tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, November 14, 2011

Projek pembangunan Sabah: SPRM sedia siasat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan di Sabah.

NONEKetua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata menjadi tugas SPRM untuk menyiasat sebarang kesalahan rasuah tidak kira siapa 'tanpa gentar atau pilih kasih.'

"Menjadi dasar kami untuk menyiasat rasuah sekiranya ada aduan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara SPRM dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Wisma SESB, dekat Kota Kinabalu hari ini.

SPRM Sabah diwakili oleh Pengarahnya Jalili Jaafar manakala pengarah urusan SESB Datuk Baharin Din menandatangani bagi pihak SESB.

Abu Kassim diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik Ahli Parlimen Kota Kinabalu daripada DAP, Dr Hiew King Cheu yang menggesa SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan luar bandar di Sabah yang diberikan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Hiew dilaporkan mendakwa penyelewengan itu membabitkan 49 projek, yang merupakan sebahagian daripada 209 projek pembangunan luar bandar yang diberikan oleh kementerian berkenaan untuk dilaksanakan bagi tempoh 2011 dan 2012.

Jumlah kontrak paling rendah dikatakan sekitar RM7.7 juta dan jumlah tertinggi adalah RM41.7 juta.

Ditanya sama ada DAP Sabah membuat laporan rasmi kepada SPRM Sabah, Abu Kassim berkata setakat ini SPRM negeri hanya mendapat laporan menerusi media.

Beliau berkata bukanlah tugas yang mudah untuk memerangi rasuah, kerana "tahun lepas sahaja, daripada 944 kes dilaporkan di seluruh negara, 424 kes terbabit dalam menawar atau memberi rasuah.

"Bagi tahun ini sehingga kini, kami telahpun merekodkan 357 kes menawar atau memberi rasuah," katanya.

Mengenai pemeteraian MoU dengan SESB, beliau berkata MoU itu, yang bertujuan meningkatkan kerjasama penyiasatan antara kedua-dua pihak, adalah tepat pada masanya dan wajar.

Dalam hubungan ini, beliau menggesa pertubuhan lain, terutamanya GLC untuk mencontohi inisiatif SESB dalam menyingkirkan amalan rasuah.

Terdahulu, dalam ucapannya alu-aluannya, Baharin berkata kerjasama SPRM dalam membantu SESB mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi seperti kes penyelewengan minyak diesel di Lahad Datu baru-baru ini telah 'membuka mata' masyarakat mengenai impak positif usaha sama itu.

Beliau berkata sejak tahun lalu, lima kes serbuan dan tangkapan dipercayai cubaan penyelewengan minyak diesel dibuat bersama-sama dengan polis bantuan SESB, SPRM dan polis di beberapa lokasi berasingan di Sandakan, Lahad Datu serta Tawau.

- Bernama

No comments: