tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Friday, November 12, 2010

BMF Scandal Part 5 : Kisah di sebalik Skandal BMF

Gambaran stereotaip Malaysia sebagai sebuah negara paling kurang rasuah di rantau bukan komunis Asia Tenggara tidak terpakai lagi setelah dimensi skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) didedahkan. BMF, sebuah anak syarikat Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) beroperasi di Hong Kong.
Apabila pasaran hartanah di sana merudum pada tahun 1983, BMF menanggung kerugian kira-kira US$1 billion.

Terdedah kemudiannya bahawa pegawai-pegawai atasan BMF telah menerima beberapa pembayaran rasuah.

BMF terpaksa diselamatkan dengan wang rakyat untuk mengelakkan kerugian besarnya menjahanamkan ekonomi Malaysia.

Ia juga menghuru-harakan iklim politik negara berikutan spekulasi tentang penglibatan ahli-ahli politik Malaysia dari Kelompok Sekular Umno.

Ia turut memberi kesan kepada pemilihan dalaman Kelompok Sekular Umno yang menjadi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional.

Pembongkaran kisah kerugian besar itu dan beberapa nama mereka yang bertanggungjawab telah meningkatkan impak negatif dan menimbulkan sangkaan adanya cubaan untuk melindungi juak-juak Umno yang terpalit.

Skandal ini menyebabkan wujudnya keraguan mengenai kemampuan orang Melayu di kalangan juak-juak Umno (di mana ekonomi, pendidikan dan kemajuan melayu menjadi tema terbesar dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) semenjak 1969) untuk menguruskan institusi kewangan dengan jujur, apatah lagi dengan kompeten.

Timbul persoalan sama ada skandal ini hanya sebahagian dari suatu penyelewengan yang lebih dahsyat.

Adakah skandal-skandal sedemikian rupa akan muncul lagi selepas itu?

Klasifikasi rasuah juak-juak Umno

Ini bukanlah kertas teori yang berhasrat mengklasifikasikan kes BMF berdasarkan satu definisi yang berbeza tentang rasuah.

Namun begitu, gambaran yang diberikan bahawa Malaysia adalah negara yang bebas dari rasuah sebelum ini sememangnya tidak tepat.

Rasuah wujud dalam banyak bentuk di seluruh dunia.

Dua klasifikasi luas boleh digunakan.

Pertama, rasuah kecil-kecilan, iaitu sogokan kepada pegawai gred rendah dan pertengahan untuk mendapatkan pertimbangan atau balasan istimewa.

Kedua, ia berpunca dari kekayaan sumber alam Malaysia, terutamanya tanah dan balak, digandingkan pula dengan sistem persekutuan yang mana peranan utama sesebuah negeri adalah pentadbiran dan kawalan tanah.

Contoh-contoh rasuah yang paling jelas adalah pengagihan tidak betul kawasan balak yang berlaku di negeri-negeri Borneo -Sabah dan Sarawak- beberapa ketika sebelum penubuhan Malaysia dan juga selepas kedua-dua negeri itu menyertai Malaysia pada 1963.

Namun begitu, rasuah jenis ini juga bermaharajalela di negeri-negeri di Semenanjung, terutama dalam pengagihan tanah untuk kegunaan perumahan.

Dalam kebanyakan kes, penerima manfaat yang sebenar adalah Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Sekalipun Menteri-Menteri Besar dilantik di kalangan teknokrat, mereka yang memegang jawatan ini tertakluk kepada tekanan hebat dari juak-juak politik mereka untuk mendapatkan habuan sekalipun melalui kaedah rasuah yang agak sukar untuk dikekang.

Sebenarnya, polisi-polisi negeri berkaitan pengagihan dan polisi-polisi pembangunan Persekutuan yang digunakan di negeri-negeri, kedua-duanya mewujudkan ‘kawasan kelabu’ yang mengandungi elemen-elemen rasuah dan perlindungan, yang direkabentuk untuk mengukuhkan Kelompok Sekular Umno dengan cara memberikan anugerah kepada semua juak-juaknya.

Kelompok Sekular Umno tangkap ikan bilis

Langkah-langkah pencegahan rasuah yang dilaksanakan kerajaan hampir sepenuhnya ditumpukan untuk menangani rasuah kecil-kecilan.

Badan Pencegah Rasuah ditubuhkan pada 1967, namanya ditukar kepada Biro Siasatan Nasional pada 1973, kemudiannya bertukar kepada nama asalnya di awal tahun 1980-an.

Apapun namanya, secara umumnya operasi BPR dipercayai tidak menyentuh ‘ikan-ikan jerung’..

Seorang Menteri Kabinet bernama Rahman Talib yang kalah dalam kes fitnah terhadap seorang politikus pembangkang yang menuduhnya rasuah telah dibenarkan untuk meletakkan jawatan dan bukannya disingkirkan kerana perbuatan rasuah itu.

Sudah terang lagi bersuluh, satu-satunya ‘ikan jerung’ yang berhadapan dengan tekanan hebat adalah mereka yang tidak sehaluan dengan ketua-ketua kabilah politik yang lebih berkuasa.

Golongan ini dikategorikan sebagai ‘jerung besar’ seumpama Menteri Besar Johor yang telah membangkitkan kemurkaan Sultan.

Satu contoh lain adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris (tokoh utama di Bank Rakyat yang dibincangkan di akhir artikel ini), yang mencetuskan kemarahan Perdana Menteri Tun Razak di awal tahun 1970-an.

Pengganti Tun Razak sebagai Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn (1976-1981) adalah pengkritik lantang rasuah. Begitu juga Tun Mahathir ( Perdana Menteri sejak 1981). Sebaik sahaja dilantik, mereka menekankan tentang kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

Di bawah pentadbiran mereka Badan Pencegah Rasuah menjadi lebih aktif.

Namun demikian, jaring-jaring BPR masih tidak mampu menjerat mana-mana ‘ikan jerung’ sebenar.

Amat menjengkelkan, Perdana Menteri kononnya begitu prihatin terhadap gejala rasuah tetapi kes BMF tidak dipedulikan sekalipun ianya tercetus hanya beberapa ketika sebelum pentadbirannya bermula.

Pendedahan-pendedahan kisah penyelewengan di BMF disifatkan oleh sebuah akhbar tempatan sebagai ‘pengkhianatan luar jangkaan’.

BMF cari duit untuk Kelompok Sekular Umno


Masalah BMF (dan kerugian kepada Kerajaan Malaysia dan semua pembayar cukai di Malaysia) berpunca dari keputusannya untuk melabur secara besar-besaran dalam pasaran hartanah Hong Kong yang teramat spekulatif.

BMF menumpukan pelaburannya kepada 3 syarikat sahaja. Daripada 3 syarikat itu, BMF melabur dengan banyak dalam Carrian Holdings yang diterajui secara berseorangan oleh George Tan. George Tan telah membina sebuah empayar kewangan yang mengkagumkan semua orang.

Namun akhirnya empayar tersebut rupa-rupanya hanyalah angka-angka ‘di atas kertas’ sahaja’.

Bermula tahun 1979 BMF memainkan peranan yang besar dan tiada tukar gantinya dalam menjana pertumbuhan Cardan.

Paling jelas, di awal operasinya BMF mewujudkan satu skim untuk membeli bangunan Gammon House di Hong Kong dan menjualkannya semula kepada Kerajaan Malaysia pada harga yang menguntungkannya.

Skim itu bagaimanapun menemui kegagalan.

George Tan, seorang jurutera, memulakan kegiatan spekulasi dalam hartanah di pertengahan 1970-an.

Dia dan beberapa rakan kongsi kemudiannya mengambilalih sebuah syarikat dan menukar namanya kepada Carrian Holdings.

George Tan menjadi terkenal dengan segera selepas itu. Khabar angin tersebar mengatakan dia dibiayai oleh Moscow Narodny Bank, oleh President Marcos, ataupun oleh jutawan-jutawan Malaysia berbangsa Cina.

Hakikatnya, George Tan beroperasi secara solo. Dengan menggunakan tarikan personanya, dia berjaya meyakinkan penilai-penilai hartanah yang berpengalaman tentang daya maju dan keberuntungan syarikatnya.

Antara yang tertipu termasuklah Vickers da Costa, seorang pemilik firma broker ‘berhidung tinggi’ berasal dari Britain.

Sesetengah pemiutang begitu yakin dengan kemampuan George Tan menjana untung sehinggakan mereka tidak mensyaratkan sebarang jaminan untuk hutangnya.

Seorang jurubank dari Amerika Syarikat menyelidiki perniagaan George Tan dan berkesudahan dengan mengkaguminya.

Beliau merakamkannya dalam kata-kata berikut, "The moment I walked into Tan's office - with marble statues, a fountain and Louis XIV furniture - it was too surreal to be believed. He just impressed me as a used-car salesman."

Di awal permainan spekulasinya, tuah datang bergolek-golek ke riba George Tan.

Kumpulan Carrian mencatatkan untung bersih sebanyak US$100 juta dan perolehan sebanyak US$280 juta.

Perolehan tahap tinggi ini menyusut sedikit pada penggal pertama 1982, kemudiannya merosot teruk sejajar dengan keruntuhan pasaran saham beberapa bulan kemudian.

Kumpulan Carrian mengakui ia sedang mengalami masalah kecairan jangka pendek pada Oktober 1982 sekalipun mengembar-gemburkan cubaan-cubaan untuk penstrukturan semula.

Sesuatu yang pelik berlaku. Sekalipun bank-bank mengetahui keadaan kewangan Carrian yang ‘nyawa-nyawa ikan’ pada ketika itu, mereka tidaklah pula mendesak agar syarikat itu dicairkan untuk melunaskan hutang.

Kelompok Sekular Umno bunuh pegawai BMF?

Kemudiannya krisis itu berlanjutan dan keyakinan pasaran tergugat dengan peristiwa pembunuhan penuh misteri seorang pegawai BMF yang datang ‘melawat’ pada 1983.

Dalam bulan Oktober 1983, George Tan dan seorang pengarah Carrian telah ditahan oleh Polis Hong Kong. Mereka disiasat atas dakwaan membuat perakuan-perakuan palsu dan mengelirukan tentang syarikat itu.

Sesuai dengan namanya, Bank Bumiputera adalah hasil dari polisi Malaysia untuk memajukan taraf ekonomi orang-orang Melayu dan penduduk-penduduk peribumi.

Amat menghairankan, Skandal BMF di tanah asing Hong Kong ini berlaku ketika polisi ini sedang dilaksanakan.

Bank Bumiputera dikanunkan untuk tujuan murni itu pada awal 1970-an di bawah naungan berprestij Pengerusinya Tengku Razaleigh Hamzah, seorang tokoh terkemuka dari Kelompok Sekular Umno.

Dengan pantas ia menjadi bank terbesar di Malaysia. Ia juga mengambil masa yang tersingkat berbanding bank-bank lain untuk menjadi bank gergasi di Asia Tenggara.

Namun begitu keuntungannya amat rendah kerana ia terpaksa menjalankan objektif sosial. Pertanggungjawaban ini menghadkan keupayaan komersilnya berbanding bank-bank lain.

Bank ini telah membuka beberapa cawangan di luar negara, termasuklah sebuah anak syarikat di Hong Kong yang mula beroperasi dalam tahun 1977.

Tidak ada bukti menunjukkan anak syarikat di Hong Kong itu merancang untuk melabur besar-besaran dalam pasaran hartanah, walaupun itulah yang sebenarnya terjadi dan ia akhirnya menjadi sumber pinjaman terbesar kepada firma Cardan.

Beserta pelabur-pelabur lain, BMF mendapat untung lumayan dari pelaburan hartanahnya pada awal tahun 1980-an. Namun ia menanggung kerugian besar dalam tahun 1982 disebabkan kejatuhan pasaran pada penggal kedua tahun tersebut.

Tanpa memperdulikan kesilapan-kesilapan yang membawa kepada kerugian besar itu, BMF menambahkan jumlah pelaburannya sekalipun jumlah pelabur yang menarik diri dari pasaran bertambah ramai pada ketika itu.

Sebagai contoh, BMF menghulurkan US$7.5 juta kepada George Tan dalam bulan Julai 1983 di mana menurut sesetengah komentator masanya amat hampir dengan kejadian pembunuhan seorang pegawai BMF yang melawat Hong Kong bagi menyiasat kriteria pemberian pinjaman tersebut. Justeru, pembunuhan tersebut dikatakan bukanlah suatu kebetulan tetapi telah dirancang.

Tatkala empayar Carrian runtuh lewat tahun 1983, BMF adalah pemiutang terbesar kepada kumpulan syarikat itu. Jumlahnya mencecah HK$4.6 billion (US$ 600 juta)..

Beberapa unjuran yang dibuat selepas itu menunjukkan angka keugian keseluruhan BMF adalah US$1 billion.

Untuk berlaku adil, wajarlah disebutkan di sini bahawa antara yang menyumbang kepada kerugian besar BMF adalah kejatuhan dan ketidaktentuan dalam pasaran hartanah Hong Kong pada awal 1980-an.

Sesetengah jurubank percaya kebanyakan pelabur Malaysia seperti juga pelabur-pelabur lain terpukau dengan kehebatan George Tan dan melihat dirinya sebagai ‘lubang’ untuk mendapatkan untung besar dengan pantas.

Permulaannya, urusniaga BMF menghasilkan laba sebagaimana yang dijangkakan. Namun kemudiannya, ketika pasaran beransur jahanam, ia meneruskan ketagihan membekalkan lebih banyak dana kepada George Tan sebagai cubaan terdesak untuk mendapatkan semula nilai pelaburan asal.

Siapa makan rasuah?

Sungguhpun begitu, sebagaimana yang digambarkan oleh kadar kerugian yang besar, jelas sekali urusniaga-urusniaga tersebut dilakukan setelah bayaran rasuah dilunaskan untuk pegawai-pegawai BMF.

‘Rantaian pertanggungjawaban’ orang-orang yang terlibat begitu mengelirukan, dan keterangan mereka yang terpalit saling berlawanan. Ini menyebabkan tiada siapa pun yang dipertanggungjawabkan dapat menerangkan sebab sebenar kepada kesilapan yang membawa kerugian itu.

Sebagaimana yang berlaku di banyak negara lain, struktur organisasi dan pertanggungjawaban sektor awam di Malaysia amat bercelaru.

Terdapat ribuan badan-badan separa kerajaan yang ditubuhkan, kebanyakannya terlibat dalam aktiviti-aktiviti ekonomi.

Kebanyakannya menubuhkan anak-anak syarikat yang kemudiannya menubuhkan pula beberapa anak syarikat. Kebanyakan anak syarikat kepada anak-anak syarikat yang pertama itu menubuhkan pula anak-anak syarikatnya pula. Jadi jika kita mengkaji sesebuah struktur sesebuah syarikat Kerajaan, kita mungkin akan mendapati ia adalah ‘cicit’ kepada sebuah syarikat kerajaan yang lain.

Dalam Skandal BMF, sukar hendak ditentukan siapa yang bertanggungjawab, kepada siapa dan tahap tanggungjawabnya, terutama sekali ramai yang bertempiaran setelah kerugian maha dahsyat itu menjadi pengetahuan umum.

Tentunya mereka tidak mahu dipalitkan sebagai sebahagian dari dimensi sebuah skandal.

Maka, tidak ada satu pihak pun yang terlibat bersedia memikul lebih dari sekadar tanggungjawab rasmi yang minimum.

Apa yang jelas, rantaian pertanggungjawaban adalah dari BMF ke Bank Bumiputera dan kemudiannya ke Bank Negara dan akhirnya kepada Kerajaan Malaysia.

Namun begitu aturan operasi kerajaan kelihatan agak kompleks sehinggakan apabila skandal itu terbongkar, Perdana Menteri menyatakan dia tidak tahu satu apa pun sehinggalah dia membacanya dalam suratkhabar.

Mungkin pautan yang terdekat dalam rantaian tersebut adalah di antara Bank Bumiputera dan anak syarikatnya, BMF.

Kroni siapakah mereka ini?

Komponen utamanya termasuklah Lorrain Esme Osman (Pengarah Bank Bumiputera dan Pengerusi BMF) dan Datuk Hashim Shamsuddin (Pengarah Eksekutif Bank Bumiputera dan Pengarah BMF).

Dua individu ini hanyalah sebahagian dari setengah dozen manusia yang dinamakan oleh sebuah Suruhanjaya Siasatan sebagai orang yang terlibat dalam kegiatan rasuah, jadi ‘rantaian pertanggungjawaban’ yang dibincangkan tadi menjadi agak ‘tempang’.

Nampak jelas di sini, penerimaan sesuatu pertanggungjawaban adalah bertentangan dengan kepentingan mereka.

Amat menjengkelkan apabila Lorrain Esme Osman mendakwa Bank Bumiputera menggerakkan BMF sebagai sebuah jabatan dan bukannya sebagai sebuah anak syarikat separa-autonomi dan BMF menghantar laporan terjadual kepada bank itu.

Walaubagaimanapun, Pengerusi Bank Bumiputera, Tan Sri Kamarul Ariffin (meletak jawatan pada Mac 1981) memperakui bahawa dia tidak menyedari urusan pemberian pinjaman yang dilakukan oleh BMF di Hong Kong.

Dia juga mendakwa pengarah-pengarah BMF yang berada dalam Lembaga Pengarah Bank Bumiputera tidak pernah menimbulkan apa-apa berkaitan urusan pemberian pinjaman tersebut dalam mana-mana mesyuarat lembaga pengarahnya.

Walaupun dipertikaikan, sebahagian dari kenyataannya itu disokong masing-masing oleh proses dokumentasi dan prosedur BMF yang caca merba dan juga seiringan dengan kurangnya kesungguhan di pihak Bank Bumiputera dalam pengauditan dan pemeriksaaan secara efektif ke atas BMF

Bahkan selepas Bank Bumiputera mengambil langkah untuk melaksanakan kawalselia dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menapis pemberian pinjaman oleh BMF pada November 1982, mekanisme ini adakalanya diabaikan begitu sahaja.

Pemberian pinjaman oleh BMF pada waktu pembunuhan berlaku di Hong Kong diluluskan atas desakan Lorrain Esme Osman. Dia mewajarkannya tanpa sebarang menghantar laporan terlebih dahulu kepada Bank Bumiputera.

Bukti-bukti yang dikemukakan terarah kepada Lorrain Esme Osman dan Hashim kerana merekalah pembuat keputusan untuk pemberian pinjaman berskala besar.

Peranan yang dimainkan oleh Bank Negara dalam operasi BMF amatlah sukar untuk difahami berbanding dengan peranan Bank Bumiputera.

Menurut sesetengah sumber, Bank Negara telah menolak beberapa cadangan pemberian pinjaman BMF yang disifatkannya berisiko tinggi, tetapi Gabenor Bank Negara kemudiannya berlembut.

Menurut satu unjuran, kira-kira RM150 juta mungkin sempat diselamatkan andainya Bank Bumiputera akur kepada amaran awal Bank Negara selepas satu audit pada penghujung tahun 1982.

Tak berani tubuh Suruhanjaya Diraja

Penyiasatan kerajaan terhadap skandal BMF telah dihadkan kepada skop tertentu, tetapi penyiasat-penyiasat telah melaksanakannya dengan baik.

Sebuah Jawatankuasa Siasatan dengan 3 anggota telah dilantik. Ia dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ahmed Noordin dan dianggotai oleh 2 orang professional yang terhormat.

Malangnya, fungsi jawatankuasa itu dihadkan untuk menyiasat transaksi-transaksi BMF.

Ia dilarang dari menyiasat Bank Bumiputera malah secara teknikalnya ia melapor kepada Bank Bumiputera.

Sepatutnya Bank Bumiputera juga dimasukkan ke dalam skop siasatan memandangkan hubungan rapat antara keduanya dan pertindihan tugas kebanyakan pegawai atasannya yang didapati terpalit dalam skandal itu.

Jawatankuasa itu dilantik dalam bulan Januari 1984 dan telah menyiapkan 4 dokumen laporan menjelang penghujung tahun itu.

Kebanyakan maklumat dalam dokumen itu didedahkan kepada umum. Namun begitu sesetengah data dipersembahkan dalam bentuk ‘jumlah akhir’ manakala butiran terperincinya yang dilampirkan bersamanya disorok dari pengetahuan rakyat.

Jawatankuasa itu telah menyiapkan satu laporan susulan di akhir tahun 1985. Kali ini ianya didedahkan agak lewat untuk pengetahuan umum.

Ketika disoal kenapakah Bank Negara dan Bank Bumiputera tidak mengawalselia dengan lebih tegas, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan, Tan Sri Ahmed Noordin menyatakan, “…Soalan ini amat sukar… kerana kami tidak berani berpura-pura mengetahui apakah kejadian sebenar yang mereka tahu.”

Aspek urustadbir dalam situasi itu adalah penyumbang kepada kejadian buruk ini.

Malangnya, ia menjadi sebab tunggal segala keburukan pengurusan kewangan tidak dapat dikenalpasti.

Transaksi kewangan yang dibongkar oleh Siasatan itu amat kompleks, tetapi ia tertumpu kepada 2 perkara utama; pemberian pinjaman yang tidak diluluskan untuk Carrian dan syarikat-syarikat lain; dan pelbagai jenis bayaran kepada kakitangan BMF dan saudara-mara mereka,

Enam orang telah dinamakan sebagai penerima bayaran-bayaran tersebut; Pengerusi BMF Lorrain Esme Osman; Datuk Hashim Ibrahim, Pengarah Eksekutif Bank Bumiputera merangkap Pengarah BMF; Pengarah BMF, Dr. Rais Saniman; Pengurus Besar BMF Ibrahim Jaafar; dan dua lagi pengarah BMF iaitu Henry Chan dan Eric Chow.

Pengerusi Siasatan menyatakan pendedahan empat laporan yang disediakan hanyalah ‘tip of the iceberg’, justeru diandaikan masih banyak lagi yang masih belum dapat dicungkil.

Ahli politik pembangkang dan sebahagian tokoh terkemuka dalam Kelompok Sekular Umno sendiri serta tidak ketinggalan Tan Sri Ahmed Noordin sendiri berpendapat prosedur siasatan yang tepat adalah dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bukannya sebuah Jawatankuasa.

Sebuah Jawatankuasa Siasatan amat terhad fungsi, kaedah dan kuasanya.

Malah seseorang saksi boleh memilih untuk tidak menjawab soalan.

Selepas menyoal Lorrain Esme Osman, Jawatankuasa itu menghantar satu set soalan kepadanya dengan meminta diberikan jawapan dalam masa dua minggu.

Empat surat peringatan dihantar namun seperti diduga tiada satupun jawapan diterima.

Amat malang, imej Jawatankuasa itu terhakis disebabkan orang awam merasakan ia telah gagal menggunakan kuasa siasatan sepenuhnya sedangkan dalam realiti ia tidak ada pun kuasa sedemikian.

Disebabkan statusnya yang terhad, ia juga menyebabkan Peguam Negara mengisytiharkan bahawa laporan Jawatankuasa itu tidak menunjukkan asas yang kukuh untuk memulakan pendakwaan.

Penyiasatan polis ke atas hasil laporan Jawatankuasa itu kemudiannya dimulakan pada penghujung tahun 1984.

Bukankah tindakan patut diambil dengan lebih pantas?

Banyak persoalan menyelubungi empat tahap autoriti yang berbeza. BMF, Bank Bumiputera Bank Negara dan Kerajaan Malaysia.

Jelas, BMF digerakkan oleh orang-orang yang terpalit sepenuhnya dalam skandal ini sehinggakan mereka tidak mampu lagi mengawal diri mereka sendiri.

Bank Bumiputera juga terpalit kerana peranan bertindih beberapa kakitangannya.

Laporan tahunan Bank Bumiputera untuk tahun 1982 gagal menunjukkan masalah yang bakal dihadapinya.

Tiada apa lagi boleh dibuat Bank Bumiputera di saat skandal itu terdedah kerana ia tela gagal untuk bertindak menghalang punca masalahnya.

Dua Pengerusi selepas itu mungkin tahu ataupun tidak tahu tentang operasi BMF. Jika mereka tahu maka mereka juga sepatutnya bertanggungjawab kepada polisinya. Jika mereka tidak tahu, mereka juga bersalah kerana cuai.

Nawawi sememangnya tidak bersetuju terhadap pemberian pinjaman oleh BMF sepanjang tempoh separuh penggal kedua 1982. Ini ditunjukkan melalui usahanya membentuk sebuah jawatankuasa pengawasan, tetapi malangnya dia masih membiarkan keputusan dibuat sewenang-wenangnya oleh pengurusan atasan BMF.

Khabarnya Bank Negara begitu terkejut.

Gabenornya adalah antara pegawai kerajaan yang mula-mula menzahirkan pengakuan bahawa pemberian pinjaman oleh BMF telah melampaui ‘batas-batas amalan berhati-hati institusi perbankan’.

Dua bulan sebelumnya beliau meminta BMF menjelaskan laporan-laporan akhbar bahawa Pengurus Besarnya (Ibrahim Jaafar) telah mendapat satu pinjaman yang dijamin oleh Carrian Group.

Bagaimanapun, menurut pegawai-pegawai Bank Negara, Kerajaan Malaysia yang merupakan ‘pemegang saham’ BMF telah memutuskan untuk tidak bertindak sehinggalah Jawatankuasa Siasatan menyiapkan laporannya.

Kerajaan sendiri pun tidak bertindak cepat.

Dalam bulan Oktober 1983, Perdana Menteri mula mengutuk pegawai-pegawai BMF yang telah dipalitkan dengan penerimaan bayaran konsultansi yang dianugerahkan oleh diri mereka sendiri.

Serentak dengan itu pegawai-pegawai tersebut meletakkan jawatan - Lorrain Esme Osman, Mohammed Shamsuddin and Rais Saniman.

Pengecualian diberi kepada Pengurus Besar Ibrahim Jaafar yang hanya diarahkan berpindah ke pejabat BMF di Hong Kong – sesuatu yang ironis.

Seorang lagi yang terpalit, Tan Sri Kamarul Ariffin telah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi pada Mac 1982.

Empat orang yang disebutkan terdahulu disebutkan dalam laporan siasatan setahun kemudian sebagai mereka yang telah menerima bayaran rasuah dari Carrian.

Tetapi Kerajaan tidak ambil apa-apa tindakan awam terhadap operasi BMF sebelum Jawatankuasa Siasatan memberikan laporannya.

Kelewatan itu mungkin disebabkan kerajaan tidak ambil pusing tentang kemusnahan yang terbit dari skandal itu.

Satu motif penting adalah keinginan untuk mengekalkan keyakinan; kerajaan tidak mahu Cariian ditutup; kerana ada kemungkinan ia mempunyai alasan untuk mengurangkan kerugiannya.

Kerajaan juga tidak mahu melihat Bank Bumiputera lemah kerana begitu banyak kepentingan dan harapan orang melayu padanya.

Penubuhan siasatan awam juga adalah atas pertimbangan ‘keyakinan’.

Daim tutup kes

Perkara ini dinyatakan dalam sebuah makalah kerajaan pada akhir 1984, memetik Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sebagai berkata, “episod malang skandal BMF kini tinggal sejarah….”

Tugas yang perlu dilaksanakan segera adalah memperkukuhkan Bank Bumiputera dan menjana keyakinan lebih tinggi di kalangan masyarakat awam dan pelabur asing terhadap bank itu.

Kemudiannya kerajaan mengambil beberapa langkah untuk memastikan kawalan lebih besar terhadap pemberian pinjaman dengan mengenakan satu had ke atas amaun yang boleh dipinjamkan kepada seseorang individu atau kumpulan. Dan mensyaratkan pemberian pinjaman melebihi amaun tertentu tertakluk kepada kelulusan Bank Negara.

Bagaimanapun ia tidak melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan seperti mensyaratkan akaun-akaun BMF atau Bank Bumiputera untuk diperiksa oleh Ketua Audit Negara (yang mempunyai cukup kakitangan) atau mendedahkan aktiviti-aktiviti badan-badan itu kepada penilaian sebuah badan hisbah (Ombudsman).

Amat sukar untuk menyatakan bayaran-bayaran rasuah yang benar-benar telah diterima oleh setiap dari 6 individu yang dinamakan dalam laporan siasatan itu.

Lorrain Esme Osman, dirujuk dalam Laporan itu dengan singkatan ‘LEO’, mendapat saham yang banyak; sekurang-kurangnya RM2.5 juta pada 1981 dan kira-kira US$12 juta pada 1982.

Lima orang yang lain nampaknya menerima amaun yang lebih kecil, sukar untuk dikira kerana sebahagiannya adalah dalam bentuk pinjaman, bayaran kepada saudara-mara, tiket penerbangan dan macam-macam lagi.

Sesetengah bayaran tidak dapat dijejak langsung, jadi manfaat rasuah kemungkinan lebih besar.

Perkembangan selepas itu boleh diringkaskan seperti berikut.

Encik Nawawi Mat Awin, pengganti Tan Sri Kamarul Ariffin sebagai Pengerusi Bank Bumiputra, telah diberhentikan pada Disember 1984 bersama-sama keseluruhan ahli Lembaga Pengarah, sebagai sebahagian langkah menyusun semula organisasi bank itu.

Tindakan sivil diambil terhadap 6 orang yang dinamakan oleh Jawatankuasa Siasatan dan segala harta mereka dibekukan melalui perintah mahkamah.

Kemudiannya Bank Bumiputera telah memfailkan writ terhadap bekas pengerusi dan bekas-bekas pengarah BMF untuk menuntut sejumlah wang yang didakwa diambil secara tidak sah.

Bagaimanapun, tiada dakwaan jenayah difailkan oleh kerajaan kerana Peguam Negara berpendapat bahawa Laporan Jawatankuasa Siasatan itu tidak memberi asas kepada pendakwaan jenayah dalam Malaysia.

Tiga perkara penting berlaku selepas itu.

Laporan Jawatankuasa Siasatan telah dikeluarkan sepenuhnya.

George Tan dan beberapa orang rakannya ditahan di Hong Kong pada Oktober 1983 dan kemudiannya dibicarakan atas beberapa tuduhan rasuah dan penipuan.

Lorrain Esme Osman and Hashim menjadi sasaran prosiding ekstradisi di Britain bermula 1985.

Laporan Siasatan itu telah diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen beberapa hari sebelum ianya dibahaskan.

Seorang pemimpin DAP, sebuah parti pembangkang utama, mengakui menghadapi kesukaran menelaah 6,000 muka surat laporan beserta lampiran-lampirannya.

Laporan tersebut menghasilkan bukti-bukti tambahan berkenaan hubungan rapat di antara BMF dan Carrian. Tentang bagaimana beberapa eksekutif mendapat manfaat dari pinjaman-pinjaman, adakalanya pendahuluan tanpa sebarang cagaran, kadangkala diperhiaskan dengan ‘window dressing’ untuk menutup tujuan sebenar. Juga tentang rungutan Bank Negara mengenai amaran-amaran awal simptom yang tidak dihiraukan dan juga tentang kekeliruan secara keseluruhannya.

Kekeliruan itu tidak dapat dirungkaikan.

Tidak jelas apakah sebenarnya yang hendak dijelaskan dalam laporan itu. Membacanya kadangkala membangkitkan kelucuan. Antaranya petikan kata-kata Kamil Ariffin, Pengerusi Bank Bumiputera yang menyatakan bahawa objektif penubuhan cawangan BMF di luar negara adalah untuk “buat duit”, dan juga untuk beralih kepada perbankan yang lebih canggih “sebab boleh buat banyak duit dalam urusniaga pertukaran asing dan pasaran wang.

Laporan itu tidak menyeluruh, hanya sekadar memberikan bukti-bukti tambahan amalan rasuah sesetengah pegawai dan tentang kawalan tidak efektif (adakalanya mungkin beserta rasuah) pegawai-pegawai selainnya.

Walaupun panjang lebar, laporan itu masih tidak menjawab banyak persoalan, dan Pengerusinya percaya perlu dilakukan penyiasatan selanjutnya.

Rumusannya juga menyorokkan penyelewengan oleh ahli-ahli politik.

Contoh-contoh kesalahan jenayah dan bukti-bukti sokongan telah dihantar ke Bank Bumiputera beserta cadangan agar ianya dipanjangkan ke Hong Kong dan Kuala Lumpur bagi mempermudahkan proses menentukan sama ada pendakwaan wajar dilakukan atau sebaliknya.

Secara khusus, Bank Bumiputera dicadangkan untuk membuka semula siasatan pembunuhan pegawai BMF semasa lawatannya ke Hong Kong.

Berdasarkan sebab-sebab yang disebutkan di awal tadi, sememangnya pegawai-pegawai Kuala Lumpur tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan.

Hong Kong dakwa Malaysia senyap

Di Hong Kong, George Tan dan lain-lain pegawai Cardan telah didakwa atas beberapa kesalahan. Sebahagiannya tertumpu ke atas masalah Cardian manakala selebihnya bersabit dengan skandal BMF.

Pada 7 Disember 1985, George Tan dan lain-lain tertuduh telah dibicarakan atas dakwaan terlibat dalam skandal BMF.

Perbicaraan itu direhatkan selama 3 minggu pada awal Ogos 1986 selepas pendengaran selama 103 hari.

Ketika perbicaraan bersambung, seorang eksekutif kanan Bank Bumiputera dijadualkan memberi keterangan.

Pada penghujung Mei 1986, Kerajaan Hong Kong memulakan prosiding untuk mengekstradisi Lorrain Esme Osman dan Hashim Shamsuddin di London.

Beberapa nama konspirator sampingan didedahkan termasuk Rais Saniman yang ketika itu berada di Paris.

Ibrahim Jaafar yang telah bersetuju untuk menjadi saksi utama pendakwa, mula memberikan keterangannya.

Pada 14 Januari 1987, Hashim Ibrahim telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat setengah tahun atas kesalahan yang berhubungkait dengan pemberian pinjaman BMF.

‘Fakta kes’ yang dipersetujui oleh Hashim dan pihak pendakwaan, mengesahkan penglibatan Lorrain Esme Osman sebagai memainkan peranan utama dalam skandal tersebut.

Ia juga mendedahkan hubungan politik Lorrain Esme Osman, dan turut disebutkan tekanan politik ke atasnya untuk memberikan sumbangan kepada Kelompok Sekular Umno dan juga untuk membantu dana menstabilkan harga bijih timah.

Pada waktu itu, kebanyakan informasi baru skandal itu datangnya dari Hong Kong. Di Malaysia, kerajaan menganggap perkara itu telah selesai dan sebarang perkembangan baru didiamkan.

Apa yang rakyat Malaysia tidak dapat terima adalah seorang pun penjenayah tidak dapat didakwa sedangkan Mahathir sendiri telah menyifatkan skandal pemberian pinjaman BMF sebagai jenayah paling keji.

Ramai yang mengatakan kelewatan menangani isu tersebut sebagai satu cubaan untuk ‘cover up’.

Sepertimana skandal Watergate, setiap pendedahan pastinya akan membawa kepada tertedahnya lebih banyak skandal lain.

Secara keseluruhan reaksi orang melayu agak defensif, mungkin terbit dari perasaan malu.

Bank Bumiputera bukanlah sekadar sebuah bank, ia dimiliki oleh kerajaan, terbesar di dalam negara ini, dan, di bawah Dasar Ekonomi Baru ia dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan ekonomi orang-orang melayu dengan membuat pelaburan-pelaburan yang mempunyai nilai simbolik.

Akibatnya, orang-orang melayu merasakan bahawa kritikan dari dalam dan luar Malaysia kepada BMF sebagai ancaman kepada orang melayu dan kedudukan ekonomi mereka.

Secara khusus, orang melayu tidak ambil kisah tentang keuntungan atau kerugian Bank Bumiputera di luar negara. Tetapi mereka amat prihatin terhadap kemampuannya untuk bertindak sebagai sumber utama membantu orang melayu melalui peruntukan kredit untuk perniagaan domestik.

Laporan dari Hong Kong menunjukkan keraguan tentang kemampuannya untuk terus memberikan bantuan sedemikian pada skala yang sama.

Pemegang saham terbesar dalam bank itu adalah Permodalan Nasional Berhad, sebuah konglomerat gergasi. Objektif PNB adalah menyalurkan simpanan orang-orang melayu bagi meningkatkan pemilikan aset mereka dalam sektor ekonomi.

Menurut seorang kakitangan kerajaan, Lorrain Esme Osman bukan melayu asli kerana dia telah mendapat pendidikan sepenuhnya di luar negara. Oleh itu tidak ada terbit kesetiaan kepada bangsa melayu dalam dirinya.

“Dia seorang pengkhianat dan patut dihantar ke depan skuad penembak tanpa perlu disiasat lebih lanjut.”

Walaubagaimanapun disebabkan oleh perasaan malu, ramai yang tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Justeru mereka menolak desakan untuk melanjutkan siasatan.

Tun Hussein dan Anwar desak siasat

Beberapa tokoh penting melayu termasuk bekas PM, Tun Hussein Onn dan Menteri Pertanian merangkap Ketua Pemuda Kelompok Sekular Umno, Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan menutup skandal ini. Mereka lantang menyeru agar siasatan lanjut diadakan.

Kesangsian besar belakunya ‘cover-up’ adalah kerana beberapa nama besar juga terpalit. Nama-nama ini dipercayai aka terdedah kepada umum seandainya terma siasatan dipanjangkan meliputi Bank Bumiputera.

Satu nama besar yang selalu disebutkan adalah Tengku Razaleigh. Dia adalah Pengerusi Bank Bumiputera pada 1971 (kemudiannya memegang beberapa jawatan penting berkaitan kewangan) sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1976.

Lorrain Esme Osman diketahui amat akrab dengan Ku Li dan dipercayai mempunyai pengaruh ke atasnya.

Hashim pula adalah rakan zaman belajar Ku Li di Belfast University. Dia menyertai Bank Bumiputera semasa Ku Li menjadi pengerusinya.

Ada juga khabar angin yang mengatakan ketika Gabenor Bank Negara mencadangkan tindakan pantas bagi menyelamatkan BMF, ianya tidak dipersetujui oleh Ku Li. Maka timbullah percanggahan pendapat tentang tahap kawalselia yang dimiliki oleh Menteri Kewangan ke atas bank itu.

Bagi satu jangkamasa singkat, khabar angin ini diperkukuhkan lagi oleh pengakuan Mak Foo Than bahawa dia pernah bekerja di bawah Ku Li dan tugasnya adalah untuk mengutip sumbangan duit dari para saudagar. Dia mengaku demikian setelah ditangkap di Hong Kong sebagai suspek kes bunuh pegawai Bank Bumiputera, Jalil Ibrahim.

Ini berlaku hanya 3 minggu sebelum pemilihan Kelompok Sekular Umno. Dalam pemilihan itu Ku Li mencabar penyandang jawatan Timbalan Presiden Musa Hitam.

Beberapa hari kemudian Mak Foo Than menarik balik dakwaan tersebut.

Ku Li tewas dalam pertembungan itu dan ia barangkali dikaitkan sebagai kemusnahan yang dibawa oleh pengakuan itu walaupun ianya telah ditarik balik.

Bukti-bukti ‘circumstantial’ penglibatan Ku Li tidaklah sekukuh yang disangkakan.

Setahun dua sebelum itu, hanya sebilangan kecil orang melayu bergiat cergas dalam aktiviti kewangan pada peringkat tinggi.

Ku Li telah memainkan peranan unggul dalam operasi kewangan kerajaan sehinggakan dia terpaksa berhubung rapat dengan dengan ramai orang melayu yang menjawat jawatan tertinggi dalam bidang kewangan negara.

Pemimpin-pemimpin kerajaan terutamanya Mahathir, Musa Hitam dan Ku Li dengan segera menafikan penglibatan mereka dalam skandal itu.

Antara lain mereka menafikan bahawa ada kerajaan berniat untuk membeli Gammon House.

Khabar-khabar angin tentang kemungkinan penglibatan Kelompok Sekular Umno dalam skandal itu tersebar di mana ia dilihat sama seperti yang berlaku dalam skandal Bank Rakyat sedekad sebelumnya.

Teori lain menyatakan Kelompok Sekular Umno sebagai parti yang memerintah telah di luar sedar terperangkap dalam skandal itu.

Terang-terangan Kamarul dan Nawawi bergerak aktif dalam Kelompok Sekular Umno dan Lorrain sememangnya rapat denga beberapa orang pemimpin tertinggi parti itu.

Sekali lagi ditegaskan di sini, oleh kerana peningkatan jumlah melayu yang memegang tampuk politik dan kewangan serentak, khabar-khabar angin ini tidak dapat dijadikan asas kukuh untuk membuat tuduhan.

Terdapat juga tuduhan-tuduhan bahawa ahli-ahli politik Kelompok Sekular Umno dan sekutu mereka mendapat manfaat dari pinjaman-pinjaman domestik Bank Bumiputera, dikeluarkan tanpa sandaran yang mencukupi. Jumlahnya dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Apakah kesan langsung skandal itu kepada ekonomi dan politik negara?

Dari segi angka, jumlah itu amat dahsyat, kerugian RM2.5 billion adalah bersamaan dengan 3% dari pendapatan keseluruhan negara.

Penggunaan dana Petronas –melalui pengambilalihan- sebagai satu mekanisme ‘menyerap’ kerugian dahsyat itu juga dipertikaikan.

Tindakan sedemikian tidak dapat menutup hakikat bahawa kerugian dahsyat itu adalah kerana penyelewengan dari objektif asal penyaluran dana. Sepatutnya Kerajaan Malaysia mempunyai keutamaan tinggi lain untuk wang tersebut bukannya menyalurkannya kepada Carrian, syarikat-syarikat hartanah Hong Kong, spekulator dan para penerima rasuah.

Kerugian sedahsyat itu tidak mampu ditanggung oleh Ekonomi Malaysia, yang ketika itu masih menderitai luka-luka kemelesetan berpunca dari kegagalan matlamat-matlamat pelaburan, defisit belanjawan yang meninggi dan sejak 1979 imbangan dagangan juga mengalami defisit.

Yang lebih penting untuk jangkapanjang adalah kesan skandal ini ke atas tahap keyakinan pelabur kepada Malaysia terutamanya kemampuan orang-orang melayu dalam sektor perbankan dan perniagaan selepas beberapa pencapaian semenjak sedekad DEB.

Penyelewengan di Hong Kong digandingkan pula dengan reputasi buruk Bank Bumiputera diperingkat domestik akibat pemberian pinjaman tanpa sekuriti mencukupi, telah menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli-ahli perniagaan Malaysia.

Mereka gusar andainya bank tersebut akan meminggirkan usahawan-usahawan melayu yang benar-benar layak dalam usaha untuk mendapatkan semula dana pinjamannya atau ia akan memperketatkan polisi untuk pemberian pinjaman selanjutnya.

Pada perkiraan politik, satu ancaman utama dilihat datang dari seteru utama Kelompok Sekular Umno iaitu PAS. PAS mungkin menggunakan isu itu dan mengaitkan skandal BMF dengan isu rasuah yang berleluasa dan juga padah yang ditanggung akibat mengabaikan nilai-nilai Islam.

Tiada kesan kepada pengundi

Ramai percaya kerajaan akan memanggil Pilihanraya Umum yang awal disebabkan takut banyak lagi pendedahan yang menggemparkan akan menyusul.

Bagaimanapun, dalam Pilihanraya Kecil Padang Terap di Kedah pada Januari 1985, PAS hanya mampu mengurangkan sedikit sahaja majoriti calon Kelompok Sekular Umno berbanding pada Pilihanraya Umum 1982. Tiada indikasi bahawa PAS memberikan tumpuan kepada isu tersebut sepenuhnya.

Kelompok Sekular Umno mungkin terselamat kerana berjaya memperdaya pengundi apabila membiarkan skandal itu dikutuk habis-habisan oleh sesetengah pemimpin utamanya seperti Tun Hussein Onn dan Anwar Ibrahim. Keadaan ini telah menurunkan suhu serangan parti-parti pembangkang.

Skandal BMF juga menjadi bahan kempen semasa Pilihanraya Umum Ogos 1986. Namun kesannya kepada pengundi-pengundi melayu dilihat amat kecil. Penurunan sokongan pengundi-pengundi bukan melayu untuk BN pula dikatakan berpunca dari sebab-sebab lain.

Apakah skandal-skandal kewangan lain yang boleh dijadikan perbandingan dengan rompakan ke atas wang BMF ini?

Satu misalan terdekat barangkali adalah skandal Pertamina, syarikat minyak nasional Indonesia. Pertamina jahanam pada 1975, kerugian perniagaan terbesar pernah berlaku pada zaman selepas perang dunia.

Tidak seperti BMF yang menumpukan kepada skop pelaburan yang sempit, Pertamina telah berkembang dari perniagaan minyak, bukan hanya kepada aktiviti berkaitan minyak seperti pembangunan hidrokarbon dan produksi petro-chemical yang mudah untuk diintegrasikan dengan perniagaan terasnya.

Malah ia terjun ke industri hotel, insurans, pertanian ekperimental dan juga pembinaan masjid.

Saiz operasinya berpadanan dengan saiz kerugian yang ditanggungnya.

Hutang Pertamina melampaui US$10.5 billion, bersamaan 40% dari pendapatan nasional (jumlah melampau tingginya berbanding kerugian BMF). Bertindak untuk mengelakkan bencana kepada ekonominya, hutang-hutang tersebut tepaksa dijadual semula dengan bantuan sebuah konsortium antarabangsa.

Selain dari skala kemusnahan yang berbeza, terdapat beberapa lagi perbezaan dengan Skandal BMF.

Pertamina diuruskan oleh Angkatan Tentera, dikepalai oleh Jeneral Ibnu Sutowo. Asas operasinya tidak bersifat komersil tetapi bergerak sebagai sebuah perbadanan yang menyediakan keperluan kelompok elit dalam bentuk bantuan ekonomi dan politik.

Sistem Pertamina tidak berdaya maju dari pandangan ekonomi kerana ianya dikecualikan dari kawalan kewangan lazim negara dan mendapat perlindungan dari Jeneral Suharto dan lain-lain pemimpin tertinggi. Sebab utama operasinya hancur adalah spekulasi tangki minyak.

Dalam pada itu, sejenis keusahawanan bentuk ‘gila’ boleh dikesan dimana produk tampak dibeli dari luar negara. Media kemudiannya menggembar-gemburkannya sebagai kejayaan para pencipta dan pembina Indonesia. Elemen bodoh ini tidak wujud dalam Skandal BMF.

Kesimpulannya, kawalan tentera yang tidak sempurna ke atas aktiviti ekonomi di peringkat wilayah dilihat sesuatu yang biasa dan diketahui umum di Indonesia di sepanjang tempoh selepas kemerdekaan. Rasuah dianggap cara hidup dan tidak pernah ada cubaan untuk mengawalnya.

Tetapi di Malaysia, Skandal BMF hanyalah satu dari contoh skandal rasuah berskala besar yang selalunya tidak dihebahkan. Justeru, apabila terbongkar tentunya ia kelihatan menarik untuk mengundang pelbagai komen dan kutukan.

Satu lagi skandal yang boleh dibuat perbandingan, di mana ianya disebut semasa pendedahan Skandal BMF ialah sabitan kes pemalsuan dan jenayah pecah amanah ke atas Datuk Harun Idris, Pengerusi Bank Rakyat beserta 2 pegawai lain bank itu dalam tahun 1976 dan 1977.

Datuk Harun, seorang pemimpin Kelompok Sekular Umno terkemuka dan Menteri Besar Selangor, berhadapan masalah kewangan ketika mempromosikan perlawanan tinju Muhammad Ali – Joe Bugner di Kuala Lumpur pada 1975.

Ikut perancangannya, hasil dari kutipan tiket akan mendatangkan keuntungan kepada bank itu, dan sebahagiannya akan digunakan untuk membina sebuah kompleks sukan untuk Pemuda Kelompok Sekular Umno.

Tetapi ia berakhir dengan kerugian dan Datuk harun telahpun terambil duit bank itu.

Pihak pendakwaan memperakui Datuk Harun tidak mendapat manfaat kewangan dari tindakannya itu sekalipun penganjuran perlawanan itu diyakini dapat meningkatkan prestij politiknya dalam cubaan mendapatkan jawatan yang lebih tinggi dalam Kelompok Sekular Umno.

Perbandingan ini nampaknya masih tidak beberapa padan.

Kerugian dalam Skandal Bank Rakyat hanyalah kira-kira RM7.5 juta (US$3 juta ikut kadar tukaran pada masa itu) tetapi perlu diingat Datuk Harun dipenjarakan selama 3 tahun selepas didapati bersalah.

Bandingkan pula dengan Skandal BMF, kerugian yang berganda-ganda lebih besar tetapi tidak seorangpun rakyat Malaysia yang terlibat disabitkan kesalahan apatah lagi dipenjarakan.

Tindakan yang diambil dalam bentuk mekanisme kewangan juga lebih keras berbanding Skandal BMF.

Jumlah kerugian Bank Rakyat amatlah kecil kalau dilihat dari sudut ketidakcekapan endemic dan amalan rasuah dalam perjalanan operasinya.

Ada dakwaan spesifik kaitan politik dalam Skandal Bank Rakyat.

Harun mendakwa kegiatannya dilakukan atas arahan bekas PM Tun Razak, tetapi dia tidak dapat membuktikannya.

Dikatakan juga bahawa Tun Razak telah menawarkan jawatan di PBB untuk menyingkirkannya dari pertandingan jawatan tertinggi dalam kepimpinan Kelompok Sekular Umno. Dengan itu, dakwaan rasuah ke atasnya akan digugurkan.

Pertaruhan politiknya memang tinggi, tetapi skandal bank rakyat tidak sepadan dibandingkan dengan Skandal BMF berdasarkan kesan ekonomi atau berdasarkan objektif untuk mempertingkatkan kapasiti peniaga-peniaga melayu.

Bagi pengkritik seperti Tun Hussei Onn dan Anwar Ibrahim, apa yang menyedihkan mereka adalah juak-juak Umno tidak tahu malu atau ada maruah diri untuk menjauhi amalan rasuah setelah mereka mengakui bahawa pendedahan Skandal BMF memang memalukan orang melayu.

Perangai buruk ini mungkin dapat diterangkan sebahagiannya dengan hubungkait antara amalan rasuah dengan sikap materialisme.

Matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk melahirkan peniaga-peniaga melayu tidak akan dapat dicapai hanya melalui penetapan objektif tetapi juga melalui percubaan untuk mengubah sikap.

Di bawah Tun Razak pada awal tahun 1970-an, ‘revolusi mental’ telah diwar-warkan manakala di bawah Mahathir slogan ‘pandang ke timur’ diperkenalkan untuk menggalakkan pembentukan sikap yneg membawa kejayaan perniagaan sebagaimana diamalkan di Jepun dan Korea Selatan.

Pentadbiran Mahathir sanggup menerima ketidak saksamaan ekonomi hingga tahap tertentu asalkan polisi DEB terus relevan dan sesetengah orang melayu berjaya dala perniagaan.

Namun terdapat beberapa kesan tidak diduga selain dari ketidak saksamaan itu.

Percambahan perhubungan politik dan perniagaan yang membuka lorong untuk perlakuan rasuah.

Ini ditunjukkan dengan jelas dalam tahun 1984, apabila seorang melayu yang telah berjaya dalam bidang perniagaan dilantik sebagai Menteri Kewangan. Dia ialah Daim Zainuddin. Sebelum dari itu, keadaan adalah terbalik. Seorang yang tidak berniaga dilantik sebagai menteri dan melepaskan jawatan dalam keadaan mempunyai perniagaan yang sangat berjaya.

Juga dilaporkan, dalam pemilihan Kelompok Sekular Umno 1984, buat kali pertama jumlah wang yang dibelanjakan (yang tertinggi dalam sejarah) datangnya dari sumber melayu dan bukan dari sumber cina sebelum ini.

Dalam konteks ini barangkali melayu sudah mengambil pengajaran dari Skandal BMF. Mereka merasakan perlu menceburkan diri dalam perniagaan tetapi dalam masa yang sama masih belum dapat memahami implikasi etikanya.

Pandangan ini boleh diilustrasikan dengan merujuk kepada pelbagai manfaat yang diterima oleh pegawai atasan BMF.

Di samping gaji lumayan dan kemudahan-kemudahan yang diterima, mereka melangkaui garis etika apabila menganugerahkan ‘bayaran konsultansi’ kepada diri mereka sendiri.

Menerima rasuah melambangkan hanya satu langkah ke hadapan.

Pengurusan Bank Bumiputera dan BMF mengenepikan etika.

Jika berjaya selepas berspekulasi di pasaran hartanah di Hong Kong barulah ada justifikasi untuk menyifatkannya sebagai satu cara Bank Bumiputera mendapatkan lebih banyak dana untuk masyarakat bumiputera.

Tetapi pendekatan agresif mereka dalam menjana untung dan pertumbuhan, mereka yang berkenaan telah mengabaikan prinsip berhati-hati juga kekangan moral.

Seorang pemerhati ketika mengulas tentang perbankan di Asia Timur dan lain-lain negara, beliau percaya hubungkait antara liberalisasi kewangan yang terlampau (termasuk menghapuskan peraturan-peraturan lazim) dengan pembiayaan yang tidak bertanggungjawab.

Diagnosis ini kelihatan kena dengan gaya Lorrain Esme Osman. Dikatakan bahawa kejayaannya dalam pernigaan sebelum itu bukan sahaja disebabkan kerapatannya dengan pemimpin-pemimpin politik, tetapi juga oleh liberalismenya dalam perniagaan.

Dikatakan dia adalah seorang yang memegang teguh prinsip perdagangan bebas dalam apa jua keadaan.

Kebodohan pengurusan BMF dan Bank Bumiputera jelas dapat dilihat berdasarkan tempat yang mereka pilih untuk membuat duit secara mudah.

Gagasan asal DEB adalah untuk menyediakan sokongan asas kepada orang melayu yang lemah ekonominya bagi bersaing dengan orang cina dalam bidang perniagaan.

Tetapi di Hong Kong, BMF tidak menikmati perlindungan sedemikian. Mereka beroperasi di luar kawasan DEB dan tertakluk kepada peraturan-peraturan yang tidak dicipta khusus untuk mereka.

Ada yang berjenaka menyatakan Skandal BMF barangkali menunjukkan satu pencapaian DEB di mana orang melayu tidak segan silu untuk melakukan penyelewengan dalam bidang kewangan.

Tetapi ada yang mempertikaikannya kerana jika mereka benar-benar cekap pastinya mereka pasti dapat mengawal keadaan dengan cara menerima rasuah dari syarikat yang tidak berpotensi untuk bankrap.

Tidak mustahil andainya BMF tidak jatuh terduduk, amalan rasuah mereka ini tidak akan dapat dikesan, dan mereka akan berterusan makan hasil haram itu tanpa sebarang gangguan.

Namun mereka bukanlah jujur malah tidak cekap pun.

Kesimpulannya, rasuah dalam Skandal BMF adalah sejenis rasuah yang ‘meruntuhkan’ berdasarkan kesannya yang mengubah objektif dasar kerajaan dari mencari keuntungan kepada melambakkan kerugian.

Skandal ini juga tidak menyumbang kepada asas pembentukan modal, pengurangan karenah birokrasi dan menghalang pembentukan usahawan bumiputera.

Juga tidak menyumbang langsung kepada intergrasi nasional kerana pihak yang berurusniaga dengan BMF di Hong Kong bukanlah rakyat Malaysia.

Tindakan BMF menunjukkan ketidakmampuannya untuk mengurus dan memantau perkembangan organisasinya sendiri, justeru tidak menyumbang kepada kapasiti kerajaan.

Dari segi kos, hasilnya negatif, amalan rasuah menghukum pembayar cukai, menyebabkan aliran keluar modal dan merosakkan pelaburan dengan teruk dan membazirkan kemahiran.

Ia tidak melibatkan dua senario lebih ekstrem, sama ada revolusi sosial ataupun rampasan kuasa tentera, tetapi ia memusnahkan kestabilan dan menghakis kedaulatan.

Dalam kes Pertamina, kuasa dan hak ekonomi kerajaan telah dihalalkan untuk memenuhi nafsu individu para pegawai. Pegawai-pegawai ini pula tidak membezakan antara kepentingan peribadi mereka dengan jawatan yang mereka pegang.

Bagi Skandal BMF pula, mereka menjadikan hakmilik awam sebagai hakmilik persendirian.

Pegawai-pegawai atasan BMF terlalu menzahirkan kemampuan mereka dalam berurusniaga dalam dunia moden tetapi mereka tidak memahami kewajipan dan tanggungjawab yang datang bersama konsep itu.

Penerimaan mereka terhadap ‘revolusi mental’ dimusnahkan oleh interpretasi berpilih yang digunapakai agar kepentingan peribadi mereka dapat dipuaskan.

Artikel ini diterjemahkan secara bebas oleh Anak Bulan. Artikel asal ditulis oleh R.S Milne dengan tajuk asal ‘Levels Of Corruption In Malaysia : A Comment On The Case Of Bumiputra Malaysia Finance’ dan boleh dibaca di Asian Journal Of Public Administration.

1 comment:

Unknown said...

baru Pinjaman Tawaran!
Ia adalah satu peluang baru lagi, adakah anda dari segi kewangan ke bawah? adalah perniagaan anda menangis untuk kebangkitan semula kewangan, telah anda mendapatkan pinjaman di bank dan tangan pemberi pinjaman yang salah dan anda di mana menolak? mencari tiada lagi, Kami adalah pemberi pinjaman yang boleh dipercayai dan kami memulakan program pinjaman ini untuk membasmi kemiskinan dan mewujudkan peluang untuk keistimewaan yang kurang untuk membolehkan mereka menubuhkan sendiri dan memulihkan perniagaan mereka. untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi kami melalui e-mel: gloryloanfirm@gmail.com dan mengisi borang di bawah.

PEMINJAM'S DATA.
1) Nama Penuh: ......... 2) Negara: ...... 3) Alamat: ......... 4) Jenis Kelamin: ..................
5) Status Perkahwinan: ... ..... 6) Pekerjaan: .......... Number 7) Telefon: ........................... 8) Pada masa ini kedudukan di tempat kerja: .... ............ 9) Monthlyincome ...... ...................
10) Pinjaman Tempoh: ............... 11) Tujuan Pinjaman: ............... 12) Agama: ............
13) Tarikh lahir: ........................

sila memohon syarikat yang sah, kejayaan anda adalah matlamat kami.