tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Friday, June 21, 2013

RCI: Dompok letak jawatan pengerusi PSC Integriti kerana saksi KDN tidak bekerjasama

Oleh Mohd Farhan Darwis

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah hari ini diberitahu Tan Sri Bernard Giluk Dompok meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkaitan Integriti pada 2006 disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada saksi-saksi yang terdiri daripada kakitangan di bawah agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dompok, yang merupakan bekas ahli Parlimen Ranau hari ini dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-139 RCI berkata terdapat keengganan saksi daripada pegawai-pegawai untuk memberikan keterangan dalam PSC yang diketuainya pada 2006 menjadi punca beliau meletakkan jawatan.

"Ada banyak kengganan pegawai beri keterangan dan saya buat keputusan letak jawatan... dan juga kerana saya tidak mendapat bukti daripada mereka," katanya kepada panel RCI, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di Sabah.

Pada 16 Mei, 2007, Dompok meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa itu atas perbezaan pendapat mengenai fungsi dan skop jawatankuasa, khususnya, atas keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu.

"Mereka rasa tidak wajar khusus panggil sesetengah jabatan sahaja dan wajar dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara," katanya merujuk kepada JPN dan juga beberapa agensi kerajaan lain.

"Mula-mula mereka muncul ... kemudian bila ia (PSC) berjalan, mereka tak hadirkan diri, saya dimaklumkan atas arahan Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Beliau menjelaskan, PSC yang diketuainya itu memberikan penekanan dalam isu memberi kad pengenalan kepada warga asing di Sabah, kad pengenalan palsu, kad IMM13, dan juga populasi penduduk yang meningkat dengan mendadak di Sabah.

"Peranan kami merangkumi proses permohonan kewarganegaraan," katanya lagi.

Ditanya berkenaan hasil daripada PSC berkenaan, Dompok menjelaskan beliau tidak pasti memandangkan tidak lagi terlibat dengan jawatankuasa tersebut selepas melepaskan jawatan pengerusi.

"Ada orang ganti saya jadi pengerusi, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, ahli Parlimen Gerik," tambahnya.

RCI sebelum ini diberitahu bahawa 28 peratus daripada penduduk Sabah merupakan warga asing, dengan anggaran berjumlah 889,000 yang kebanyakannya datang dari Filipina dan Indonesia.

RCI yang bermula Januari lalu juga telah mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.

Saksi sebelum ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee mencadangkan agar rakyat Sabah seharusnya diberikan kelebihan untuk mengeluarkan kad pengenalan mereka sendiri bagi mengekang pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing di negeri berkenaan.

Yong menjelaskan, kerajaan Persekutuan dilihat tidak serius dalam menangani gejala pemberian kad pengenalan kepada warga asing dari Filipina dan Indonesia, dan Sabah jelasnya harus memikirkan inisiatif sendiri bagi menyelesaikan perkara itu.

"Jika kerajaan tak nak selesaikan perkara ini, kita perlu selesaikan sendiri dengan mekanisme kita sendiri, keluarkan IC Sabah," katanya kepada RCI hari ini di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - June 21, 2013.

http://my.news.yahoo.com/rci-dompok-letak-jawatan-pengerusi-psc-integriti-kerana-103357919.html

Thursday, June 6, 2013

Nik Aziz : 'Barangkali nafi royalti minyak juga hina raja'

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat optimis pihak berkuasa akan menjalan siasatan sebaik-baiknya terhadap seorang wanita yang ditahan atas tuduhan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kelantan itu berkata, membelakangkan titah sultan untuk mengembalikan royalti minyak juga barangkali boleh dimasukkan dalam kategori sama.

NONE"Di sebuah negeri, pernah sultan negeri berkenaan bertitah di dalam dewan agar dikembalikan royalti minyak dan didaratkan gas yang ditemui di lautan negeri ke pantai yang terdekat.

"Namun malangnya pembangkang di negeri berkenaan membelakangi titah sultan.

"Barangkali ini juga boleh dimasukkan di dalam kategori menghina raja," tulisnya dalam Facebook hari ini.

Seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebook miliknya, kelmarin ditahan pihak berkuasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyebut pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan dan menahan suspek hasil siasatan serta maklumat orang ramai.

Kenyataan itu menyebut siasatan terhadap wanita itu dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1948.

http://www.mkini.co/news/232253

Wednesday, June 5, 2013

Calon BN Merampas Kertas Undi Pos Untuk Dipangkah Sendiri

Dengan jumlah undi pos dan undi awal yang mencecah 500,000 di seluruh negara, ia cukup penting untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya di seluruh negara.

Saya telah bertegas bahawa keseluruhan proses yang melibatkan pengendalian undi pos – dari senarai pemilih pengundi pos, pengedaran undi-undi pos, membuang undi pos, seliaan semasa membuang undi pos dan peti undi pos – mempunyai pelbagai kelemahan yang mengundang penipuan dan penyelewengan.

Selama ini pun, pelbagai pengakuan telah dilontarkan oleh bekas-bekas anggota tentera yang mengaku mereka memangkah kertas undi pos bagi pihak anggota tentera yang lain.

Bersama-sama ini saya tampilkan satu laporan polis yang jelas menunjukkan bahawa seorang wakil Umno dalam PRU13 telah bertindak merampas, menawarkan rasuah dan memangkah kertas undi pos petugas-petugas SPR yang kesemuanya melanggar undang-undang pilihanraya.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh ini merekodkan pengakuan seorang petugas SPR (namanya dirahsiakan) yang mengaku bahawa:

1. Pada 29 April 2013, beliau bersama-sama 24 orang petugas SPR yang lain telah dipanggil masuk ke sebuah bilik mesyuarat oleh calon BN dan pintu bilik mesyuarat dikunci;
2. Beliau dan petugas SPR yang lain diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN dan dibayar wang RM100 setiap seorang;
3. Keesokan harinya beliau berasa tidak senang dan telah pergi bertemu semula dengan wakil-wakil BN di bilik gerakan BN bersama-sama empat orang petugas SPR yang lain;
4. Setelah mendapat kembali kertas undi pos, mereka mendapati bahawa kertas undi pos mereka telah dipangkah;
5. Beliau juga menjadi saksi bahawa kertas undi pos sebanyak 20 lagi yang tidak dikembalikan telah dimasukkan ke dalam peti undi; dan
6. Selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya

spr_besut


Bukti-bukti ini sudah cukup menunjukkan bahawa berlaku terlalu banyak kepincangan melibatkan pengendalian undi pos dan undi awal sehingga membolehkan calon BN merampas dan membeli kertas undi, sementara dakwat kekal tidak pun digunakan seperti sepatutnya.

Saya yakin kepincangan dan penyelewengan yang sama berlaku di tempat-tempat lain yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas keputusan undi di kawasan parlimen tertentu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
4 JUN 2013
http://rafiziramli.com/2013/06/calon-bn-merampas-kertas-undi-pos-untuk-dipangkah-sendiri/