tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, September 2, 2009

Kes Anwar ditunda lagi 3 Nov

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan semula kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas diberitahu bahawa rayuan pendakwaan terhadap perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan membekalkan dokumen kes itu kepada pihak pembelaan belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan itu pada 23 Okt ini, dan beliau memohon agar mahkamah menetapkan sebutan kes liwat itu pada 3 Nov.

Beliau juga memohon agar tarikh yang sama ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan Anwar agar pertuduhan meliwat itu digugurkan.

Anwar, 62, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari (kiri), 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas.

Di sebuah lagi Mahkamah Tinggi, Hakim Lau Bee Lan hari ini menetapkan 3 Nov juga bagi sebutan permohonan Anwar untuk semakan kehakiman bagi membatalkan satu kenyataan bertulis oleh pihak pendakwaan berhubung kes liwat itu.

Pada 24 Jun lepas, Anwar menerima kenyataan itu yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria yang menyatakan bahawa tidak ada bukti yang memihak kepada pihak pembelaan dalam kes itu. BERNAMA

No comments: