meruntuhkan
keseimbangan, kemaslahatan dan keadilan politik yang menjadi tonggak
kepada tujuan berpolitik.
Umpamanya, apabila mereka berfatwa
haram mengkritik kepimpinan politik negara secara terbuka. Hanya yang
dibenarkan berjumpa dan menasihati secara tertutup.
Pengharaman
ini jika diterima bererti sistem Parlimen yang membolehkan ahli-ahlinya
Parlimen membahas dan mengkritik dasar dan perlaksanaan kerajaan secara
terbuka kepada pengetahuan awam adalah haram.
Perhimpunan Agung
Umno yang sering kali kita mendengar para perwakilan meluahkan
perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan juga haram.
Golongan
literalis ini mungkin berfikir bahawa hukum yang mereka keluar boleh
digunakan untuk menentang pihak pembangkang, tetapi mereka lupa
implikasinya meruntuhkan sistem negara dan parti itu sendiri.
Bahkan
dalam sejarah Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan mantan
perdana menteri dan presiden Umno sendiri apabila tidak puas hati dengan
kepimpinan penggantinya Tun Abdullah Badawi, melakukan kritikan
terbuka.
Kebanyakan tokoh Umno yang ada, pernah melakukan hal
yang sama apabila mereka berbeza ‘kem politik’. Bahkan Umno dan ulama
muda itu sendiri mengkritik terbuka kepimpinan kerajaan Kelantan,
Selangor dan Kedah.
Malang sekali jika golongan ini hanya
terfikir fatwa berkenaan terkena pembangkang sahaja, padahal ia juga
terkena kepada ‘tubuh sendiri’. Tentu mereka tidak akan kata “haram
untuk kau, halal untuk aku”.
Ilmu matan hadis
Saya
tidak mahu kata golongan ini berniat memperalatkan agama. Saya rasa
sebab hal ini terjadi kerana cara fikir yang literal dan tidak
menghayati ilmu mukhtalaf al-hadith yang merupakan ilmu penting dalam
memahami matan sesuatu hadis.
Ilmu tersebut membantu untuk menyelaraskan hadis-hadis yang pada zahirnya nampak bercanggah dengan teks al-Quran dan as-Sunnah.
Umpamanya apabila mereka membaca hadis:
“Sesiapa
yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia
menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia
mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian
dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka).
Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati)
telah menunaikan kewajipannya.”
(Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah, sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani).
Mereka mengambil hadis ini tanpa mempedulikan hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.
Ini
seperti hadis: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu
bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke
dalam neraka seperti kera terjun.”
(Riwayat al-Tabarani, dinilai hasan).
Para
sahabah bangun mengkritik al-Khulafa al-Rashidin dalam majlis-majlis
mereka seperti Salman al-Farisi yang mempersoalkan Saidina ‘Umar
al-Khattab semasa beliau berucap.
Sepatutnya perbezaan
hadis-hadis ini diselaraskan dengan merujuk kepada kes yang berbeza. Isu
dosa peribadi pemimpin hendaklah dibicarakan secara tertutup.
Adapun yang membabitkan kepentingan awam maka rakyat yang terbabit boleh membahaskannya sekalipun terbuka.
Sejarah perdebatan dalam Islam
Begitu
juga apabila timbul trend politik kita yang banyak mengadakan debat isu
rakyat secara terbuka. Ramai juga pihak kerajaan dan pembangkang yang
terbabit.
Apabila ada pemimpin atasan yang menyatakan debat bukan budaya kita, mereka pun mengeluarkan sabda Nabi SAW:
“Aku
menjamin sebuah rumah dalam syurga bagi mereka yang meninggalkan debat
mesti pun dia berada di pihak yang benar.” (Riwayat Daud).
Ini bagi menyokong kenyataan pemimpin atasan.
Mereka tidak mengambil kira bahawa al-Quran menyebut: “Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.”
(Surah al-Nahl: 125)
Dan
juga dalam al-Quran ada Surah al-Mujadilah (wanita yang berdebat).
Perkataan yang digunakan dalam hadis ialah al-mira’ yang boleh diertikan
sebagai al-jidal (debat).
Dalam Islam terlalu banyak sejarah
perdebatan ilmu yang menyebabkan ilmu berkembang. Debat yang dilarang
ialah debat yang sia-sia hasilnya, sekalipun benar.
Inilah yang
disebut dalam kitab-kitab syarah hadis seperti Faidh al-Qadir oleh
al-Imam al-Munawi, Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Imam al-Mubarakfuri.
Jika
hadis di atas difahami secara literal, tentu Parlimen kita lembab dan
tidak berfungsi kerana semua ahlinya akan mengelakkan berbahas.
Bajet
negara akan diterima bulat-bulat tanpa didebatkan kerana semua ingin
mendapat rumah dalam syurga. Peguam dan pendakwa juga tidak ada berdebat
di mahkamah.
Sepatutnya mereka kena sebut hadis ini semasa
setiap kali mesyuarat Umno hendak dimulakan. Tentulah semua ahli menelan
bulat-bulat minit mesyuarat tanpa mempertikaikannya sedikit pun.
Fatwa literal
Dulu saya pernah kritik apabila mereka sering membaca hadis ini di khalayak ramai:
“Akan
ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku,
bersunah bukan dengan sunahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka
lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan
dalam tubuh insan.
“Kata Huzaifah: Apa yang patut aku lakukan
wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?. Jawab baginda: Dengar
dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil,
dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini dibaca seakan
rakyat dalam apa keadaan pun tidak boleh membantah kerajaan walaupun
buruk mana sekalipun. Mereka lupa kerajaan dalam negara ini bukan sahaja
Umno, ada juga kerajaan PAS dan PKR.
Hadis ini dibaca tanpa melihat kepada hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.
Antaranya
hadis (bermaksud): “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim,
namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka
dengan hukuman-Nya”.
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai, dengan sanad yang sahih).
Dalam
sejarah pemikiran fikah, tokoh aliran literalis yang paling terkemuka
ialah al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H). Dia terkenal kerana
kebijaksanaannya tetapi literal dalam memahami nas-nas syarak.
Banyak fatwa literalnya dikritik oleh para sarjana. Pun begitu, beliau apabila ditanya tentang hadis di atas, menjawab:
“Adapun
apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar bersabar atas
pengambilan harta dan pukulan di belakang, itu semua tanpa syak jika
pemerintah menguruskan itu dengan cara yang sebenar, maka tidak syak
wajib ke atas kita sabar… Adapun jika dengan cara yang batil maka
berlindung dengan Allah untuk Rasulullah SAW menyuruh bersabar untuk
itu.
“Dalilnya firman Allah: Tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.
“Kita
tahu bahawa kalam Rasulullah tidak akan menyanggahi kalam Tuhannya…
maka sah bahawa apa yang Rasulullah SAW sabda adalah wahyu dari sisi
Allah azza wa jalla, tiada perbezaan, tiada percanggahan dan
pertentangan.
“Jika demikian maka sesuatu yang yakin tanpa syak
yang diketahui oleh setiap Muslim bahawa mengambil harta Muslim ataupun
zimmi tanpa cara yang sebenar dan memukul belakangnya tanpa kesalahan
yang sebenar adalah dosa, permusuhan dan haram.
“Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari).
“Maka
tiada syak dan perbezaan pendapat kalangan Muslimin bahawa orang yang
menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya
untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu
dengan apa cara yang mungkin, maka itu adalah pertolongan kepada orang
yang menzaliminya atas dosa dan permusuhan, dan ini haram dengan nas
al-Quran….”
(Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji)
Jika
pemerintah itu dibiarkan untuk memukul dan mengambil harta tanpa
dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan yang diperintah oleh
Islam untuk diwujudkan? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak
berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama?
Maha suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu!
Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan Muslim seperti yang disebut oleh Nabi SAW:
"Sesungguhnya
darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk
dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan
ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah).”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nabi SAW juga menyebut: “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pemikiran
agama yang literal seperti ini sebenarnya boleh merosakkan maksud dan
imej agama itu sendiri jika dipegang oleh mereka yang berkuasa. Saya
tidak mahu campur dengan urusan kepartian Umno ataupun PAS.
Namun
apabila membabitkan urusan agama, saya hanya ingin memberikan pandangan
bahawa pemikiran ini dalam kerangka keseluruhan ‘memeningkan’ negara
dan Umno itu sendiri.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment