tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Friday, May 3, 2013

DAP bakal kuasai Malaysia?

Pada saat-saat akhir ini, MCA (BN) dilihat semakin terdesak dengan kempen anti PAS dan DAP dalam media-media arus perdana. 1 undi untuk DAP diumpamakan sebagai 1 undi untuk PAS dan sokongan kepada perlaksanaan hukum hudud di Malaysia. Masyarakat Cina ditakut-takutkan dengan isu perlaksanaan hukum hudud jika Pakatan Rakyat memenangi PRU13.

Di pihak lain pula, UMNO dan Perkasa menakut-nakutkan orang Melayu dengan mengatakan bahawa 1 undi untuk PAS adalah 1 undi untuk DAP yang akan menghapuskan keistimewaan Bumiputera dan Islam di Malaysia. 2 fakta yang jelas bertentangan antara UMNO dan MCA. Orang Melayu ditakut-takutkan dengan isu kehilangan hak-hak keistimewaan Melayu kerana DAP bakal berkuasa manakala masyarakat Cina pula ditakut-takutkan dengan isu PAS dan perlaksanaan hukum hududnya. Malangnya rakyat yg cetek akal terus percaya membuta-tuli tanpa menyidik lanjut.

Mampukah DAP menguasai Parlimen?

Masih ramai orang Melayu Islam yang takut untuk memangkah DAP. Ini termasuklah penyokong-penyokong tegar PKR dan PAS sendiri. Mereka termakan hasutan media arus perdana bahawa andai Pakatan Rakyat berkuasa, DAP akan menjadi tuan di Malaysia. Bagaimana DAP hendak menguasai Parlimen Malaysia jika mereka hanya bertanding di 51 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara? Sekiranya DAP menang kesemua 51 kerusi sekali pun, mereka hanya memiliki 23% daripada jumlah semua kerusi Parlimen Malaysia dan mereka masih tidak mempunyai suara majoriti dan tidak akan berupaya untuk menguasai Parlimen Malaysia.

Di antara DAP, PAS dan PKR di dlm Pakatan Rakyat, PKR merupakan parti paling besar jumlah pencalonannya di kerusi Parlimen. PKR bertanding di 99 kerusi Parlimen, PAS 73 manakala DAP cuma 51 kerusi sahaja. Adakah benar DAP boleh menjadi kuasa dominan dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya mengawal Parlimen Malaysia? Gunakanlah akal yang Allah kurniakan untuk menilai sendiri bukti-bukti yang disajikan dan bukan terus percaya segala hasutan politik kotor pihak-pihak yang berkepentingan politik peribadi. Statistik ini diperoleh di laman web rasmi PRU 13 milik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (http://keputusan.spr.gov.my/#home).


Pesanan saya kepada para penyokong Pakatan Rakyat yang sudah berkira-kira untuk tidak memangkah DAP atas alasan Islam dan kepentingan Bumiputra, sedarlah bahawa kita telah diperdaya oleh media arus perdana melalui kenyataan pemimpin-pemimpin negara atas nama keterdesakan politik. Sedarkah anda kenyataan-kenyataan mereka ini jarang-jarang sekali disertakan dengan fakta dan statistik yang sah? Disebabkan mereka pemimpin nepgara dan ulasan mereka disiarkan di media arus perdana, maka kita terus percaya bahawa ianya sahih tanpa usul periksa.

Andainya anda memilih untuk tidak memangkah mana-mana calon bukan Islam pada kerusi-kerusi pertembungan antara DAP dan MCA atas alasan agama Islam dan kepentingan Bumiputra, maka anda sebenarnya telah secara automatik menyatakan persetujuan anda untuk memilih DS Najib terus menjadi Perdana Menteri Malaysia. Akibatnya nanti, kita akan terus kekal seperti hari ini dan jangan pula nanti anda terpekik-terlolong selepas PRU13 mengutuk kerajaan BN atas kesempitan hidup kita sehari-hari.

Inilah sahaja masanya untuk kita membina Malaysia yang baru. Fikirkan kesengsaraan yang sedang kita alami hari ini. Bagaimana duit rakyat dibazirkan sewenang-wenangnya. Rakyat dipaksa membayar cukai tetapi wang tersebut dibazirkan untuk perbelanjaan yang tidak diperlukan. Antara contohnya adalah pembelian kapal selam melalui syarikat kroni yg tiada kepakaran kapal selam dan diberikan pula komisen sebanyak RM 500 juta.

Sudah 30 tahun rakyat menanggung beban harga kereta yg mahal hanya kerana ingin memastikan Proton terus bernyawa. Berbaloikah pengorbanan rakyat selama 30 tahun jika Proton masih ditakuk lama. Hyundai dan Kia Motor yang pernah hampir muflis tetapi kini bangkit menjadi antara gergasi automotif dunia. Berapa banyak lagi wang rakyat perlu dibazirkan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat Nasional yang tidak berdaya saing?. Lebih berfaedah jika peruntukkan ini disalurkan untuk meningkatkan taraf hidup dan kebajikan rakyat.

Kerajaan Negeri

Bagi pembentukan kerajaan negeri pula, DAP hanya bertanding di 103 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Malaysia berbanding PAS sebanyak 236 kerusi dan PKR 172 kerusi. PAS merupakan parti yg paling banyak bertanding kerusi DUN di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat. DAP pula merupakan parti yg bertanding paling sedikit kerusi DUN dan DAP juga parti yg bertanding paling sedikit kerusi Parlimen di kalangan 3 parti utama dalam Pakatan Rakyat.

Adakah waras untuk mempercayai dakwaan UMNO dan Perkasa yang DAP akan menjadi kuasa dominan dalam kerajaan baru andai Pakatan Rakyat memenangi PRU13? Statistik jelas menunjukkan bahawa dakwaan tersebut adalah rekaan semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak mengundi Pakatan Rakyat.



DAP juga dijangka menang mudah di Pulau Pinang. Perak dan Negeri Sembilan adalah peluang sama rata bagi parti-parti di dalam Pakatan Rakyat kerana masing-masing menurunkan jumlah pencalonan yang hampir sama di kedua-dua negeri. DAP menjadi pilihan di kalangan masyarakat Cina disebabkan MCA kelihatan lemah di mata mereka kerana menjadi pak turut di dalam BN serta tidak bersuara bagi pihak masyarakat Cina. Masyarakat Cina hari ini juga tidak lagi takut untuk secara terang-terangan menyokong PAS kerana mereka yakin dengan imej bersih, ikhlas dan jujur pemimpin-pemimpin PAS yang tidak terlibat dengan rasuah. Pastinya ianya satu pilihan yang lebih baik berbanding memilih semula kerajaan sedia ada.

Bukalah minda dan gunakan akal untuk membuat pertimbangan yang waras. Cukuplah 55 tahun kita diperbodoh-bodohkan oleh mereka dan jangan benarkan anak-anak kita terus menjadi mangsa akibat kesilapan kita. Andai rasuah terus berleluasa pastinya negara akan bankrap. Bankrap kerana penyalahgunaan wang rakyat dan rasuah. Namun percayalah bahawa negara ini tidak akan bankrap jika mandat diberikan kepada Pakatan Rakyat kerana kerajaan baru Pakatan Rakyat pasti berjaya menjimatkan perbelanjaan negara (seperti yang telah dibuktikan di Pulau Pinang dan Selangor - sila rujuk Laporan Ketua Audit Negara 2012) dan lebihan dana daripada penjimatan ini kemudiannya boleh disalurkan untuk program-program berkepentingan rakyat.

Syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya terus mengutip tol pada kadar yang tinggi dengan alasan ia telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi walaupun mereka telahpun pulang modal dan menikmati keuntungan jutaan ringgit setiap tahun. Tidak bolehkah kerajaan BN hari ini mengkaji semula perjanjian konsesi tersebut atas alasan kepentingan rakyat? Rakyat dibebankan tetapi syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya ini terus mengaut keuntungan jutaan Ringgit setiap tahun.

Hudud untuk Malaysia

PAS hanya bertanding di 79 daripada 222 kerusi Parlimen. Adalah sukar untuk PAS melaksanakan hudud diperingkat kerajaan persekutuan andai Pakatan Rakyat memenangi PRU13. Mereka hanya boleh mengharapkan sokongan Ahli Parlimen Islam di dalam PKR untuk menyokong usul hudud di Parlimen. Pastinya Ahli Parlimen Islam UMNO tidak akan mengundi untuk menyokong perlaksanaan hukum hudud yang dibawa oleh musuh politik nombor 1 mereka. PAS pada mereka adalah parti ajaran sesat. DAP sudah tentu tidak akan menyokong perlaksanaan hukum hudud kerana ia bukan agenda Pakatan Rakyat dan ia juga tidak ada kaitan dengan DAP. PAS cuma mahu melaksanakan hukum hudud untuk umat Islam sama seperti perlaksanaan hukum syariah sedia ada hari ini oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang dilaksanakan ke atas umat Islam sahaja.

Bagi umat Islam, mereka tidak perlu takut dengan hukum hudud jika mereka tidak melanggar batas-batas ajaran Islam. Asas hukum hudud adalah agama Islam. Selagi umat Islam taat kepada suruhan dan larangan agama Islam mereka tidak akan terancam dengan perlaksanaan hukum hudud. Jika ada dikalangan umat Islam yang rasa terancam dengan hukum hudud maka tanyalah diri sendiri sama ada kita ini telah benar-benar mengamalkan hidup sebagai umat Islam yang sebenar-benarnya.

Hudud mungkin boleh dilaksanakan cuma diperingkat kerajaan negeri dan bukan untuk seluruh Malaysia. Kerajaan negeri Kelantan telah lama bersedia utk melaksanakan hukum hudud dan tanpa halangan kerajaan persekutuan, hukum hudud boleh dilaksanakan di Kelantan. Kelantan boleh dijadikan negeri model perlaksanaan hukum hudud. Seluruh dunia akan memerhatikan andai hudud berjaya dilaksanakan di Kelantan. Kejayaan atau kegagalan hudud di Kelantan akan menjadi tali pengukur dalam menentukan masa depan PAS dalam PRU14 pada tahun 2018 nanti.

Tepuk dada tanya selera. Jangan benarkan diri kita diperdaya oleh mereka yang berkepentingan politik peribadi. Renungkan semula perjuangan kita untuk menyelamatkan Malaysia sejak 2008. Penat lelah berjuang di jalanan tanpa sebarang paksaan tidak harus dilupakan begitu sahaja. Marilah kita hapuskan rasuah untuk selama-lamanya. Jika kita tidak memulakan perubahan pada kali ini mungkin tidak ada lagi peluang sebegini. Mungkinkah ada lagi peluang di LAIN KALI atau kita pastikan ianya berlaku kali ini! INIKALILAH!

p/s : tulisan ini ditujukan khas untuk teman-teman Melayu Islam yang masih was-was untuk menyokong dan mengundi calon-calon DAP dalam memastikan kejayaan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya. PKR dan PAS tidak mungkin boleh menakluki Putrajaya tanpa bekerjasama dengan DAP. Pakatan Rakyat perlukan satu sama lain untuk memastikan kejayaan PRU13.

No comments: