LAPORAN AUDIT Mesyuarat khas jemaah lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 19 April lalu telah bersetuju supaya anak syarikat badan berkanun itu - Majuikan Sdn Bhd (MSB) - digulungkan bagi melepaskan tanggungan dan menyelesaikan kesemua tindakan undang-undang ke atas MSB.

Proses penggulungan MSB akan dimulakan sebaik sahaja mendapat kelulusan menteri, demikian menurut Laporan maklum balas daripada Perbendaharaan Malaysia ke atas isu-isu utama dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti badan berkanun persekutuan serta pengurusan syarikat subsidiari bagi tahun 2011.

Menurut laporan tersebut, pengurusan MSB telah menghenti atau menamatkan operasi anak-anak syarikat dan cawangan yang rugi.

LKIM akan melaksanakan pengecilan operasi syarikat dengan mendormankan syarikat induk dahulu dan juga memberhentikan kakitangan dengan pampasan mengikut undang-undang buruh sedia ada dan seterusnya menjualkan anak-anak syarikat MSB mengikut nilai pasaran setelah mendapat kelulusan menteri.

Menurut laporan itu, tindakan tersebut adalah penyelesaian menyeluruh bagi mengelakkan pihak LKIM daripada terus menanggung kerugian yang berterusan.

Sementara proses penggulungan berjalan, mesyuarat khas jemaah lembaga LKIM itu juga telah bersetuju supaya dilaksanakan tindakan untuk mengecilkan operasi syarikat dilaksanakan seperti berikut:
Anak Syarikat:

1. Majuikan Fish Protech Sdn Bhd ditutup pada 27 Julai 2012 dan akan disewa kepada Tiger Taipan Sdn Bhd JV Gabungan Koperasi Universiti Berhad pada 1 Oktober 2012 dengan kadar sewa RM5,000 sebulan.

2. Barra Cafe SDN BHD ditutup pada 18 Jun 2012 dan akan diserahkan kembali kepada pemilik premis secara 'making good' sebanyak RM40,000 dan aset serta kelengkapan akan dijual kepada Koperasi Kakitangan LKIM/Majuikan dengan nilai yang sama pada tarikh 5 September 2012.

Cawangan:
1. Kilang Chendering Terengganu ditutup operasi pada 20 Julai 2012 dan akan diserahkan kepada LKIM pada satu tarikh yang akan dipersetujui (anggaran Oktober 2012).

2. Kilang Makanan Udang Pantai Merdeka telah disewa kepada Double A Z Trading pada 1 Mei 2012 dengan kadar sewa RM7,000 sebulan.

3. Kilang IKS Kuantan akan dibeli asetnya oleh Persatuan Nelayan Negeri Pahang PENEPA dengan harga tawaran RM350,000 pada bulan September 2012.

4. Kilang Majuikan Fish Centre Bangi dicadang dijual kepada LKIM dengan harga tawaran yang akan ditetapkan kemudian.

5. Sukran Tok Bali telah ditutup pada Februari 2012 dan akan diserahkan kepada LKIM pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian (anggaran Oktober 2012).

6. Sukran Naka masih beroperasi dan akan diserahkan kepada LKIM pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian (anggaran Oktober 2012).

7. Bangunan ibupejabat Tingkat Bawah disewa kepada LKIM (RM2,000). Tingkat satu disewa kepada Warisan Biduanda
(RM1,200) dan Tingkat 2 disewa kepada Syaraman Sdn Bhd (RM1,800) dengan jumlah besar RM5,000 sebulan.

Menurut laporan tersebut, LKIM amat peka dengan situasi kerugian berterusan dan kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh Majuikan.

Sejak pertengahan tahun 2011, menurut laporan itu lagi, LKIM telah menerima beberapa cadangan daripada Majuikan seperti rancangan pengsrukturan semula, pembelian pengurusan (management buyout - MBO) dan pengecilan syarikat.

Bagaimanapun, tambahnya, LKIM mengalami kekangan berikutan kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh Majuikan di mana mempunyai risiko yang tinggi sama ada akan digulung oleh pihak plaintif atau penghutang.

Oleh yang demikian, tambahnya, LKIM telah mendapatkan nasihat panel peguam dalam menentukan arah tuju syarikat Majuikan dan sehingga kini pilihan yang terbaik adalah penggulungan secara sukarela.

Bagaimanapun, tambahnya, ia tertakluk kepada keputusan kementerian berkenaan.

Manakala tindakan mengutip hutang akan dilakukan oleh pihak yang akan dilantik oleh mahkamah melalui likudiasi.
"Bagaimanapun, keputusan bagi perlaksanaan ini bergantung kepada kelulusan menteri," katanya.

source : http://www.malaysiakini.com/news/211750