tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, June 30, 2009

Zaid Ibrahim : Jaga lah Petronas Baik Baik

source http://myzaidibrahim.wordpress.com/2009/06/30/jaga-lah-petronas-baik-baik/


Kebelakangan ini banyak yang memperkatakan tentang kuasa Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang disukainya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas. Kuasa itu juga membolehkan Perdana Menteri memecat sesiapa sahaja yang tidak disukainya. Arahan Perdana Menter mesti diikut. Begitulah kedudukan Petronas, seolah-olah ianya adalah milik peribadi Perdana Menteri.


Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan kuasa Perdana Menteri yang begitu luas seperti yang terkandung dalam Peraturan Tubuh Petronas (Articles of Association). Tengku Razaleigh juga seolah-olah menyokong kuasa yang luas itu diberi kepada Perdana Menteri. Beliau menggunakan alasan bahawa Petronas adalah untuk rakyat, jadi Perdana Menteri yang ditugaskan menjaga rakyat wajar memegang kuasa yang tidak terhad itu untuk kepentingan rakyat. Masalahnya, kepentingan pemimpin tidak samesti nya sama dengan kepentingan rakyat ; dan ada pemimpin yang berpendapat kepentingan pemimpin itu samalah dengan kepentingan rakyat. Dengan kuasa luas itu , ia membolehkan Najib Tun Razak untuk menggunakan kuasa penuhnya bagi melantik Omar Ong ke dalam Lembaga Pengarah Petronas, dan kalau perlu, memecat sesiapa sahaja yang dia tidak berkenan . Ia juga bererti arahan PM mesti di ikuti .


Petronas memang untuk rakyat dan Perdana Menteri ditugaskan dan diamanahkan untuk menjaga rakyat. Tapi kita tahu tak semua pemimpin bersifat amanah dan tidak semua mementingkan rakyat. Hari ini hampir separuh perbelanjaan kerajaan dibiayai oleh Petronas. Dengan lain perkataan kalau Petronas muflis atau disalahgunakan, maka muflislah Malaysia.


Kita orang Melayu dan juga rakyat Malaysia yang lain biasa benar dengan ungkapan peribahasa "harapkan pagar, pagar makan padi". Jadi amatlah perlu Perdana Menteri meminda undang-undang tubuh Petronas supaya lebih sesuai dengan keadaan sekarang. Pada masa tertubohnya Petronas memang wajar peranan dan kuasa PM samestinya luas untok menjayakan sesuatu yang baru, lagipun tak ramai anak tempatan yang boleh membuat keputusan besar dan penting. Hari ini keadaan telah banyak berubah. Ia lebih memerlukan pakar pakar yang luas kemahiran untok menjaga kepentingan bisnes yang global dan rumit itu. Biarlah pihak pengurusan melaksanakan tugas secara profesional tanpa selalu terikat dengan "arahan" Perdana Menteri, kerana kita sentiasa perlu waspada kalau pagar akan makan padi.


Kita tahu Petronas dilindungi oleh undang-undang. Parlimen pun tak dibenarkan tahu sepenuhnya apa yang dilakukan oleh Petronas. Dalam keadaan peraturan dan "governance" Petronas sekarang , tak ramai yang tahu apa yang berlaku atau pun berhak mengetahui hal-hal penting dalam Petronas. Hanya Perdana Menteri yang tahu segala-galanya.


Najib sendiri pernah merungut bahawa menteri-menteri pun tak tahu sangat apa yang berlaku dalam Petronas. Sekarang Najib dah jadi Perdana Menteri, bolehkah dan sanggupkah dia mengubah struktur dan peraturan pengurusan Petronas supaya rakyat akhirnya dapat mengetahui apa yang berlaku dan boleh membantu kerajaan dalam membuat cadangan-cadangan bernas? Biar ada ketelusan, biar ada imbangan kuasa di antara Perdana Menteri dan pihak pengurusan Petronas, itulah yang sebaiknya. Alangkah baik nya Petronas diwajibkan bersemuka dengan Ahli Parlimen sekali setahun supaya perkara perkara tertentu boleh diteranditerang dan diperjelaskan. Alangkah baik nya perlantikan Ketua Ekskutif Petronas itu dibuat atas cadangan PM tetapi mesti dipersetujui olih Parlimen. Biarlah Ahli-Ahli Parlimen juga mendapat maklumat penting dan terlibat dalam hal-hal dasar kerana Petronas adalah hak kita semua.


Tapi dalam keadaan hari ini, saya sekali lagi tidak yakin Perdana Menteri akan sanggup dan berani melakukan perubahan itu. Soal pengurusan yang lebih telus dan mengikut keperluan semasa tidak akan tercapai. Petronas dalam pemerintahan Najib akan kekal di bawah kuasa Perdana Menteri sepenuhnya.. Saya bimbang rakyat akan suatu hari nanti akan dikejutkan dengan skandal yang besar jika Petronas masih dikuasai oleh seorang pemimpin sahaja, walaupun orang itu adalah Perdana Menteri. Begitulah yang terjadi kepada syarikat minyak Indonesia Pertamina yang hampir muflis pada tahun 1970-an kerana rasuah orang atasan. Kerana tak ada kawalan dan tak ada checks and balances, tiada siapa selain kumpulan pemerintah kecil yang mengetahui apa yang berlaku. Kerana tidak ada kawalan dan oversight maka pagar makan padi!


Bank Dunia baru sahaja membuat keputusan dari kajian mereka bahawa Malaysia merosot sejak tahun 2003 dalam soal pencapaian good governance. Ini bererti pentadbiran yang tidak telus, penyelewengan dan unsur rasuah telah meningkat dalam negara kita. Malah Indonesia, sejak reformasi satu dekad yang lalu, sekarang menunjukkan perubahan positif.. Ekonomi dan pentadbiran Indonesia semakin baik dan meningkat. Boleh dan sanggupkah Najib membuat perubahan radikal dalam pengurusan dan pentadbiran Petronas supaya rakyat rasa lega dan puas hati bahawa penyamun besar tidak akan memporakperandakan khazanah rakyat ini?


Walaupun hati masih kurang yakin, harapan saya begitulah. Tapi harapan saya sahaja tak cukup jika rakyat tidak mendesak Perdana Menteri untuk membolehkan Petronas diurus dan ditadbir dengan telus dan terbuka.

No comments: