tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, May 13, 2008

Hospital Besar Pulau Pinang atau Hospital Veterinar Pulau Pinang?

Hati saya terusik tatkala membaca posting pembaca ini lamanweb malaysiakini.com. Sebagai warganegara Malaysia yang waras, berakal dan prihatin, wajib rasanya saya kongsikan kisah ini.

Pertama untuk semua rakyat berfikir.

Kedua, untuk menyedarkan pihak berwajib erti tanggung jawab kerana mereka sebagai agensi kerajaan masih tidak sedar-sedar bahawa tindakan mereka memberikan imej buruk kepada kerajaan. Sudah tergadai negeri masih tak sedar-sedar.


Deritanya hospital lembab, lintah darat
Amirrudin Hassan | May 13, 08 8:46pm
http://malaysiakini.com/letters/82806


Pada mulanya saya rasa mahu mendiamkan saja perkara ini tetapi apabila difikirkan kembali, saya rasa perkara seperti ini perlu diketengahkan di dada akhbar dan menuntut penjelasan daripada pihak-pihak yang bertangungjawab bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Ibu saya Latiffah Hashim, 65, mempunyai penyakit kencing manis yang tidak kronik, paras gulanya tidak pernah mencecah tahap bahaya dan sentiasa terkawal dengan ubat-ubatan yang diperolehi daripada klinik kerajaan.

Pada hari raya Aidilfitri yang pertama 2007, beliau tiba-tiba tergelincir di bilik air, lalu bahunya patah. Kami telah membawanya ke hospital besar Pulau Pinang (HBPP).

Di sana beliau telah dibedah dan dimasukkan klip untuk menyambung bahagian yang patah. Para pegawai perubatan dimaklumkan akan penyakit kencing manis yang dihidapi beliau, tetapi tetap meneruskan pembedahan.

Doktor berjanji akan membuka simen yang telah dibalut dalam tempoh dua minggu. Setelah tempoh itu berlalu, kami membawa ibu kami ke hospital untuk membuka balutan simennya, lebih-lebih lagi ibu merasa kesakitan yang amat pada bahagian yang dibedah.

Malangnya doktor menyatakan bahawa balutan tersebut tidak boleh dibuka dengan alasan klip penyambung belum betul-betul berfungsi. Kami minta penjelasan, kenapa ibu merasa sangat sakit di bahagian yang dibedah tetapi tidak diendahkan oleh pegawai-pegawai perubatan yang bertugas.

Mereka tetap enggan membuka balutan simen tersebut kerana tidak mahu menangung risiko.

Setiba di rumah, kami anak-beranak mengambil keputusan membawa ibu ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Di sana doktor berpendapat, balutan simen perlu dibuka kerana pesakit ada penyakit kencing manis.

Setelah balutan dibuka, bau daripada bahagian yang dibedah itu tersangat busuk dan bernanah. Bayangkanlah bagaimana kalau kami menunggu dua minggu lagi sebagaimana yang dijanjikan oleh doktor daripada HBPP.

Sejak peristiwa itu, ibu kami bertukar daripada seorang yang periang dan aktif menjadi murung, atas kemurungan yang melanda dirinya, tahap kencing manisnya tiba-tiba naik mendadak ke paras yang tinggi. Beliau menjadi terlalu letih dan menghadapi masalah pernafasan.

Kerana pengalaman pahit di HBPP, kami mengambil keputusan untuk menghantar ibu ke hospital swasta terbabit. Setibanya di sana, pihak hospital mengesahkan semua wad di unit rawatan rapi (ICU) telah penuh dan mencadangkan ibu kami dihantar ke satu lagi hospital swasta di Pulau Pinang pada 16 Januari lalu.

Di sana ibu mendapat rawatan kecemasan dan doktor berjaya mengawal tahap gula ke paras normal dan beliau dapat bernafas seperti biasa.

Semasa pendaftaran, hospital meminta kami menjelaskan deposit sebanyak RM5,000. Keesokannya tiba-tiba ibu mengalami sesak nafas yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami juga hairan, lantas pihak hospital menggunakan alat bantuan pernafasan.

Sebelum bantuan diberikan, kos rawatan menjadi persoalan utama - sama ada mampu atau tidak kami membayarnya. Bayaran wad dalam ICU tanpa apa-apa pembedahan, kami terpaksa menangung kos RM3,000 sehari. Selama tiga hari, bahagian kewangan hospital tersebut meminta kami membayar RM10,000.

Demi kasih sayang kepada seorang ibu, kami anak-beranak tetap membayar selagi mampu. Selang tiga hari, ibu mulai sedar dan dapat mendengar serta memahami apa yang kami bualkan. Doktor berjanji, ibu akan kembali normal selepas beberapa hari dalam wad ICU dan akan dipindahkan ke wad biasa.

Setiap kali kami menyoal doktor itu tentang keadaan semasa ibu, doktor menyatakan bahawa ibu semakin sihat dan banyak perubahan ke arah sembuh. Tiba-tiba mereka menyatakan ibu terpaksa ditebuk di bahagian leher untuk memudahkan pernafasan.

Setelah mendengar penjelasan daripada sepasukan doktor, kami bersetuju demi kebaikan ibu. Setelah pembedahan, ibu kelihatan lebih segar tapi doktor tidak pernah menyatakan apakah penyakit sebenar ibu. Mereka asyik menyatakan semakin baik dan akan pulih.

Bayangkan setiap tiga hari kami kena membayar RM10,000. Sampailah kepada jumlah terakhir yang kami bayar RM46,110, kami sudah tidak mempunyai apa-apa simpanan lagi sedangkan doktor tidak dapat memberi jaminan berapa lama ibu akan berada di wad ICU.

Bayangkanlah kalau ibu terpaksa tinggal dua bulan di dalam wad ICU, manalah kami mampu membayar? Siapa yang tidak mahu melihat ibunya sihat, ibulah segala-galanya bagi kami.

Setelah berbincang, kami mengambil keputusan memindahkan ibu ke HBPP pada 1 Februari 2008 walaupun sedar layanan di sana Allah saja yang Maha Mengetahu. Tetapi apakan daya, kami bukanlah daripada kalangan orang yang berduit, itu sahaja wang yang kami ada untuk membantu ibu.

Kami terus menghubungi HBPP dan mendapat pengesahan ada kekosongan di wad ICU. Maka kami terus membuat persiapan untuk memindahkan ibu ke sana. Bayangkanlah perasaan kami melihat ibu diusung dengan ambulan dari hospital swasta itu ke HBPP.

Ibu tersenyum, mungkin dia tahu kami sudah tidak ada kemampuan membayar lagi. Tetapi kami sangat terharu dan tidak dapat menahan sebak, siapalah lagi yang kami ada melainkan ibu? Bapa, datuk dan nenek telah lama meningalkan kami.

Yang lebih menyedihkan, sesampai di HBPP, apa yang dijanjikan tidak dikotakan. Wad ICU telah dipenuhi walaupun telah dijanjikan untuk ibu. Jadi, ibu dibiarkan di wad biasa yakni wad kelas 3 (Wad 6) yang dipenuhi dengan berbagai-bagai ragam pesakit selama lebih 13 jam (dari jam 3 petang sampai 4 pagi) tanpa bantuan pernafasan sedangkan ibu memerlukan bantuan pernafasan.

Kami beberapa kali memberitahu jururawat-jururawat yang bertugas bahawa ibu sesak nafas dan memerlukan bantuan pernafasan tetapi tidak diendahkan. Malah sikap mereka sungguh biadap dan menyakitkan hati. Tepat jam 4 pagi, pernafasan ibu terhenti, kami pula yang menjadi jururawat terpaksa memanggil mereka untuk memberitahu keadaan ibu.

Allah maha penyayang, dengan kuasa-Nya, doktor-doktor melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan ibu dapat bernafas semula. Bayangkanlah bagaimana nasib orang yang tidak mempunyai wang dan terpaksa menghadapi kerenah para petugas di hospital-hospital besar kerajaan.

Sejak tempoh tersebut, ibu tidak pernah sedar dan berada dalam keadaan koma selama lebih tiga minggu di HBPP. Ibu tidak langsung diberikan peluang untuk ditempatkan di wad ICU, malah lebih sedih lagi beliau ditempatkan di wad kelas 3 (Wad 6) walaupun abang sulung kami yang bertugas sebagai guru layak untuk menempatkan ibu di wad kelas satu.

Pihak hospital sentiasa memberikan berbagai-bagai alasan bahawa wad kelas satu dan wad ICU penuh. Para jururawat dan doktor di wad tersebut kebanyakannya tidak banyak membantu.

Cuma ada dua atau tiga orang jururawat yang betul-betul menjalankan tugas dengan dedikasi. Kami tetap bersabar, sehinggalah pada suatu hari seorang jururawat telah menyuntik tangan ibu kami sehingga jarumnya bengkok.

Kerana tidak tahan dengan sikap petugas-petugas yang semakin melampau, saya tidak dapat lagi menahan kemarahan dan telah memarahi doktor dan jururawat yang bertugas dan saya juga mengancam akan melaporkan perkara ini ke peringkat menteri kabinet.

Saya juga mengingatkan mereka bahawa pesakit adalah ibu kepada seseorang dan mengapa beliau dilayan bagaikan seekor haiwan. Bayangkanlah kalau pesakit itu ibu mereka sendiri, sanggupkah mereka melayan sebegitu rupa? Bukan itu sahaja, ada pula doktor dan jururawat secara sinis mengumpat kami dengan kata-kata "sudah tidak ada duit, baru mahu datang ke HBPP".
Sejak tarikh itu, petugas-petugas mulai takut dan menjalankan tugas dengan lebih baik.

Ajal ibu sudah sampai dan beliau walaupun tidak pernah sedarkan diri sejak berada di HBPP, lebih rela meninggalkan anak-anak daripada hidup terus terseksa.

Selepas lebih tiga minggu di HBPP, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat jam 10 malam 20 Februari 2008 - waktu yang sahkan oleh doktor. Tetapi adik-adik saya yang berada di sisi ibu mengesyaki bahawa ibu sudah tiada lagi sejak jam 9 malam.

Kesimpulannya, apakah sudah tidak ada tangungjawab sosial di negara kita ini? Kerajaan asyik melaungkan cogan kata "Malaysia boleh" dan sering membantu mangsa malapetaka di rantau luar negara. Kita begitu berbangga dengan bantuan yang dapat dihulurkan untuk masyarakat antarabangsa tetapi apakah nasib anak Malaysia di tanah air sendiri?

Hospital kerajaan dengan kerenah birokrasinya dan hospital swasta umpama lintah darat.

Pihak-pihak yang bertangungjawab, saya amat berharap agar apa yang dibangkitkan ini mendapat penjelasan yang sejujur dan seikhlasnya tanpa berselindung di sebalik apa-apa kepentingan peribadi. Saya tidak berniat menuntut apa-apa imbuhan berbentuk kewangan sebab kami sekeluarga ikhlas dan tidak ingin mencari keuntungan daripada kematian ibu yang sangat kami sanjungi dan sayangi.

Kami hanya inginkan perkara-perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang. Saya juga tidak mahu mana-mana ahli politik yang rakus memainkan isu ini, maka saya hanya menghantar luahan kekecewaan ini selepas pilihanraya.

Kepada hospital swasta di negara ini, jangan jadikan bidang perubatan sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan seperti lintah darat dan lupa pada tangungjawab sosial serta menghina bidang kerjaya itu sendiri dan kepada hospital kerajaan, bekerjalah dengan jujur dan ikhlas pada Allah.

Semua ini akan menjadi soalan-soalan yang bakal disoal di akhirat. Tidak akan ada manusia yang terlepas daripada dosa yang dilakukan

No comments: