tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, March 19, 2013

Bekas DO dakwa Mahathir lulus 'Projek IC'

Seorang bekas pegawai daerah Sandakan, Hassnar Ebrahim mengakui terlibat dalam 'Projek IC' di Sabah pada tahun 1980-an dan mendakwa mengetahui bahawa skim tersebut diluluskan oleh perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hassnar, berkata beliau menyertai satu “mesyuarat rahsia” pada tahun 1980-an, di mana Timblan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub “secara terbuka mengakui penglibatan Mahathir”.

Sejumlah 15 orang pegawai menghadiri mesyuarat tersebut, dakwanya, termasuk “tiga orang anggota pasukan polis, termasuk wakil daripada jabatan imigresen dan jabatan pendaftaran negara”, katanya.

Hassnar, 62, berkata demikian pada malam tadi dalam satu forum mengenai pencerobohan kumpulan Suluk di Lahad Datu, Sabah.

Acara berkenaan dianjurkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau yang kini mengetuai PKR Batu Sapi berkata skim berkenaan untuk memberi kerakyatan kepada pendatang asing beragama Islam itu bermula pada awal 1980-an.

Beliau berkata, pengundi Cina pada masa itu menjadi kumpulan yang menentukan kemenangan parti yang bertanding dalam pilihan raya di negeri berkenaan.

“Jadi, timbul perasaan bahawa kehadiran orang Islam di negeri itu mesti diperkukuhkan untuk memastikan negeri berkenaan kekal di tangan orang Islam,” katanya.

Beliau seterusnya mengimbau kembali pengalamannya pada hari pertama sebagai pegawai daerah Sandakan pada 1982 – jawatan yang disandangnya atas desakan ketua menteri Sabah masa itu, Tan Sri Harris Salleh – di mana beliau diarahkan untuk menandatangani 500 borang pendaftaran kewarganegaraan yang tidak mempunyai butiran pemohon.

“Di antara 1976 dan 1984, saya boleh kata tidak kurang dari 125,000 pendatang asing diberi kewarganegaraan di Sabah,” dakwanya.

source : http://www.malaysiakini.com/news/224279

Monday, March 18, 2013

Mayat peguam DCNS ditemui terapung di laut



 
Peguam Perancis Olivier Metzner, yang mewakili firma pertahanan DCNS dalam satu inkuiri kehakiman, ditemui mati dalam satu kejadian didakwa sebagai kes bunuh diri.

Inkuiri kehakiman itu dimulakan oleh NGO hak asasi Malaysia, Suaram.

Mayat Metzner ditemui terapung di lautan berhampiran pulau peribadinya di Brittany, barat laut Perancis. Polis menemui satu nota bunuh diri.

Reputasi Metzner terserlah melalui anak guamnya yang terdiri dari golongan ternama seperti bekas diktator Panama Manuel Noriega dan bekas perdana menteri Perancis Dominique de Villepin serta Continental Airlines berhubung kejadian pesawat Concorde yang terhempas pada tahun 2000.

Bloomberg melaporkan, Metzner memulakan kerjayanya dengan mewakili anggota gengster dan menjadi popular kerana berjaya membebaskan anak guamnya atas alasan teknikal.

Pada tahun 1980-an, beliau memperkembangkan kepakaran dalam perundangan kewangan dan mewakili ahli perniagaan dan pemimpin politik yang terlibat dalam kes pembiayaan parti.

Metzner juga mewwakili kepentingan DCNS – syarikat yang menjual dua buah kapal selam Scorpene kepada Malaysia, 10 tahun lalu.

Suaram memfailkan inkuiri kehakiman di mahkamah Perancis pada 2009 mengenai kemungkinan berlakunya rasuah dalam urusniaga Scorpene.

Peguam PI Bala kata terpaksa mungkir janji

Semasa mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam tempoh hari, peguam Americk Sidhu membuat satu aduan serius semasa membahaskan usul untuk menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat pengarang akuan berkanun kedua P Balasubramaniam.
Americk mendakwa beliau menemui pengarang tersebut, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham yang memberitahunya bahawa beliau berbuat demikian atas arahan timbalan perdana menteri pada masa itu Datuk Seri Najib Razak.

Malaysiakini berusaha menghubungi Abraham sejak Deepak Jaikishan mula-mula menimbulkan dakwaan tersebut. Malaysiakini berpeluang bertemu dengan Cecil namun beliau enggan mengulas dakwaan tersebut.

Dalam ucapan itu, Americk berkata beliau mengingkari janjinya dengan Balasubramaniam untuk merahsiakan pengakuan yang didakwa dibuat oleh Abraham.

Americk berkata beliau terpaksa berbuat demikian walaupun ia melanggar hukum kerahsiaan antara beliau dan anak guamnya itu, yang meninggal dunia pada hari Jumaat lalu – sehari sebelum beliau mendedahkan perkara itu di AGM Majlis Peguam.

Sekiranya pendedahan itu tidak dibuat, beliau tidak akan dapat menghadapi kenyataan hidup, katanya.

“Saya tahu ini perlu dilakukan sebagai tanda hormat ke atas pengorbanan Balasubramaniam, yang berjuang begitu gigih dan menderita begitu banyak hanya kerana beliau percaya apa yang dilakukannya itu adalah benar,” katanya.

source : http://www.malaysiakini.com/news/224158

ROS henti siasatan ke atas Suaram

Pengarah eksekutif Suaram E Nalini berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) secara rasminya menghentikan siasatan ke atas Suara Inisiatif Sdn Bhd.
Jabatan berkenaan dalam satu surat kepada NGO hak asasi itu pada 6 Mac menyatakan bahawa ia akan menarik balik semua notis terhadap Suaram serta semua individu yang dikaitkan dengan siasatan tersebut.

Oleh yang demikian, Suaram juga mengesahkan bahawa ia menarik balik semakan kehakimannya ke atas ROS yang difailkan pada 4 Januari lalu, kata Nalini.

“Memandangkan ROS menarik balik semua notis dan peguam negara mengklasifikasi kes ini sebagai 'tiada tindakan lanjut', Suaram masih menunggu SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) untuk menarik balik semua notis yang belum sesesai.

“Gangguan selama tujuh bulan ini bukan hanya merugikan masa dan sumber Suaram tapi juga wang pembayar cukai.

“Siapa yang akan membayar ganti rugi atas kerugian rakyat, hanya kerana penganiayaan kerajaan yang berdendam,” katanya dalam satu kenyataan.

Nalini berkata walaupun terdapat “gangguan jelas” ke atas NGO berkenaan, tiada agensi penguatkuasaan terlibat dalam siasatan berkenaan yang mendedahkan hasil siasatan atau memakluimkan bahawa Suaram tidak melakukan apa-apa kesalahan.

source : http://www.malaysiakini.com/news/224217

Friday, March 15, 2013

PI Bala meninggal dunia

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam meninggal dunia hari ini, kata peguam R Sivarasa.

Sebelum ini dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, tiga arteri tersumbat dan separuh daripada jantung berhenti berdenyut memaksa beliau berhenti sebentar daripada terlibat dalam kempen Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.
Beliau yang lebih dikenal sebagai "PI Bala" memainkan peranan dalam dua akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuyaa Shaariibu, yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi politik.

source  : http://www.malaysiakini.com/news/223975

Monday, March 11, 2013

Liwat II : Surat Terbuka Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara

oleh : Datuk MAT ZAIN IBRAHIM merupakan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. Tulisan ini adalah surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
________________________________________________________________________________ 

Pada 9 Mac yang baru berlalu, negara dikejutkan dengan pendedahan oleh Azlan Mohd Lazim, iaitu bapa kepada Saiful Bukhari – pengadu dalam kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim.

Secara peribadi saya mengalukan kepantasan Timbalan Ketua Polis Negara, mengeluarkan kenyataan bahawa polis akan segera memanggil Azlan Lazim, untuk mengenal pasti sebab dan tujuan beliau membuat keterangan sedemikian.

Bagaimanapun kenyataan Timbalan KPN yang menyatakan, bahawa oleh kerana Azlan tidak pernah dipanggil memberi keterangan di mahkamah dalam perbicaraan kes liwat berkenaan, maka pendedahan Azlan sedemikian itu tidak bernilai dan tidak boleh digunapakai, adalah suatu kenyataan yang tidak wajar dibuat di peringkat ini, sedangkan keterangan dari Azlan masih belum diambil lagi.

Mungkin beliau semangnya mempunyai keterangan yang lain yang belum didedahkan lagi, atau mungkin juga akibat daripada pendedahan itu, saksi lain yang tidak pernah muncul akan timbul pula memberikan keterangan baru dalam kes ini, tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Persoalan Azlan Lazim tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat itu sebenarnya bukan salah beliau, tetapi terletak ditangan pegawai penyiasat dan pihak pendakwaan. Telah banyak kali berlaku di mana saksi atau keterangan yang boleh membantu dalam sesuatu perbicaraan, disorokkan daripada dikemukakan kepada mahkamah, sepertimana yang jelas berlaku dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shariibuu.

Dalam hal Azlan Lazim ini pula, kemungkinannya pihak pendakwaan yang dengan sengaja tidak memanggil beliau sebagai saksi, kerana jika dipanggil mungkin keterangan yang akan Azlan Lazim berikan, tidak akan memihak kepada pihak pendakwaan.

Banyak kes lampau yang boleh dijadikan teladan antaranya dalam kes yang agak masyhur, iaitu kes bunuh Jean Perera Sinappa tahun 1980, di mana tertuduh dibebaskan daripada hukuman gantung, setelah mahkamah ketika di peringkat rayuan, mendapati keterangan palsu telah digunakan dalam perbicaraan utama kes tersebut.

Apa yang ingin disarankan di sini ialah supaya pihak polis mengambil pendedahan yang dibuat oleh Azlan Lazim itu sebagai maklumat baru dan menjalankan siasatan terperinci mengenai isi kandungan pendedahan tersebut dan bukan menutup kes itu memandangkan penyiasatan belum dimulakan lagi.

Pernah berlaku sebelum ini, di mana mantan KPN Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail, sama-sama berpakat mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa kes siasatan salahguna kuasa terhadap mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, telah ditutup pada 15 Februari 2000, walhal laporan polis mengenainya hanya dibuat pada 12 Jun 2000 dan kertas siasatan dibuka pada 13 Jun 2000. Dalam keadaan sebegitu pun, PM mengatakan Gani dan Musa orang-orang yang jujur.

Soal mengapa Azlan Lazim baru sekarang membuat pendedahan tersebut adalah soal kedua. Yang pentingnya ialah maklumat yang beliau ingin dan dapat dedahkan. Lagipun tidak ada had tempoh bagi mendedahkan sesuatu kejadian jenayah.

Sambil itu pula saya sarankan Tan Sri melihat semula beberapa maklumat penting yang telah saya sampaikan menerusi surat terbuka atau surat terhad, berkaitan dengan perbuatan mereka keterangan palsu dalam kes melibatkan penyiasatan insiden mata lebam, kes liwat tahun 1998 (Liwat I) dan kes liwat tahun 2008 (Liwat II). Saya juga menyarankan Tan Sri menyegarkan ingatan kepada perbincangan kita di Bukit Aman pada 5 Januari 2011, yang turut dihadiri oleh mantan Timbalan Ketua Polis Negara Hussein Ismail dan SUPM Ghazali Md Amin.

Kenyataan palsu dalam afidavit Najib


PM Najib telah mengikrarkan dua afidavit, iaitu pada 21 dan 23 September 2011, bagi menyokong permohonan beliau untuk mengenepikan sepina, yang mengehendaki beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes Sodomi II. Isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga mengikrarkan affidavit berasingan pada 21 September 2011 dalam permohonan yang sama.

Pada bulan November 2011, saya telah menyampaikan maklumat bertulis kepada KPN dan Menteri Dalam Negeri, berkaitan penegasan mustahak yang diikrarkan oleh PM Najib, yang boleh dibuktikan sebagai tidak benar atau palsu.

Setakat yang saya ketahui, dalam perkara pembikinan afidavit palsu yang dikemukakan dalam sesuatu perbicaraan, adalah tanggungjawab pegawai penyiasat kes atau Timbalan Pendakwa Raya, untuk membuat laporan polis supaya dakwaan tersebut disiasat berasingan. Ianya bukan tanggungjawab tertuduh atau peguambela tertuduh membuat laporan tersebut.

Kesalahan membuat affidavit palsu atau memberi keterangan palsu, adalah kesalahan yang tergolong sebagai kesalahan terhadap Keadilan Awam (Public Justice) dan bukan kesalahan terhadap seseorang individu. Malangnya setakat yang diketahui, tidak ada sebarang siasatan yang dilakukan ke atas perkara ini, mungkin kerana kes ini melibatkan Perdana Menteri.

Saya menegaskan di sini bahawa bukan sahaja PM Najib tidak akan dapat memberi penjelasan berkaitan kenyataan palsu yang beliau telah ikrarkan dalam afidavit tersebut, malahan beliau akan menghadapi masaalah untuk menjelaskan berkaitan kekalutan mengenai nama beliau sendiri.

Ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai PM keenam pada April 2009, dengan nama Allah, beliau malafazkan nama beliau sebagai Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Semasa mengikrarkan afidavit pada September 2011 beliau menegaskan nama beliau sebagai Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan menggugurkan nama Muhammad dari nama beliau. Sementara ketika menandatangani Ikrar Integriti PRU-13 pada Februari 2013 pula, beliau memberikan nama beliau sebagai Najib Razak sahaja, dengan menggugurkan nama “Muhammad” dari nama beliau dan nama “Abdul” dari nama Allahyarham bapa beliau.

Jika nama sendiri, sama ada terdapat nama Muhammad atau pun tidak, Perdana Menteri boleh keliru, apatah lagi dengan perkara lain. Apa pula nama yang beliau lafazkan ketika mengangkat sumpah di-masjid Guar Perahu? Wallahua’lam.

Apa pun PM Najib tidak boleh menafikan yang beliau mengikrarkan afidavit-afidavit tersebut sedemikian rupa, di atas kerelaan dan kehendak beliau sendiri. Beliau tidak boleh menyalahkan orang lain sekalipun peguam dan penasihat beliau.

PM Najib juga wajar sedar, bahawa kekeliruan berkaitan nama beliau yang sebenar dan kekalutan beliau melafazkan sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia sebagai PM Malaysia ke-6, boleh menyebabkan kesahan (legitimacy) beliau sebagai perdana menteri dicabar, sekiranya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dipatuhi sepenuhnya.

Pendedahan Musa Hassan
Dakwaan terhadap Musa Hassan dan Gani Patail kerana telah memalsukan keterangan DNA dan lain lain pemalsuan melibatkan kes salahguna kuasa dan liwat terhadap Anwar Ibrahim, serta dalam penyiasatan insiden mata lebam telah dibuat menerusi pelbagai saluran sejak 1998 lagi.

Namun begitu, Musa Hassan dan Gani Patail serta kerajaan, telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, walaupun rekod mahkamah dan Suruhanjaya Diraja Siasatan, menunjukkan dakwaan tersebut adalah berasas dan boleh dibuktikan sebagai benar.

Bagaimanapun pada 31 Mei 2012 secara tiba-tiba Musa Hassan sendiri, ketika diwawancara oleh pemberita Malaysiakini, akhirnya telah mengaku bahawa memang betul beliau ada mengambil contoh darah Anwar (dari simpanan pihak Hospital Kuala Lumpur) untuk ujian DNA di atas tilam masyhur yang kontroversi itu.

Pengakuan Musa Hassan yang dibuat hampir 14 tahun kemudian itu, telah membuktikan dua perkara yang sangat penting. Pertama, keterangan DNA Anwar yang dikatakan terdapat di atas tilam masyhur tersebut adalah palsu dan diperolehi menerusi jalan fraud, penipuan dan menyalahi undang-undang.

Kedua, afidavit Musa Hassan yang diikrarkan pada 2 September 1998 dan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes jenayah No:45-40-1998, menyatakan beliau telah memperolehi laporan forensik pada ketika itu, adalah palsu memandangkan tindakan Musa 'mencuri' contoh darah tersebut dari HKL ialah pada 15 Oktober 1998.

Mengenai peranan Musa Hassan dan Gani Patail dalam merekacipta keterangan DNA di atas tilam tersebut, telah saya jelaskan secara terperinci menerusi surat terhad saya bertarikh 27 Disember 2010 dialamatkan kepada KPN dengan salinannya kepada Perdana Menteri dan Peguam Cara Negara yang kesemuanya telah mengesahkan penerimaannya.

Persoalannya ialah mengapa polis tidak memanggil Musa Hassan untuk siasatan lanjut setelah beliau membuat pendedahan terbuka pada 31 Mei 2012 itu? Beliau bukan sahaja pegawai penyiasat kes salahguna kuasa, malah beliau merupakan penyelia penyiasatan semua kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim. Di samping itu, Musa telah turut memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bersabit dengan kes kes tersebut sementara Gani Pula pula bertindak sebagai ketua pendakwa.

Adakah polis mengelak daripada menyiasat semula terhadap pendedahan Musa Hassan sedemikian itu disebabkan kebimbangan hasil siasatannya kelak, akan membongkar dan mengaitkan penglibatan pemimpin-pemimpin politik tertentu pada ketika itu? Terserah kepada KPN untuk menjelaskannya kepada seluruh rakyat. Mereka berhak mengetahui.

Rayuan keputusan kes Liwat II

Pada pandangan saya,walaupun tanpa pendedahan yang dibuat oleh Azlan Lazim itu, perbicaraan kes Liwat II sebenarnya memang tidak boleh diteruskan lagi. Ini adalah kerana PM Najib telah membawa masuk keterangan palsu dalam perbicaraan tersebut menerusi afidavit yang beliau ikrarkan, sepertimana yang dijelaskan di perenggan-perenggan terdahulu.

Manakala, Gani Patail sebagai orang yang memberi kata putus untuk menuduh Anwar dalam kes Liwat II, dan memfailkan rayuan apabila Mahkamah Tinggi mendapati Anwar tidak bersalah, boleh dibuktikan telah melakukan beberapa banyak pemalsuan dan mereka keterangan palsu untuk mensabitkan kesalahan jenayah terhadap Anwar semenjak 1998 lagi.

Pendek kata, Gani boleh dibuktikan mempunyai niat jahat terhadap Anwar sejak dari 1998 yang berlarutan sehingga kehari ini.

Biar banyak mana sekali pun penafian Gani Patail, pendedahan yang dibuat oleh Musa Hassan berkaitan keterangan DNA itu, adalah cukup untuk membuktikan dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap mereka berdua adalah benar dan betul.

Apa pun motif Gani memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Liwat II, beliau sebenarnya telah membuka ruang kepada pihak pembelaan dan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan, untuk mencabar afidavit yang diikrarkan oleh PM Najib seperti yang dijelaskan di atas.

Desak siasat Najib jika benar-benar berani


Semenjak tercetusnya insiden pencerobohan senjata di Lahad Datu, kita perhatikan beberapa ramai menteri kanan dan pemimpin politik dengan lantang membuat seruan mengajak rakyat, sama-sama memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan dan undang-undang negara. Kita hormati keberanian mereka itu.

Jika mereka benar-benar berani, jujur dan ikhlas, kita mengajak mereka pula untuk bersama-sama dengan rakyat, mendesak pihak berkuasa untuk melancarkan siasatan terperinci terhadap PM Najib, Gani Patail dan Musa Hassan kerana terdapat bukti yang mereka secara bersingan atau bersama-sama, mengkhianati dan melanggari kedaulatan dan undang-undang Negara.

Pada pandangan saya, kita tidak perlu pun menggunakan keterangan daripada Azlan Lazim atau Deepak Jaikishan atau P Balasubramaniam untuk membuktikan salahlaku jenayah mereka.

Perbuatan mereka sendiri, antaranya menerusi pembikinan affidavit mengandungi kenyataan mustahak yang tidak benar atau palsu, memberi keterangan palsu di mahkamah dan mereka keterangan palsu dalam bentuk laporan pakar palsu, adalah cukup untuk mensabitkan kesalahan jenayah masing-masing. Mereka sebenarnya tidak ada pembelaan.


MAT ZAIN IBRAHIM merupakan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. Tulisan ini adalah surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

source : http://www.malaysiakini.com/news/223605

Sunday, March 10, 2013

Kit Siang: Najib jadi PM tanpa mandat

Ketua ahli parlimen DAP Lim Kit Siang menganggap Datuk Seri Najib Razak tidak lagi sah menjadi perdana menteri bermula 9 Mac semalam dan mendesak Najib segera mengadakan pilihan raya dengan segera.

Katanya, tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada genap lima tahun pada 8 Mac lalu.

"9 Mac adalah tarikh yang mustahak kerana bermula hari ini kita ada perdana menteri yang tidak sah di Malaysia," kata Lim sewaktu berucap pada majlis sambutan 5 tahun pentadbiran kerajaan negeri Selangor di Shah Alam semalam.

selangor 308 anniversary 100313 lim kit siangBeliau mendakwa, Najib kini menjadi perdana menteri tanpa mandat daripada rakyat memandangkan beliau tidak mengadakan pilihan raya umum untuk mendapat mandat baru selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tambah Lim, semua perdana menteri sebelum Najib mengadakan pilihan raya umum dalam masa enam bulan ke setahun selepas mengambil alih kuasa daripada perdana menteri sebelumnya.

"Beliau sudah menjadi perdana menteri yang tidak dipilih, yang paling lama di Malaysia.

Bapa Saiful: Anak saya diperguna untuk jatuhkan Anwar



Bapa Saiful, Azlan membacakan kenyataan pada sidang media yang diadakan dekat ibu negara pagi tadi. - Foto ihsan The Malaysian Insider
 
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Dilihat sebagai perkembangan terbaru yang akan memanaskan lagi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim, hari ini mendakwa anaknya itu dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu tidak  bertanggungjawab - mendalangi kes liwat kedua melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Friday, March 8, 2013

Skrip Kenyataan akhbar Azlan, bapa kepada Saiful


Azlan Mohd Lazim
BERIKUT kenyataan akhbar Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Saiful pada sidang media yang diadakan di Ampang, dekat Kuala Lumpur hari ini.


Assalamualaikum wmth dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa.

Saya Azlan Mohd Lazim sesungguhnya percaya anak saya Saiful Bukhari telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab termasuk pegawai khas (kepada pemimpin kanan negara, nama dikeluarkan di peringkat ini. Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melibatkan anak saya.