tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, June 23, 2010

Pua: Kelewatan pembinaan hospital, mana tindakan?

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mahu Kementerian Kerja Raya menjelaskan mengapa kontraktor yang dilantik membina Hospital Shah Alam - Sunshine Fleet tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun dikatakan 'mengali-babakan' kontrak kepada Syarikat Isyoda Malaysia Sdn Bhd.

Katanya, pembinaan hospital tersebut bukan sahaja diali-babakan, tetapi juga lewat 233 hari daripada jadual asal.

“Saya difahamkan jumlah pekerja dikurangkan kerana subkontraktor tidak dibayar. JKR menyatakan pihaknya sudah menjelaskan tunggakan bayaran tetapi kontraktor yang tidak melunaskan bayaran itu kepada sub kontraktornya. Sebab itu ada masalah kewangan,” kata Pua pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga berkata yang dia hairan kerana tiada tindakan diambil.

“Kesan kontrak disubkan kepada kontraktor yang lain. Mereka tidak perlu membuat sebarang kerja tetapi mendapat untung bersih. Ini bercanggah dengan syarat kontrak JKR. Kenapa tidak diambil tindakan?” soal Pua.

Proj
ek pembinaan Hospital Shah Alam ditawarkan Kementerian Kewangan secara rundingan terus kepada syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd dengan harga kontrak RM482.6 juta.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya dalam jawapan lisannya memaklumkan bahawa projek hospital berkenaan dijangka siap pada 26 Jun 2011 berikutan terdapat kelulusan tempoh lanjutan masa (EOT) selama 233 hari akibat faktor luar kawalan, seperti kenaikan harga bahan binaan di pasaran dan masalah pengalihan utiliti.

"Sehingga 15 Jun lalu, kemajuan kerja di tapak projek berjalan lancar dan hampir mengikut jadual asal iaitu 25.3 peratus berbanding 25.4 peratus dengan tempoh kelewatan dicatat hanya tiga hari," kata menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, sehingga kini Jabatan Kerja Raya telah menjelaskan 29 kali bayaran interim kepada kontraktor terbabit dengan jumlah bayaran sebanyak RM122.5 juta, iaitu merujuk kepada nilai kerja semasa yang dilaksanakan.

Beliau menjawab soalan Tony Pua (DAP-PJ Utara) sama ada kementerian mengambil maklum mengenai berlakunya perselisihan faham antara subkontraktor dan kontraktor utama yang membina Hospital Shah Alam akibat masalah pembayaran.

Shaziman dalam jawapannya berkata pihaknya sedang meneliti akta yang sesuai untuk membela nasib subkontraktor yang tidak mendapat bayaran projek daripada kontraktor utama.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil perhatian terhadap isu itu dan mengambil maklum berlakunya kes saman menyaman antara kedua-dua pihak akibat masalah pembayaran.

Beliau berkata, melalui kontrak yang dimeterai kerajaan bersama kontraktor, kerajaan hanya bertanggungjawab terhadap kontraktor utama yang melaksanakan projek dan tidak dapat mengambil tindakan jika mereka melaksanakan projek mengikut jadual dan menjalankan kerja mengikut spesifikasi.

"Sehubungan itu, kementerian kini dalam proses melihat permohonan satu akta untuk membantu subkontraktor yang tidak mendapat bayaran daripada kontraktor utama," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan kos pembinaan hospital tidak terlalu tinggi, Shaziman berkata kebanyakan kos pembinaan bangunan hospital adalah sama.

"Yang membezakannya hanyalah peralatan yang digunakan. Jika guna banyak peralatan canggih, berteknologi tinggi, tentulah kos hospital itu lebih mahal daripada yang lain," katanya.

No comments: