tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, November 15, 2011

Penggulungan Belanjawan 2012: MB Dedah Lagi Penyelewengan Pemimpin BN

–Kenyataan Akhbar–

Sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

Setelah empat tahun amalan reformasi, jelas memberi keuntungan yang nyata dan kita percaya ini adalah masa yang sesuai untuk memberi faedah yang dituai dari pentadbiran yang bersih dan telus kepada rakyat Selangor.

Saya kesal pembangkang gagal memahami pembaharuan yang dibawa, malah sanggup pula bersikap sinikal seolah-olah mereka bukan menjadi punca kepada masalah yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri sekarang.

Sebagai contoh, saya mengingatkan Ketua Pembangkang tentang transaksi jualan tanah di Science Park 2 di mana tanah kerajaan negeri telah diberikan kepada PKPS dan dijual dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd yang mana Ketua Pembangkang; Datuk Satim Diman adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang,  tanah itu dijual kepada PKNS berlipat kali ganda. Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera.

Perkara sama juga berlaku terhadap tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana yang mana mantan Menteri Besar dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat mendapat beberapa lot tanah.

Tanah ini telah menjual kepada Barisan Elit untuk taman penindustrian walaupun tanah itu masih berstatus pertanian.  Meskipun Barisan Elit tidak boleh memulakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan  rakyat Selangor kerugian puluhan juta hasil bayaran premium.

Kerajaan Negeri hari ini akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit membayar RM29 juta untuk tukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

Contoh ketiga, ladang seluas 12,000 ekar di Sabah yang dikatakan dijual oleh PKPS pada 2006. Ladang ini djual RM8,000 seekar kepada syarikat Bumiputera. Namun seperti kes Science Park 2, ladang ini dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang ada kaitan dengan parti komponen BN.

Tiga contoh ini menunjukkan UMNO-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor.

Malah, PKNS yang dikatakan sebagai lambang perjuangan Melayu telah menganugerahkan 80 projek berjumlah RM6 billion kepada syarikat-syarikat tetapi tidak membawa keuntungan setimpal kepada PKNS.

Perkara ini telah kita perbetulkan apabila PKNS tidak lagi dibenarkan JV atas dasar tuan tanah, tetapi hanya boleh mengadakan usaha sama secara GDV supaya anak syarikat ini benar-benar mendapat keuntungan.

Ini menunjukkan kita tidak perjuangkan DEB tetapi hak Melayu tetap dipertahankan.  Rakyat sebenarnya mahu melihat kita mentadbir secara betul, telus dan bertanggungjawab.

Berdasarkan Laporan Kewangan pada 31 Mac 2008, rezab Negeri Selangor yang ditinggalkan oleh mantan Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo hanyalah  sebanyak RM689.510 juta.

Justeru, tidak benar dakwaan ADUN Kuang, Abdul Shukur Idrus pada sesi perbahasan yang mendakwa rezab yang ditinggalkan oleh Dr Mohamad Khir berjumlah RM1.7 billion.

Menyentuh isu PKNS, pendapatan yang diterima oleh Pengurus Besar PKNS akan dinilai berdasarkan prestasi beliau dan PKNS itu sendiri. Sejak 2009 hingga 2011, pencapaian beliau dan PKNS boleh dikategorikan sebagai baik.

Di bawah kepimpinan semasa, keuntungan operasi ditingkatkan, berbanding dengan penjualan syer dan aset oleh kepimpinan terdahulu. Satu perjanjian kerjasama telah dibuat dengan Transparency International pada tahun lalu yang membolehkan beberapa jawatankuasa berkaitan Peningkatan Urustadbir Korporat dan Ketelusan dibentuk pada tahun ini.

Pada tahun 2009, simpanan yang dicapai melalui tender terbuka dan pengurusan yang cekap adalah pada kadar RM15.24 juta. Dengan menggunakan Pek Integriti, jumlah ini telah meningkat kepada RM115.15 juta pada tahun 2010. Dijangkakan jumlah ini akan meningkat kepada RM150 juta pada tahun ini.

Kerajaan Negeri Selangor berikrar untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih untuk memastikan kesilapan pentadbiran terdahulu tidak berulang dan rakyat mendapat manfaat hasil transformasi pentadbiran yang dijalankan ini.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR



source : http://anwaribrahimblog.com/2011/11/15/penggulungan-belanjawan-2012-mb-dedah-lagi-penyelewengan-pemimpin-bn/

No comments: