tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, July 21, 2009

Malaysikini.com : Esok dengar mohon tangguh serah bukti Anwar liwat

Permohonan pendakwaan bagi mendapatkan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan dokumen yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didengar esok.

Ia dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada 9 pagi, lapor Bernama.

SN Nair, salah seorang peguam yang mewakili Anwar, ketika dihubungi mengesahkan bahawa firmanya SN Nair & Partners menerima surat berhubung perkara itu daripada mahkamah menerusi faksimili, pagi ini.

Pada 2 petang semalam, pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani oleh Datuk Nordin Hassan, seorang daripada timbalan pendakwaraya bagi kes liwat berkenaan.

Turut difailkan ialah perakuan segera agar kes itu didengar secepat mungkin.

Pada 16 Julai, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen berkenaan dalam masa tujuh hari.

Tempoh tujuh hari itu berakhir pada Khamis.

Bagaimanapun, hakim itu menolak permohonan penasihat PKR itu untuk mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan selepas memutuskan bahawa sampel itu telah disita oleh ahli kimia dan pihak pembelaan boleh memeriksanya setelah dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 24 Julai untuk sebutan permohonan Anwar bagi mengetepikan tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya dan tarikh sebutan perbicaraan kes itu.

No comments: