tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, June 24, 2010

To Tun Dr Mahathir & other UMNO members

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhn00vBSHMI8t3LiqIdmGtShH0I6lAFukkfej46a-2ge75gFsFpqZjxm9l58iSSb-fy3dMmjtEQwqH9RGAVaQMNP7CQjEzUSV4PhII01ZxRUS5E503H06Vn6rCWbKAdTqjPQZfbg6mhB_84/s150/otak.JPG
Below is my comment on Tun Dr Mahathir writing in his blog entitled "MELAYU KEMANA 2". It is published in his blog's comment section below the posting. Tq Tun


*******************************************

Slm Tun

Ada benarnya hujah Tun tentang Melayu berpecah. Tetapi cuba Tun fikirkan akar umbi permasalahan ini.

Saya tak tahu tentang fikiran orang Melayu lain. Tetapi saya secara peribadi masih dalam mode menolak BN dan UMNO. Bukan kerana saya bukan orang Melayu tetapi atas faktor lain.

Saya bukan tidak mahu menyokong UMNO tetapi saya TIDAK BOLEH menyokong UMNO pada waktu ini. Kenapa?

Pertamanya, saya melihat UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang kotor. Kita melihat PM melaungkan pembersihan dalam UMNO tetapi saya dan ramai lagi melihat ianya sebagai usaha setengah masak. Bukan usaha bersungguh-sungguh. Ketika Pak Lah cuba membersihkan UMNO dulu, beliau ditentang. Ketika Zaid cuba memperbaiki sistem perundangan, penghakiman dan integriti di Malaysia, menteri-menteri kabinet sendiri yang menentang!

Bagaimana kami orang Melayu nak bersatu hati? Mungkin hanya ada 10% sahaja nasionalis di dalam UMNO hari ini berbanding 50 tahun lalu. UMNO hari ini bukan lagi UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan dulu. UMNO hari ini dipenuhi dengan usahawan-usahawan Melayu yang menyokong UMNO dengan mengharapkan sesuap nasi. Mereka bukan berpegang kepada prinsip ' Apa yang boleh saya sumbangkan kepada UMNO dan negara tetapi berpegang kepada prinsip apa yang UMNO boleh sumbangkan kepada saya jika saya menyokong UMNO?' Inilah masalah sebenarnya di dalam UMNO. Selagi UMNO diterajui oleh orang yang bukan berjuang untuk rakyat dan negara selagi itulah UMNO takkan boleh menyatukan seluruh bangsa Melayu di Malaysia.

Kita lihat banyak kronisme dan rasuah berlaku di Malaysia. Kerajaan kurang bersungguh-sungguh membanteras rasuah. Ada SPRM tetapi dipenuhi pula dengan skandal-skandal. Bagaimana kami boleh yakin untuk menyokong kerajaan jika hal besar sebegini di pandang remeh oleh kerajaan?

UMNO perlu membuktikan ia telah berubah untuk mengembalikan sokongan Melayu. Tidak cukup sekadar menjanjikan 'UMNO akan berubah' seperti yang dilihat pada poster kempen pilihanraya kecil lalu kerana janji manis seperti ini tidak lagi laku kepada golongan muda hari ini.

Cuba fikirkan, anda masih mahu Malaysia dikuasai oleh perasuah dan pemimpin pecah amanah dalam UMNO? Saya rasa mereka ini akan merosakkan lagi masa depan Malaysia dan orang Melayu sendiri. Selagi UMNO tak dibersihkan selagi itu kami orang Melayu tak boleh bersatu.

Maka tinggal PKR dan PAS selain UMNO. PKR pada saya belum cukup telus dan bersih kerana ramai bekas UMNO yang terluka lari ke PKR. Mereka ini juga mempunyai agenda serong dan bukan pejuang rakyat yang telus. PAS adalah landasan terbaik untuk orang Melayu dan Islam bukan kerana saya menyokong pejuangan politik berlandaskan Islam tetapi PAS adalah parti yang paling bersih di antara ketiga-ketiga parti majoriti Melayu ini.

Malangnya saya dan ramai lagi bukan ahli di dalam PAS, PKR mahupun UMNO. Dan buat masa ini pilihan kami pastinya bukan UMNO!

Saya berharap Tun akan memperjuangkan integriti di dalam UMNO, BN dan kerajaan kerana ini yang boleh menyatukan Melayu. Bukan isu ketuanan Melayu yang pentingnya, kerana jika ketuanan Melayu berjaya tetapi dipimpin oleh mereka yang kotor maka akhirnya Melayu sendiri yang akan hancur dan rugi.

Fikirlah untuk kebaikan bangsa Melayu bukan menggunakan alasan 'ketuanan Melayu' untuk meraih simpati. Apa maknanya jika Melayu berkuasa hari ini tetapi bakal musnah suatu hari ini. Kita perlu merancang untuk 100 tahun lagi bukan hanya mengejar kekuasaan untuk tempoh yang singkat. Orang yang gila kuasa akan hanya memikirkan kemenangan peribadi jangka pendek dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menang kerana dia tahu dia hanya akan hidup untuk 20 tahun lagi dan bukannya 100 tahun lagi. Pemimpin sebegini perlu diterajang keluar dari UMNO secepat mungkin jika UMNO inginkan kemenangan yang bernilai bukan sekadar kemenangan untuk menambahkan keRIAKan sahaja.

wassalam
ikhlasmalaysia.blogspot.com
"Ke arah Malaysia yang lebih berintegriti!"

No comments: