tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Sunday, October 19, 2008

Malaysiakini.com : Ketua Wanita: Shahrizat terima 36 pencalonan

Walaupun Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang sebelum ini telah menyatakan tidak berhasrat bertanding merebut jawatan ketua Wanita, namun beliau terus menerima tambahan empat lagi pencalonan, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 36 pencalonan.

Beliau menerima pencalonan itu dari bahagian Gopeng, Kudat, Kepala Batas dan Tanjung. Dengan ini, Shahrizat memerlukan tiga lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita Umno yang memperuntukkan had kuota sebanyak 39 pencalonan.

Penyandang jawatan itu, Tan Sri Rafidah Aziz menerima sokongan dari empat bahagian Umno lagi, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya setakat ini sebanyak 75, dan begitu juga Shahrizat bagi jawatan naib ketua.

Gandingan Rafidah-Shahrizat menerima pencalonan masing-masing hari ini daripada Wanita Umno bahagian Parit Sulong, Pasir Salak, Ayer Hitam dan Pulai, demikian menurut laporan Bernama.

Bagi jawatan naib ketua, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim menerima dua pencalonan lagi iaitu daripada Kepala Batas serta Gopeng dan sehingga kini mengumpul 26 pencalonan.

Shahrizat dan Kamilia layak bertanding jawatan naib ketua Wanita Umno yang mensyaratkan calon mendapat 20 pencalonan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said pula menerima satu lagi pencalonan daripada bahagian Tanjung, menjadikan jumlahnya enam pencalonannya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan menerima pencalonan pertama daripada Wanita Umno bahagian Kudat untuk membolehkannya menyertai saingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita.

Bagi jawatan yang sama, Ketua Wanita Johor Datuk Halimah Mohamed Sadique kekal dengan dua pencalonan manakala Exco Wanita Pusat Dr Norraesah Mohamad pula satu pencalonan.

No comments: