tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, October 28, 2008

Rombakan Kabinet - Muhyiddin bakal terima balasan Abdullah

SAFAR JUMAAT, HARAKAH


KETIKA bercakap di Beijing, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan beliau akan merombak kabinet, sedikit sebanyak merisaukan beberapa orang yang 'sudah tersindir' dengan pukulan paling keras Abdullah Ahmad Badawi, di minggu ketiga bulan Syawal.

Mungkin rombakan yang hendak dibuat, ekoran kemenangan beberapa nama baru dalam MCA, termasuk Dato' Seri Chua Soi Lek yang kini menjadi Timbalan Presiden, tetapi sedikit sebanyak, ada beberapa kerusi Umno dikatakan turut tergugat dengan perkembangan terkini.

Abdullah dikatakan betul-betul terpukul dengan kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai kempen panjang dalam pemilihan Umno hingga menyebabkan, Abdullah dikatakan melafazkan sokongannya terhadap seorang lagi Naib Presiden, Mohd Ali Rustam supaya meneruskan niatnya bertanding Timbalan Presiden Umno.

Walaupun Muhyiddin sudah manafikan kenyataannya itu, mengaitkan dengan Pelan Peralihan Kuasa antara Abdullah dengan Najib Tun Razak, tetapi beberapa pihak termasuk Shahrir Abdul Samad, Syed Hamid Albar dan Tajol Rosli Ghazali, turut 'membelasah' Muhyiddin yang dilihat tidak patuh kepada persetujuan asal Majlis Tertinggi (MT), supaya pemilihan diadakan Mac, 2009.

Menurut Muhyiddin, apabila wartawan bertanya, apakah kesan kepada kempen yang berpanjangan, jawapannya hanya menyentuh kemungkinan berlaku perkara-perkara kurang baik dan tidak ada langsung mengaitkan dengan dipercepatkan lagi, atau difikirkan semula isu Pelan Peralihan Kuasa.

"Saya tidak faham mengapa mereka (PM, Syed Hamid, Shahrir dan Tajol Rosli) menyerang saya sedangkan saya juga seperti mereka, akur dengan persetujuan MT tetapi saya bercakap sama seperti beberapa orang lain bercakap, mengenai isu kempen yang agak panjang akan menyebabkan kesan buruk," Muhyiddin dipetik sebagai berkata dengan beberapa kawan rapatnya.

Difahamkan, sebelum Muhyiddin menyentuh tentang kesan buruk jika kempen pemilihan Umno yang agak panjang ini, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir ada membuat komen perkara yang sama, tetapi tidak diserang mana-mana pihak.

Menurut satu sumber yang mendakwa rapat dengan Muhyiddin, selama isu pelan peralihan ini timbul, dia sendiri tidak pernah menyebut perkara-perkara mengenai perlunya Perdana Menteri berundur, sedangkan yang konsisten menyerang meminta Abdullah berhenti ialah anak Dr Mahathir, Mukhriz.

"Buktikan saya pernah membuat desakan supaya Perdana Menteri berundur," Muhyiddin dipetik sebagai berkata.

Justeru, segala keputusan Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatannya, bukan disebabkan desakannya, malahan, Muhyiddin cukup percaya Abdullah mempunyai cukup keyakinan diri sendiri selain dari nasihat orang-orang di sekelilingnya, untuk memutuskan akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Mac ini.

Kata sumber itu, walaupun Muhyiddin bercakap mengenai keperluan memikirkan semula pelan peralihan kuasa, tetapi jika Abdullah masih mahu mempertahankan jawatan Presiden Umno, tiada siapa boleh melarangnya untuk melakukannya.

Sabtu, di penghujung minggu kedua bulan Syawal, Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan keras dari Kota Kinabalu, membidas bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya berlagak sebagai pengarah pemilihan parti Umno.

Turut dibidas, Muhyiddin yang dianggap Abdullah sebagai tidak sabar untuk menjadi Timbalan Presiden Umno dan dikaitkan dengan usaha memujuk Mohd Ali Rustam supaya tidak bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu.

Sehubungan dengan itu, beberapa pihak mendakwa, orang-orang yang pro Abdullah menjalankan tugas mereka, mencari pencalonan bagi mencukupkan quota Mohd Ali supaya layak bertanding jawatan Timbalan Presiden, supaya Muhyiddin tidak akan menang mudah.

Tidak mustahil, kata beberapa pihak, Najib juga akan 'bermain kayu tiga' dengan pertandingan kali ini, memandangkan ada cakap-cakap mengatakan peranan Mohd Ali akan lebih kepada peranan menjaga parti, seperti yang pernah dilakukan oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba, ketika menjadi Timbalan Presiden Umno suatu ketika dahulu.

Malahan, Najib ketika mengulas hasrat Mohd Ali untuk meneruskan niatnya bertanding jawatan timbalan ini, berkata sesiapa pun boleh bertanding selagi tidak menyalahi perlembagaan (Umno), yang menyebabkan bahagian-bahagian (Umno) yang belum mengadakan persidangan, bersedia membuat pencalonan kepada Mohd Ali.

Kata mereka yang pro Mohd Ali (dan pro kepada Abdullah), Najib akan lebih selesa menjadi Perdana Menteri, jika Mohd Ali menjadi timbalan Presiden Umno kerana faktor Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh dikatakan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, atas perlantikan Najib dan Mohd Ali akan menjadi Timbalan Presiden, tetapi kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.

Semua cerita dan ramalan ini, turut dikaitkan dengan 'percaturan' yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, yang kini dilihat sudah berbaik-baik semula dengan Tengku Razaleigh.

Dr Mahathir yang dituduh akan menjadi Perdana Menteri Penasihat kepada Najib, didakwa akan menjadikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Najib.

Cerita ini, walaupun mungkin sukar dipercaya tetapi tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana poitik ini penuh dengan 'permainan mustahil' yang tidak memerlukan sebarang bukti.

Bukan perkara baru, seorang Timbalan Presiden Umno tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana Ghafar sudah memulakannya, apabila Tun Musa Hitam berundur dahulu.

Kata mereka lagi, Najib hanya memerlukan Mohd Ali sebagai Timbalan Presiden Umno selama sepenggal sahaja, kerana selepas tiga tahun, Najib dilihat mahu menobatkan Dato' Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri.

Hishammuddin perlu menang kerusi Naib Presiden kali ini, bagi memudahkannya melangkah setakuk lagi, menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri. Hishammuddin adalah anak kepada Allahyarham Tun Hussein Onn, dan sepupu sebelah ibu dengan Najib.

Kebetulan, Allahyarham Tun Razak, telah melantik Hussein sebagai timbalannya walaupun mereka berbesan, apabila Tun Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia.

Cerita ini mungkin berulang, kerana ia seperti mengulangi kisah Tun Razak-Tun Dr. Ismail-Tun Hussein Onn dengan Najib-Tengku Razaleigh (Muhyiddin, Mohd Ali) - Hishammuddin.

Semua ini, boleh ditunggu asalkan Umno (BN) masih berkuasa lagi, selepas PRU 13. Jika tidak, semua mereka ini, mungkin berada dalam blok pembangkang, dengan Najib menjadi ketuanya.

Eksklusif: Timbalan Pendakwa Raya Tun Majid Terdedah Maklumat Keputusan Kes Altantunya !!

Original Source : http://pahangdaily.blogspot.com


Keputusan kes Altantunya Shariibu wanita Monggolia yang dibunuh kejam itu akan diumumkan sekitar penghujung bulan ini. Maknanya bila-bila masa dari sekarang kita bakal mendengar satu lagu keputusan besar yang melibatkan institusi kehakiman negara. Sesungguhnya, ramai pihak yang meramalkan bahawa satu keputusan "luar biasa" akan berlaku terhadap kes ini. Namun segalanya bakal terjawab pabila ia diputuskan oleh pihak mahkamah nanti. Namun, angin bertiup kencang bahawa ramai rakyat Malaysia sudah boleh membaca apakah keputusan yang bakal diumumkan oleh mahkamah nanti. Sama ada tiga orang yang dituduh akan dibebaskan atau dikenakan hukuman?. Inilah yang menjadi persoalan dan amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama. Malahan keputusan ini juga amat ditunggu oleh sebahagian besar rakyat Monggolia dan masyarakat antarabangsa. Tambahan pula isu ini telah menggemparkan dunia, dimana ia dikaitkan dengan orang kenamaan negara ini.

Soal sama ada Razak Baginda, Sirul Azhar dan Azilah Hadri akan dilepaskan dari hukuman adalah semakin semakin nyata. Tambahan pula, dipenghujung perbicaraan lalu nampak benar pihak pendakwaraya banyak mengemukakan keraguan ke atas orang yang dituduh itu. Ia seolah-olah sebagai jalan terbaik untuk membolehkan pesalah terlepas dari hukuman. Inilah yang amat meragukan kita. Perkara ini pernah terjadi dalam kes yang melibatkan pragawati terkenal Noritta Samsuddin dulu. Beliau telah dibunuh kejam, namun semua tertuduh dilepaskan. Bahkan pihak polis mendapati terdapat dua lembaga misteri yang tidak dikenal pasti telah melakukan pembunuhan tersebut. Soalnya, siapakah lembaga misteri itu? Akhirnya, tertuduh Hanef Basree yang sudah dipenjara dibebaskan semula tanpa dipanggil untuk membela diri.

Dan sekarang, keputusan terhadap Altantunya bakal diumumkan dalam masa terdekat ini. Spekulasi berkenaan keputusan yang bakal diumumkan sudah heboh diperkatakan disana sini. Namun, kita tidak hairan jika orang yang berbicara soal ini adalah rakyat biasa yang tiada apa-apa hubungkait dengan kes tersebut. Namun, sesuatu yang pasti mengejutkan telah berlaku siang tadi. Krew kami telah bertemu dengan salah seorang yang terlaibat secara langsung dengah kes pembunuhan Altantunya. Pertemuan singkat dalam satu majlis keramaian di Kuantan hari ini telah menyebabkan satu maklumat besar terdedah kepada awam. Beliau yang dimaksudkan ialah Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang merupakan seorang Timbalan Pendakwa Raya bagi mengetuai barisan pendakwaan kes Altantuya dibantu oleh Noorin Badaruddin, Hanim Rashid dan Manoj Kurup. Beliau menggantikan Salehuddin Saidin kerana didapati menjejaskan kredibiliti kes tersebut. Salehuddin dikatakan pernah bermain badminton dengan hakim bicara, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin sebelum ini.

Tun Abdul Majid juga turut terlibat dalam pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi , Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia Eng Hock. Sebelum itu, beliau pernah menjadi barisan pendakwaan kes pembunuhan isteri kedua Raja Di-Hilir Perak, Hasleeza Ishak oleh madunya Datin Seri Raja Noor Mahani Raja Shahar Shah pada 2002. Namun rekod pencapaian tertinggi Tun Abdul Majid diinagati kerana siri kejayaannya bagi pendakwaan kes bunuh wakil rakyat oleh Mona Fandey (2001), militan al-Maunah (2000), dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1998-1999). Ini bermakna Tun Majid adalah seorang yang hebat dan cukup berpegaruh. Beliau hadir dalam majlis tersebut atas kapasiti rakan sekulah dengan tuan rumah semasa menuntut di Sek.Men Air Putih sekitar tahun 1981 dulu. Khabarnya ketika itu Tun Majid bermastautin di Kuantan kerana, bapanya adalah seorang pegawai tertinggi PDRM di sini.

Maklumat yang diterima perihal kes Altantunya ialah Tun Majid selaku Timbalan Pendakwaraya menyatakan bahawa "Altantunya sudah dihantar balik ke Monggolia". Maka beliau pasti bahawa tertuduh kes itu akan terlepas dari hukuman. Ini berdasarkan kepada senario semasa mutakhir ini. Sebagai pendakwaraya beliau tidak seharusnya berbicara soal keputusan kes dikhalayak ramai hatta dihadapan rakan-rakan lamanya. Tindakan beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dilihat sebagai petanda bahawa keputusan kes ini jelas akan menyebabkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan. Ini jelas bertentangan dengan prinsip "kerahsian" yang sepatutnya dipegang oleh individu seperti Tun Majid. Ucapan beliau dikhalayak ramai itu dianggap satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Sebagai salah seorang individu yang terbabit secara langsung dalam kes berkenaan, beliau sepatutnya tidak menghebahkan kepada umum tentang keputusan kes berkenaan. Ini bererti terdapat satu kes "pecah amanah" berlaku disini. Beliau menyebabkan ramai pihak yang mula mengesyaki bahawa sememangnya perjalanan kes pembunuhan Altantunya dijalankan secara tidak telus.

[Apa yang kami dedahkan ini, adalah satu maklumat sebenar yang telah diperolehi dari perbualan beliau dengan rakan-rakannya ketika di majlis berkenaan. Kami memohon maaf seandainya ada kekhilafan atas perkara ini. Apapun, kami tetap berpegang kepada prinsip kerahsian seorang penjawat awam perlu diawasi. Apakah peristiwa Hakim VK Linggam tentang isu "correct, correct, correct" akan berlaku lagi?].

Monday, October 27, 2008

MB Perak Buat Kejutan Di Pakistan!

Source : http://nikhassanazmi.blogspot.comMB Perak, Nizar, turut meluangkan masa dengan berjalan-jalan di bazar awam untuk membeli belah dan sempat menjamu selera di tempat awam bersama rakyat Pakistan kelas bawahan.

Keadaan ini cukup mengejutkan pemimpin gerakan Islam yang lain, kerana tidak ada dalam dunia hari ini, pemimpin besar sanggup membeli belah di tempat-tempat awam melainkan di shoping kompleks yang exklusif.

Mereka juga terkejut MB Perak datang ke Pakistan tanpa pengawal-pengawal peribadi ataupun diiringi oleh pasukan keselamatan.

Mereka juga lebih terkejut bila diberitahu bahawa MB Perak menaiki pesawat kelas ekonomi ke Pakistan.

MB Perak telah menjadi tumpuan semua perwakilan gerakan Islam dunia. Ucapannya mendapat sambutan gemuruh oleh lebih 500 ribu rakyat yang berhimpun sejak 23hb lagi.

Apatah lagi apabila ucapannya di selang seli dgn bahasa Urdu.Laungan Takbir kedengaran mengiringi ucapannya.

Biliknya di hotel sentiasa dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam dunia untuk bertukar-tukar fikiran dan pengalaman.

Mereka terpesona bagaimana PAS sebagai kumpulan yang minoriti tetapi MBnya berjaya dilantik dari kalangan PAS.

Perbincangan lebih berkisar hubungan dua hala antara gerakan Islam Malaysia dgn gerakan Islam di tempat mereka dalam bidang kerjasama dakwah dan juga kerjasama ekonomi.

Monday, October 20, 2008

Malaysiakini.com : Eurocopter: Kenapa beli lebih mahal?

Brazil membeli helikopter Eurocopter EC-725 dengan harga yang lebih murah RM82 juta sebuah, sedangkan Malaysia bakal membayar dengan harga RM193 juta, kata Angkatan Muda PKR hari ini.

Dalam laporan polisnya, timbalan AMK Mohd Fariz Musa berkata perbezaan harga lebih sekali ganda itu harus dipertimbangkan untuk siasatan.

"Brazil telah menandatangani kontrak pembelian 50 buah helikopter Cougar yang bernilai US$1.2 bilion ataupun RM4 bilion. Manakala Malaysia pula telah menandatangani kontrak berjumlah RM2 bilion hanya untuk 12 buah helikopter Cougar," katanya dalam laporan itu yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari ini.

helicopter military eurocopter cougor ec 725 troop transporterPerbezaan harga antara dua negara ini bagi sebuah helikopter dengan model yang sama sebanyak RM111 juta atau RM1.2 bilion bagi kontrak membeli 12 buah unit, tambahnya.

"Persoalan timbul ialah ke mana perginya RM1.2 bilion ini dengan sewenang-wenangnya?" kata Mohd Fariz.

Kontroversi pembelian ini muncul selepas Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan tatacara perolehan helikopter tersebut minggu lalu dan isu yang sama dibangkitkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Isnin lepas.

Pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Kementerian Pertahanan bagaimanapun menafikan perolehan helikopter Eurocopter Cougar EC-725 melalui proses yang meragukan dan luar kebiasaan seperti dakwaan sebuah syarikat baru-baru ini.

Dalam kenyataannya Jumaat lepas, ketua setiausaha kementerian itu Datuk Abu Bakar Abdullah menyatakan perolehan itu mengikut peraturan seperti ditetapkan, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Semalam, kabinet dilaporkan bersetuju Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian itu bagi menggantikan helikopter Nuri.

Katanya, sekalipun Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Abu Bakar Abdullah telah membuat kenyataan sebelum ini bahawa proses perolehan helikopter itu dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, namun

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, juga menteri kewangan sewaktu proses awal pengeluaran tender tersebut, berkata perkara itu tetap wajar dikaji secara mendalam oleh PAC.

"Dalam mesyuarat kabinet Jumaat lepas, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter ini dikemukakan untuk dihalusi oleh PAC dan dikaji dengan mendalam oleh PAC dan PAC boleh membuat kesimpulan," beliau dipetik sebagai berkata.

Fariz, yang membacakan laporan polis itu kepada media, turut mempersoalkan manfaat yang diperolehi Malaysia berbanding Brazil.

"Kontrak Brazil itu juga mewajibkan Eurocopter memindahkan teknologi ke kilang di Brazil dan ini juga mempunyai kesan positif dari segi pekerjaan yang akan ditambah," katanya.

"Tetapi pembelian di Malaysia langsung tidak mempunyai sebarang asas timbal balik yang mendatangkan keuntungan buat Malaysia sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang."

Sunday, October 19, 2008

Tun Dr. M : PEMILIHAN UMNO

Original source : http://test.chedet.com/che_det/2008/10/pemilihan-umno.html#more

1. Seluruh Negara sedang perhatikan penamaan calon-calon jawatan Majlis Tertinggi UMNO. Keputusan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak pertahankan kerusi Presiden parti telah menyemarakkan lagi minat terhadap siapa yang akan memimpin UMNO. Ini kerana jangkaannya ialah siapa yang dipilih jadi Presiden UMNO akan turut dilantik Perdana Menteri Malaysia. Jika pengundi UMNO gagal memilih seorang pentadbir yang baik dan jujur, negara akan sekali lagi menempuh keadaan yang tidak stabil dan kejatuhan ekonomi. Tidak seorang pun rakyat Malaysia yang inginkan keadaan ini. Di dalam keadaan terdesak mereka mungkin akan pilih parti pembangkang pada pilihanraya akan datang. Dan ini tidak akan membuat keadaan menjadi lebih baik. Malahan ianya akan menjadikannya lebih buruk daripada penyandang jawatan yang tidak cekap yang ada sekarang.

2. Bagi UMNO empat tahun akan datang ini amat penting. Sesiapa juga yang menjadi Presiden parti, jika gagal memulih parti, bermakna bahawa masanya telah tamat bagi parti yang tertua di antara parti yang memperjuangkan kemerdekaan sesebuah negara. Jika ini terjadi maka kepimpinan UMNO yang akan datang ini akan termaktub dalam sejarah sebagai pengkhianat kepada parti politik yang pada satu masa dulu amat berkuasa dan terkenal.

3. UMNO telah menggunapakai sistem demokrasi untuk pastikan pengkhianat parti dapat ditolak dan digantikan dengan mereka yang lebih berupaya. Tetapi jelas demokrasi UMNO tidak selalunya berjaya. Ramai yang berjaya merebut jawatan walaupun mereka sebenarnya tidak berkebolehan dan tidak jujur. Apabila sampai ke puncak mereka gunakan jawatan dan kuasa yang ada untuk menghalang demokrasi daripada menyelamatkan parti. Dengan memberi jawatan dan wang serta pangkat, dengan menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka, dengan menggunakan pelbagai bentuk ancaman, mereka ini telah berjaya menyekat apa-apa usaha untuk mengusir mereka, setidak-tidaknya untuk sekian masa.

4. Pada anggapan pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri ini, jika mereka berjaya pengaruhi ketua-ketua bahagian dan cawangan melalui rasuah dan mengancam dengan ugutan, pegangan mereka keatas parti akan kekal. Begitulah cengkaman mereka ke atas parti hinggakan parti nampak seolah-olah memberi sokongan padu kepada mereka. Mereka boleh lakukan apa sahaja dan sokongan yang tidak belah bagi terjamin.

5. Tetapi anggapan mereka salah. Ketua-ketua bahagian dan cawangan mungkn akan tunduk kepada mereka tetapi ahli parti dan penyokong yang bukan ahli parti tetap dengan pendirian mereka. Tidak berupaya untuk bersuara atau mengkritik pemimpin, mereka mengundi pembangkang.

6. Begitulah di dalam Pilihanraya Mac 2008 Parti Barisan Nasional dan UMNO mengalami kekalahan teruk. Pimpinan parti tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan ini, malahan mendakwa yang mereka menang kerana mempunyai cukup kerusi untuk membentuk Kerajaan pusat.

7. Pengundi yang jelek dengan sikap pemimpin memastikan satu lagi tamparan hebat dikenakan di dalam pilihanraya kecil yang tidak kurang penting dan UMNO dan Barisan Nasional yang begitu kuat satu masa dahulu ditundukkan, sehinggakan takut untuk mempamerkan bendera parti.

8. Akhirnya beberapa orang ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berani bangkit dan memutuskan cukuplah. Presiden mesti dipaksa meletak jawatan. Selepas melengahkan waktu seberapa lama yang boleh, Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO dan dengan itu hak tradisi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

9. Ini merupakan langkah pertama yang kritikal. Sekarang ialah masa untuk Presiden dan Perdana Menteri baru. Hanya terdapat dua calon. Tetapi hingga kini hanya Dato Seri Najib Tun Razak yang menerima pencalonan untuk jawatan tersebut. Jelaslah yang beliau merupakan calon unggul. Dan seperti yang dijangka usaha untuk memburukkan imej beliau sudahpun bermula. Bagaimana dia mengurus tohmahan ini akan memperlihatkan mutu kepimpinannya.

10. Sementara itu pencalonan untuk jawatan-jawatan lain sedang berjalan. Jika Kerajaan Najib berkehendakkan kelainan daripada Abdullah maka penyokong Abdullah tidak boleh turut serta.

11. Setakat ini masih tidak jelas sama ada bahagian-bahagian UMNO akan menyokong mereka yang membangkang Abdullah ataupun penyokongnya. Pendahuluan yang diterima Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan yang pengkritik Abdullah amat disenangi. Tan Sri Rafidah Aziz, yang dikatakan begitu kuat mengkritik Abdullah nampaknya mendapat sokongan Wanita. Ini boleh mengakhiri impian Azalina Othman, antara penyokong terkuat Abdullah dan Khairi Jamaluddin, jika Rafidah mengotakan janjinya untuk melantik Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita apabila dia (Rafidah) sendiri meletak jawatan tersebut.

12. Shafie Apdal, salah seorang yang bersuara lantang mendesak Abdullah meletak jawatan mempunyai harapan cerah memenangi pencalonan bagi jawatan Naib Presiden. Tetapi bahagian-bahagian nampak seolah-olah terlupa peranan yang dimainkan Rais Yatim, yang mana sebagai Menteri beliau tidak pernah gentar menyuarakan pendapatnya berkenaan salahlaku Abdullah.

13. Bagaimana penting sekalipun pencalonan oleh bahagian-bahagian bagi melayakkan seseorang calon bertanding untuk mendapat tempat di dalam Majlis Tertinggi UMNO; kata putus bukan di tangan mereka. Ini terletak di tangan perwakilan ke Mesyuarat Agong.

14. Pada tahun 1987 apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertanding kerusi Presiden menentang saya, saya mendapat lebih ¾ pencalonan daripada bahagian-bahagian. Tetapi saya menang dengan kelebihan hanya 43-undi daripada 2,500 perwakilan bahagian yang hadir. Jelas bahawa perwakilan ke Perhimpunan Agong tidak mengundi mengikut keputusan bahagian.

15. Ini harus mengingatkan yang bertanding jawatan supaya tidak terlalu yakin yang mereka akan menang hanya kerana mendapat jumlah pencalonan yang tertinggi dari bahagian-bahagian. Banyak perkara yang mungkin berlaku pada masa Perhimpunan Agong diadakan di Kuala Lumpur. Saya tidak terkejut jika banyak wang akan bertukar tangan, dan banyak juga keputusan yang beralih.

16. Pada pemilihan 1987, undian diberhentikan seketika pada waktu sembahyang Jumaat. Dipercayai ramai perwakilan dihampiri pada waktu rehat ini dan dipengaruhi menerusi pelbagai cara untuk ketepikan keputusan bahagian mereka dan mengundi calon lain.

17. Untuk elak kejadian ini tidak harus ada apa-apa masa rehat semasa proses mengundi. Jika boleh janganlah diadakan pada hari Jumaat. Bagaimanapun amat penting bagi pengundian di adakan pada hari pertama perhimpunan.

18. Seperti yang saya katakan, negara sedang perhatikan pemilihan UMNO dengan penuh debaran. Jika bahagian-bahagian dan perwakilan UMNO utamakan ketamakan diri mereka dalam membuat keputusan maka ini akan menjadi kali terakhir mereka menjadi "king-maker" di Malaysia.

19. Saya teringat akan ketamakan seorang Melayu kampung yang kerjanya mengutip buah keranji dari hutan untuk dijual kepada orang Thai. Kerjanya agak berat kerana pokok tinggi dan terdapat banyak semut.

20. Kerana tidak sabar dengan masalah yang dihadapi, pengutip keranji ini menebang pokok tersebut. Dan itu merupakan kali terakhir dia membuat duit dari mengutip keranji.

21. Mungkin yang belajar aliran Inggeris lebih setuju dengan cerita angsa yang mentaskan telur emas.

22. Apapun, pengajarannya tetap sama. Jual undi anda hari ini maka berakhirlah politik UMNO bagi anda.

Malaysiakini.com : Soi Lek anggotai semula kabinet?

Selepas selesai pemilihan pucuk pimpinan MCA semalam, kini semuanya tertumpu kepada peranan timbalan presiden baru, Datuk Dr Chua Soi Lek dan masa depan bekas setiausaha agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan.

mca agm 181008 chua soi lekDr Chua yang melepaskan jawatan menteri kesihatan dan semua jawatan dalam parti Januari lalu ekoran skandal seks yang membabitkan dirinya, kini kembali aktif apabila terpilih sebagai timbalan presiden MCA yang baru.

Beliau menewaskan tiga lagi calon, termasuk Datuk Ong Ka Chuan untuk memenangi jawatan tersebut.

Mengikut tradisinya, timbalan presiden MCA akan diberi jawatan menteri kabinet.

Ekoran itu, kini khabar angin bertiup kencang mengenai kemungkinan Dr Chua dilantik semula menganggotai kabinet.

Memandangkan beliau tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu, maka Dr Chua perlu dilantik sebagai senator terlebih dahulu.

Ketika ditemui di perhimpunan agung MCA hari ini, Dr Chua berkata, terpulang kepada budi bicara presiden MCA yang baru, Datuk Ong Tee Keat untuk mencalonkan pemimpin parti itu untuk menganggotai kabinet.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada Ka Chuan - yang kini merupakan ahli Parlimen Tanjong Malim dan juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan - akan dilantik menganggotai jawatankuasa pusat MCA.

"Saya tak tahu. Anda kena bertanya pada bos (Tee Keat). Jika perkara ini dibangkitkan, kita akan membincangkannya," katanya.

Selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, pemimpin MCA dilantik memegang empat jawatan menteri penuh. Mereka ialah Ka Chuan, Datuk Liow Tiong Lai (naib presiden, menteri kesihatan), Datuk Ng Yen Yen (naib presiden, menteri pembangunan keluarga dan wanita) dan Tee Keat (menteri pengangkutan).

Kini terpulang kepada Tee Keat untuk memutuskan sama ada beliau mahu Ka Chuan mengekalkan jawatannya dalam kabinet.

mca agm 181008 new ladership take over.jpgTimbul kebimbangan, sekiranya beliau mencalonkan Dr Chua untuk mengisi jawatan menteri, maka penyokong Ka Chuan mungkin bangkit menentang Tee Keat.

Selain soal jawatan kabinet, timbul juga desas-desus yang mengatakan Tee Keat dan Dr Chua tidak sehaluan ekoran kempen yang sengit menjelang pilihanraya parti itu.

Dr Chua bagaimanapun menolak tanggapan tersebut dan menegaskan bahawa keutamaannya ialah untuk bekerjasama dengan barisan kepimpinan baru bagi memulihkan kekuatan parti itu.

"Tidak bekerjasama bukanlan satu pilihan," katanya sambil menambah, tindakan 'serang menyerang' sewaktu kempen pemilihan parti adalah satu perkara biasa.

Mengambil contoh kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat, Dr Chua berkata apa pun juga yang berlaku atau soal kelantangan berkempen,
mesti diketepikan sebaik sahaja keputusan dibuat.

"Setiap calon akan berbuat demikian. Di Amerika, ianya lebih teruk lagi, lebih sengit...Malah, serangan (Barrack) Obama dan Hilarry Clinton (terhadap satu sama lain) adalah lebih teruk lagi.

"Akhirnya, dia (Hilarry) berkempen untuk beliau (Obama). Akhirnya kepentingan parti diutamakan," tambahnya.

Dr Chua berkata, beliau boleh bekerjasama dengan semua pemimpin parti kerana beliau mendapat banyak pengalaman sejak menjadi ahli jawatankuasa pusat parti itu pada 1990

Malaysiakini.com : Abdullah bidas Dr Mahathir

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahahir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan".

Perdana Menteri berkata Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

“Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pemilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu...orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?," katanya dalam sidang di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam ini.
Menurut Bernama, Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno "mengusir orang-orang Abdullah" dalam pemilihan parti itu Mac depan.

"Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya.

"Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan.

"Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri," katanya.

Abdullah berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan presiden Umno bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

"Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

"Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan.

"Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno," kata Abdullah.

Menurut perdana menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.

"Inikah "reform" yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli Umno ada kebebasan untuk bertanding.

"Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

"Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding....tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang Umno menentukannya," katanya.

Dalam hal ini, anggota Umno tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.

"Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini," katanya.

Malaysiakini.com : Ketua Wanita: Shahrizat terima 36 pencalonan

Walaupun Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang sebelum ini telah menyatakan tidak berhasrat bertanding merebut jawatan ketua Wanita, namun beliau terus menerima tambahan empat lagi pencalonan, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 36 pencalonan.

Beliau menerima pencalonan itu dari bahagian Gopeng, Kudat, Kepala Batas dan Tanjung. Dengan ini, Shahrizat memerlukan tiga lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita Umno yang memperuntukkan had kuota sebanyak 39 pencalonan.

Penyandang jawatan itu, Tan Sri Rafidah Aziz menerima sokongan dari empat bahagian Umno lagi, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya setakat ini sebanyak 75, dan begitu juga Shahrizat bagi jawatan naib ketua.

Gandingan Rafidah-Shahrizat menerima pencalonan masing-masing hari ini daripada Wanita Umno bahagian Parit Sulong, Pasir Salak, Ayer Hitam dan Pulai, demikian menurut laporan Bernama.

Bagi jawatan naib ketua, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim menerima dua pencalonan lagi iaitu daripada Kepala Batas serta Gopeng dan sehingga kini mengumpul 26 pencalonan.

Shahrizat dan Kamilia layak bertanding jawatan naib ketua Wanita Umno yang mensyaratkan calon mendapat 20 pencalonan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said pula menerima satu lagi pencalonan daripada bahagian Tanjung, menjadikan jumlahnya enam pencalonannya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan menerima pencalonan pertama daripada Wanita Umno bahagian Kudat untuk membolehkannya menyertai saingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita.

Bagi jawatan yang sama, Ketua Wanita Johor Datuk Halimah Mohamed Sadique kekal dengan dua pencalonan manakala Exco Wanita Pusat Dr Norraesah Mohamad pula satu pencalonan.

Thursday, October 16, 2008

Anwar : Penjelasan Kepada Fitnah Mengenai IMF

Klik gambar untuk menonton rakaman Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 mengenai penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai fitnah yang dilemparkan kepada beliau mengenai IMF.

Video ihsan daripada TVPas.com

Malaysiakini.com : Zaki calon baru ketua hakim negara

Majlis Raja-Raja Melayu hari ini memutuskan untuk mencalonkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua hakim negara yang baru untuk menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Mohamad yang akan bersara.

bm version chief justice of malaysia 151008Keputan tersebut dibuat hari ini dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Kuala Terengganu hari ini, demikian sumber-sumber memberitahu Malaysiakini.

Abdul Hamid akan bersara esok dan Zaki, yang terkanan dalam badan kehakiman, akan dilantik memegang jawatan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Majlis Raja-Raja melantik ketua hakim negara atas nasihat perdana menteri.

Perlantikan tersebut, yang belum dimumkan secara rasmi, dijangka mencetuskan kontroversi ekoran kaitan Zaki sebelum ini dengan Umno.

Beliau hanya dilantik ke Mahkamah Persekutuan September lalu dan dua bulan kemudiannya, dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Zaki kini berusia 63 tahun dan akan memegang jawatan tersebut sekurang-kurangnya selama tiga tahun kecuali perkhidmatannya dilanjutkan oleh kerajaan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pelantikan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat hari, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan semua menteri besar dan ketua menteri.