tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, September 9, 2009

5 pegawai SPRM buat laporan polis

Lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk Mohd Ashraf Mohd Yunus yang merupakan seorang saksi di dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Pengarah SPRM Selangor Jaafar Mahad memberitahu para wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah bahawa kelima-lima pegawainya itu membuat laporan polis pada pukul 4.30 petang tadi bagi menafikan para pegawainya menggunakan kekerasan semasa menyoal siasat suspek.

"Kita menafikan kita ada mendera suspek, kenyataan yang dibuat di dalam inkues adalah berniat jahat dan ingin menjatuhkan reputasi SPRM," katanya yang mengiringi para pegawainya membuat laporan polis itu bagi memberikan sokongan moral kepada mereka.

T Sivanesan seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo hari ini memberi keterangan pada inkues yang berjalan hari ini dan mendakwa beliau pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah itu ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

- Bernama

No comments: