tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Sunday, May 16, 2010

Tubuh Inkuiri Awam Siasat Bencana Sime Darby

charles-santiago Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sekali lagi mengulangi kesilapan masa lalu apabila menyerahkan projek empangan hidro elektrik Bakun, Sarawak kepada Kumpulan Sime Darby hingga menyebabkan konglomerat itu terpaksa menanggung kos lewat siap projek (cost over runs) melebihi RM1 bilion. 

"Kesilapan kerajaan ialah kerana menganugerahkan projek Bakun di mana Sime Darby tidak mempunyai kepakaran," kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago kepada Free Malaysia Today, hari ini.

Beliau merujuk kepada kesilapan masa silam di mana Sime Darby terpaksa menanggung kerugian kerana melibatkan diri dalam perbankan walaupun mereka tidak ada kemahiran dan kepakaran dalam sektor perbankan.

Pada awal tahun 1998, anak syarikat Sime Darby, Sime Bank Berhad (dulunya United Malayan Banking Corp Bhd) mencatat kerugian sebanyak RM1.57 bilion dengan peruntukan pinjaman tidak berbayar berjumlah RM1.8 bilion.

"Justeru itu, kerajaan digesa menubuhkan Inkuiri Awam (public inquiry) bagi menyiasat bencana yang menimpa Sime Darby ini dan kenapa Sime Darby menceburkan diri dalam bidang yang asing baginya," ujar beliau.

Melibatkan wang rakyat

Charles berkata "saya mahu kerajaan mengadakan Inkuiri Awam bagi menyiasat punca sebenar kerugian tersebut. Kerugian ini sesuatu yang serius kerana Sime Darby merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di mana pelaburannya melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai."

Beliau berkata, Sime Darby seharusnya menumpukan aktiviti pelaburannya dalam bidang yang mereka ada kepakaran seperti perladangan dan pembangunan hartanah.

"Saya pun hairan kenapa kerajaan menganugerahkan projek Bakun kepada Sime Darby (yang memiliki ekuiti 35%) sedangkan mereka tidak pernah membina empangan," katanya.

Selain dari bidang perladangan dan pembangunan hartanah, Sime Darby terlibat dalam aktiviti permotoran dan jentera berat serta tenaga dan utiliti melalui anak-anak syarikatnya.

Free Malaysia Today sebelum ini melaporkan bahagian tenaga dan utiliti Sime Darby menanggung lebih RM1.8 bilion kos lewat siap projek untuk kerja-kerja awam dan kejuruteraan di Qatar dan Empangan hidro elektrik Bakun.

Bahagian tenaga dan utiliti itu juga mencatatkan kerugian operasi RM110 juta dalam tempoh separuh kedua 2009 berbanding keuntungan sebanyak RM56.3 juta sebelumnya.

Untuk menampong kos yang semakin meningkat kerana kelewatan menyiapkan projek Bakun maka Sime Darby memohon ganti rugi sebanyak RM700 juta daripada kerajaan.

Sime Darby juga terpaksa membuat peruntukan sebanyak RM964 juta meliputi kerugian sebanyak RM200 juta dari projek petroleum Qatar, RM159 juta dari projek Maersk Oil Qatar, RM155 juta dari projek pembinaan kapal-kapal selain dari kerugian sebanyak RM450 juta kos lewat siap projek Bakun.

Ekoran dari bencana kewangan yang ditanggung ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid telah diminta meletakkan jawatan pada Khamis lalu.

Menurut Charles, "Ahmad Zubir tidak sepatutnya dipersalahkan semata-mata disebabkan kegagalan projek-projek itu, namun siasatan lanjut perlu kerana ia merupakan kerugian yang serius dan melibatkan pelaburan wang rakyat.

Projek Kroni Rakyat Jadi Miskin

Ahli Parlimen Klang itu mendakwa dasar-dasar ekonomi kerajaan Umno-BN yang memihak kepada kroni dan hubungan bisnes- politik yang intim membuat rakyat di negara ini menjadi miskin.

Beliau berkata, "ini kerana sejak zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perkara sedemikian sudah berlaku dan ‘penyakit’ tersebut masih menular sehingga kini.

"Inilah yang terjadi kepada Sime Darby kerana wujudnya bisnes politik dan projek kroni.  Sebab nak tolong kroni, rakyat dan negara jadi miskin," tegas beliau.

Kumpulan Sime Darby dijangka mencatat kerugian buat pertama kali sejak 20 tahun apabila mengumumkan keputusan (untung/rugi) suku tahun pertama pada 27 Mei ini.

No comments: