tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Friday, December 28, 2012

Rasuah: Ketua Umno Pandan dipenjara 8 tahun

Ketua Umno Bahagian Pandan dihukum penjara lapan tahun dan didenda RM977,560 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.
  
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Abd Ghani Ismail, 46, di akhir kes pembelaan.
  
Dalam penghakimannya, beliau berkata keterangan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata serta satu pembelaan yang berbentuk “difikirkan kemudian".
  
"Penjelasan tertuduh semasa pembelaannya adalah tidak konsisten, ia direka bagi menyesuaikan keterangan saksi pendakwaan," katanya.
  
Rozilah turut tidak membenarkan Abd Ghani untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
  
Mahkamah mengambil kira bantahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roziza Sidek yang berhujah bahawa tiada sebarang alasan yang membolehkan mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara berikutan ia bukan sesuatu keadaan yang istimewa.
  
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM120,945 terhadap tertuduh yang didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.
  
Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada
MPAJ.
  
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam, 4 Ogos 2006.
  
Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM120,945 bagi kesalahan menerima rasuah daripada Abdul Rahman berjumlah RM24,189.
  
Rozilah turut menjatuhkan hukuman lima tahun penjara serta denda berjumlah RM725,670 bagi enam lagi pertuduhan lain yang dikenakan terhadap Abd Ghani bagi kesalahan sama iaitu menerima rasuah sebanyak RM145,134 daripada Abdul Rahman.
  
Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di ibunegara, antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.
  
Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman penjara bagi sembilan pertuduhan tersebut berjalan serentak iaitu lima tahun.
  
Sementara itu bagi pertuduhan ke-10 Abd Ghani dihukum penjara tiga tahun serta denda RM10,000 bagi kesalahan memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub-kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.
  
Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.
  
Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
  
Terdahulu ketika penghakiman dibacakan, Abd Ghani yang diwakili peguam Md Yunos Shariff,  pitam di kandang tertuduh secara tiba-tiba sehingga prosiding terpaksa ditangguhkan selama lima belas minit sebelum diteruskan semula.

- Bernama

Saya dipaksa jual syarikat saya, kata Deepak

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan hari ini mengakui bahawa dia telah menjual syarikatnya - Astacanggih - untuk RM30 juta kepada sebuah agensi Kementerian Pertahanan, dengan mendakwa dia dipaksa berbuat demikian.

Katanya, penjualan syarikat tersebut hanya untuk menampung wang yang telah dibelanjakannya dalam urusniaga tanah dengan Awan Megah Sdn Bhd yang tidak menjadi.

"Ianya benar bahawa saya dan pemegang saham saya telah menjual saham kami dalam Astacanggih untuk RM30 juta yang merupakan harga kos sebenar kami RM13 juta untuk Raja Ropiaah, RM8 juta untuk sumbangan politik, RM7 juta kos kewangan dan RM2 juta untuk kos guaman dan pelbagai kos.

"Ini adalah kata dua yang telah dipaksa ke atas kami," katanya dalam satu mesej teks hari ini.

source : http://www.malaysiakini.com/news/217592

Tuesday, December 18, 2012

Peguam kanan, anak dikaitkan dengan SD2 Bala

Seorang peguam kanan dan anaknya, yang juga seorang peguam, menjadi tumpuan ekoran pendedahan terbaru oleh peniaga permaidani Deepak Jaikishan berhubung apa yang didakwa berlaku berkaitan dengan akuan bersumpah (SD) kedua bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

NONEIni telah didedah dalam satu siri pendedahan oleh Deepak (kiri), yang mendakwa terlibat mendapatkan PI Bala membuat SD kedua, selepas menandatangani SD pertama yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Nama peguam itu dikatakan telah disebut oleh Deepak dalam temubual video dengan organ PAS, Harakah, yang telah disiarkan di YouTube, dengan nama tersebut disunting.

Dalam temubual itu, ahli perniagaan tersebut menceritakan bagaimana peguam kanan itu mendraf dan menyediakan dokumen tersebut bersama-sama dengan anaknya, walaupun hanya anaknya saja yang datang bertemu pihak-pihak lain yang terlibat, di sebuah hotel di Kuala Lumpur di mana bekas penyiasat persendirian itu didakwa "disimpan" .

Dalam blognya tiga hari lalu, aktivis hak asasi manusia, Haris Ibrahim telah membayangkan siapakah peguam kanan yang dimaksudkan itu, tetapi tidak tidak menyebut namanya.

Haris seterusnya telah membuat laporan kepada Majlis Peguam Malaysia awal hari ini.

Harris, dalam suratnya kepada Majlis Peguam, meminta satu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti peguam berkenaan, dan menentukan sama ada terdapat sebarang salahlaku dalam penyediaan SD kedua itu.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi esok.

NONEHari ini, bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim (kanan) pula membayangkan bahawa peguam kanan tersebut menganggotai salah sebuah daripada lima panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PI Bala mendakwa dalam satu wawancara dengan Malaysiakini bahawa dia menandatangani SD kedua kerana takut.

Siri pendedahan Deepak itu memberi gambaran yang berbeza, dengan mendakwa Bala menandatanganinya kerana wang.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama peguam kanan tersebut serta anaknya sementara menunggu respon daripada mereka terhadap pertanyaan kami.

source : http://www.malaysiakini.com/news/216882

Kes Kugan: Pegawai beritahu ada mesyuarat kenalpasti 'kambing hitam'

Manakala bekas Ketua Polis Selangor dan kini Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar menafikan bahawa Konstabel V Navindran telah dijadikan kambing hitam terhadap kematian A Kugan, tetapi seorang pegawai kanan mengaku kepada mahkamah bahawa satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan siapa untuk mengaku memukul Kugan.

Pegawai penjaga balai polis Taipan, ASP Rodney Pasla Harris hari ini mengakui terdapat suatu mesyuarat dipanggil oleh OCPD Subang Jaya ketika itu, Allahyarham Zainal Rashid.

pkr weekly pc 120707 latheefaBeliau memberi keterangan bagi pihak kerajaan, yang merupakan salah satu defendan yang dinamakan dalam saman kecuaian oleh ibu Kugan, N Indra.

Menurutnya, mesyuarat itu dipanggil selepas waktu pejabat dan
bukan di ibupejabat polis kontinjen Selangor, tetapi di balai polis daerah Subang Jaya.
Mesyuarat itu dipanggil selepas dikeluarkan laporan bedahsiasat mengenai perkara itu, kata Rodney apabila ditanya oleh peguam Latheefa Koya (atas), yang mewakili keluarga Kugan.

Rodney bagaimanapun, berkata beliau tidak ingat tarikh sebenar mesyuarat itu dipanggil dan tidak menyatakan sama ada ia diadakan sebelum atau selepas bedahsiasat kedua.

Dalam mesyuarat itu, yang dihadiri semua pegawai D9 (jenayah serius) di Taipan, Rodney mendakwa Zainal telah meminta salah seorang daripada mereka untuk mengaku memukul Kugan atau menjadi kambing hitam.

Rodney, bagaimanapun, memberi keterangan bahawa dia hanya melihat Kugan pada dua hari, iaitu 15 Januari dan 20 Januari, dan mendakwa telah memberi air kepada mangsa.

Beliau adalah pegawai pertama selepas Navindran mengaku mengenai cubaan untuk mencari kambing hitam terhadap kematian Kugan.

source : http://www.malaysiakini.com/news/216887

Thursday, December 13, 2012

Deepak dakwa adik PM bayar PI Bala



Ahli perniagaan Deepak Jaikishan menamakan seorang adik perdana menteri Datuk Nazim Razak sebagai individu yang didakwanya bertanggungjawab membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun (SD) kedua.

Dakwanya lagi, beliau turut bertanggungjawab mempertemukan Datuk Nazim Razak dan Balasubramaniam, tetapi urusan pembayaran wang kepada Bala itu, dakwanya, dilakukan Nazim.

Deepak interview"Saya mengesahkan kenyataan saya sebelum ini bahawa Datuk Nazim menyertai pertemuan untuk memudahcara apa-apa yang perlu dilakukan.

"Penglibatan saya hanya untuk mempertemukan semua orang," dakwanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Bala pada awalnya menandatangani satu akuan berkanun mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Beliau kemudiannya menandatangani akuan berkanun kedua bagi menafikan akuan pertama yang dakwanya ditandatangani ketika keselamatan keluarganya menjadi taruhan.

Bala kemudian mendakwa dibayar tunai dan dijanjikan lebih banyak wang selepas bersetuju menandatangani akuan bersumpah kedua dan berpindah ke luar negara bersama keluarganya.

Deepak dalam wawancara semalam mendakwa wang yang diterima Bala datang daripada "Datuk Nazim dan sumber-sumbernya".

Pada tahun 2009, wartawan Malaysiakini cuba menghubungi Nazim berulang-ulang kali untuk mendapatkan penjelasannya tentang dakwaan tersebut.

Malaysiakini berkunjung ke pejabatnya dan menyerahkan senarai soalan untuk dijawab Nazim.

Malangnya, usaha tersebut tidak berhasil sehinggalah wartawan Malaysiakini bertembung dengan Nazim di Masjid Negara selepas solat Jumaat pada Disember 2009.

Beliau pada ketika itu baru selesai menziarahi pusara ayahnya, perdana menteri kedua Tun Abdul Razak.

Sewaktu ditanya tentang dakwaan Bala pada ketika itu, beliau hanya menjawab "tiada apa-apa yang perlu diperkatakan".

Dalam wawancara semalam, Deepak berkata beliau tampil mendedahkan perkara di sebalik kontroversi pembunuhan itu kerana risau "roh Altantuya tidak bersemadi dengan tenang" sehingga beliau dihantui "sumpahan Altantuya".

source : http://www.malaysiakini.com/news/216566

Monday, December 3, 2012

Guru dipecat dakwa dapat borang keahlian Umno



Guru agama sementara dari Labuan yang dipecat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas menghadiri ceramah Pakatan Rakyat, mendakwa menerima borang keahlian Umno selepas ditelefon seorang pemimpin Umno setempat.

Guru tersebut, Qatrun Nada Mohd Latfi juga mendakwa bahawa dalam perbualan telefon tersebut, beliau dinasihatkan bahawa sebagai kakitangan kerajaan beliau hanya boleh bergiat aktif dalam parti Umno.
Beliau mendakwa borang itu dihantar secara serahan tangan pada 11 Oktober, dua hari selepas beliau 'dinasihati' pemimpin Umno berkenaan yang juga seorang senator Dewan Negara.
Beliau bagaimanpun tidak mengisi borang itu dan menerima notis pemecatan pada 24 Oktober dan berkuatkuasa 1 Disember lalu.
NONEQatrun (tengah) memberitahu demikian sebelum menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai pemecatannya oleh JAWI.
Sementara itu, pemimpin Umno yang didakwa oleh Qatrun sebagai pemangku Ketua Umno Labuan, Senator Datuk Yunus Kurus, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan beliau yang menghanta 10 borang keahlian Umno kepada bekas guru berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, ia dihantar atas permintaan Qatrun sendiri, yang meminta borang tersebut melalui SMS, untuk dirinya sendiri dan rakan-rakannya.
Yunus juga mengakui ada menelefon Qatrun untuk mengesahkan laporan bahawa seorang guru agama sementara JAWI berkempen untuk PAS.
"Saya telefon dia tanya betul ke dia masuk PAS. Dia boleh ketawa-ketawa lagi. Saya cakap itu (masuk mana-mana parti) hak kamu.

"Dia minta borang saya kasilah," katanya.
Qatrun sewaktu sidang media juga mengaku bahawa beliau, secara berjenaka, meminta borang Umno dari Yunus.
Penyelaras NGO hak asasi manusia Suaram, Syukri Razab yang menemani Qatrun berkata siri kejadian yang berlaku sebelum Qatrun dipecat mengesahkan pemecatan itu bersifat politik.

Menurutnya, sebab pemecatan itu yang dipercayai berkaitan dengan kehadiran Qatrun ke ceramah pembangkang bercanggah dengan hak asasi manusia untuk berpersatuan.

Mengulas perkara itu, Yunus menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuang Qatrun dari tugasnya kerana perjawatan beliau terletak di bawah bidang kuasa JAWI.
"Demi Allah, saya tidak pernah suruh JAWI buang atau pecat dia. Perkara ini perlu dirujuk kepada JAWI lah.
"Bukan saya yang buang. Saya tiada kuasa untuk membuang sesiapa," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan Qatrun bahawa beliau menyatakan hanya pekerja kerajaan dengan keahlian Umno sahaja boleh berpolitik.

"Tidak ada semua (kenyataan) itu. Itu temberang sahaja," kata Yunus.
Beliau turut menggesa Qatrun menghubunginya sendiri jika Qatrun berkata benar dengan dakwaan-dakwaannya tentang pemecatan itu.

source : http://www.malaysiakini.com/news/215772